Diterbitkan pada 28 Jun 2021, 17:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Kehadiran Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) perlu dirasai oleh masyarakat. Sebagai duta integriti, CeIO perlu turun padang dan mengambil tahu isu semasa yang dihadapi oleh masyarakat supaya dapat dirasai kehadirannya. Peranan CeIO yang dilahirkan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sebagai pengurus integriti di organisasi perlu diperkembangkan menjadi komunikasi utama kepada usaha pengukuhan integriti dan antirasuah dalam masyarakat.

Kamarudin M. Ripin.

Mengulas perkara ini, Kamarudin M. Ripin, Pengarah Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh CeIO bukan sahaja perlu dimanfaatkan kepada organisasi masing-masing tetapi juga perlu dimanfaatkan untuk pembudayaan integriti dalam masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar CeIO melalui Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia juga dapat bersama-sama SPRM menjayakan setiap agenda integriti dan antirasuah negara. Beliau juga mengalu-alukan sebarang input dan maklumat berkaitan dengan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa supaya dapat disalurkan oleh CeIO kepada SPRM dengan segera supaya tindakan dapat diambil secara efektif.

Ir. Normayasuria Abd Malek.

Ir. Normayasuria Abd Malek, seorang ketua jabatan kerajaan di Negeri Sembilan bersetuju dengan saranan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM ini. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Sembilan berkata, kehadiran CeIO dalam masyarakat boleh menjadi penghubung antara masyarakat dengan pihak berkuasa dalam penyaluran maklumat berkaitan dengan integriti dan antirasuah. Apatah lagi dengan keadaan negara yang masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini, ACeIO boleh membantu kerajaan dan pihak berkuasa dengan menggerakkan ahlinya sama ada di peringkat negeri mahupun daerah untuk menyelami degup dan hati masyarakat serta membantu menyalurkannya kepada pihak yang berkenaan. Beliau mengulas perkara ini semasa berkongsi pengalaman di IM ACeIO, pelantar perkongsian amalan terbaik integriti secara dalam talian yang disediakan oleh ACeIO hari ini.

Taib Rahman, seorang pesara kerajaan menyambut baik kesediaan CeIO untuk membantu masyarakat dalam penyaluran maklumat kepada pihak berkuasa. Masyarakat luar bandar khususnya yang menghadapi kekangan dari segi pergerakan, disarankan untuk memilih saluran yang tepat bagi menyuarakan pandangan berhubung dengan isu integriti dan rasuah yang berlaku di sekitar mereka. Sehubungan dengan itu, beliau mengalu-alukan kehadiran ACeIO dan SPRM bagi mendekati masyarakat dan bertindak menangani isu integriti dan rasuah dengan berkesan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi