Oleh Markus Lim
16 Mac 2021, 14:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cuba bayangkan sekiranya rumah baharu yang anda beli tidak mempunyai capaian internet? Sudah tentu, keadaan itu akan menyusahkan dan menyebabkan banyak gangguan kepada kehidupan seharian anda.

Hal ini bermakna, seseorang itu bukan sahaja tidak boleh melaksanakan aktiviti seharian mereka seperti mendapatkan maklumat terkini, membuat pembayaran bil air dan elektrik secara dalam talian dan membeli barangan keperluan.

Oleh itu, kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah melancarkan Pelan Jalinan Digital Negara atau ringkasnya JENDELA pada 29 Ogos 2020 lalu yang bertujuan untuk memastikan capaian internet dapat dinikmati oleh semua rakyat di negara ini. Pelaksanaan JENDELA yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, menjadi titik tolak penting dalam usaha memastikan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik dapat disediakan kepada rakyat. Oleh itu, pihak industri perlu komited untuk mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah JENDELA menerusi pendekatan secara berfasa, iaitu Fasa 1 (2020-2022) dan Fasa 2 (2022-2025). Di bawah Fasa 1 (2020-2022) projek JENDELA, berikut sasaran yang perlu dicapai:

  • Sebanyak 7.5 juta premis yang diliputi jalur lebar tetap berkelajuan tinggi (HSBB).
  • Sebanyak 96.9 peratus liputan generasi keempat (4G).
  • Sebanyak 35 mega bit sesaat kelajuan jalur lebar mudah alih.

    Pelancaran Gerbang Sabah oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengukuhkan komitmen kerajaan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memajukan kemudahan jalur lebar di seluruh Sabah melalui inisiatif JENDELA.

 

Sementara itu, bagi Fasa 2 (2023-2025), iaitu peralihan kepada generasi kelima (5G) akan disusuli selepas platform yang kukuh dalam Fasa 1 dapat dicapai, iaitu selaras dengan perancangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Pada lewat tahun lalu, pihak SKMM telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk memperkenalkan satu dasar yang merangkumi capaian internet sebagai sebahagian antara keperluan utiliti asas di kawasan perumahan. Pengerusinya, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek menjelaskan bahawa kemudahan tersebut adalah penting bagi mempercepatkan proses transisi negara kepada teknologi 5G, selain menangani isu mengenai pembinaan menara telekomunikasi.

“Penduduk mahukan perkhidmatan internet namun mereka tidak mahu menara telekomunikasi didirikan di belakang rumah mereka. Oleh hal yang demikian, satu cara untuk mempercepatkan proses berkenaan adalah dengan  kerajaan negeri menjadikan internet sebagai utiliti ketiga, sama seperti bekalan air dan elektrik,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan BERNAMA TV, pada Oktober 2020.

Tambah  Fadhlullah, SKMM sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan pandangan, bantuan dan untuk mempercepatkan proses berkenaan. Banyak pihak sebenarnya yang berfikiran terbuka dan tampil membantu pihak industri dengan beberapa buah negeri telah melaksanakan beberapa dasar yang dapat membantu mencapai matlamat tersebut.

Apa-apa yang kita dapat pelajari sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dan perubahan dalam pentadbiran kerajaan, peranan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah sangat kritikal dalam memastikan kelulusan dapat dipercepatkan agar hasrat menjadikan telekomunikasi sebagai utiliti ketiga dapat menjadi kenyataan. Dengan kerjasama yang diberikan, proses pembinaan infrastruktur dan meletakkan asas kepada transisi ke arah 5G juga akan dapat dipercepatkan.

Pada masa yang sama, kepantasan kerajaan negeri dan PBT dalam meluluskan permohonan akan memberikan impak positif kepada kemasukan lebih banyak pelaburan oleh syarikat telekomunikasi sekali gus mencetuskan kesan limpahan ekonomi kepada pembangunan sesebuah lokasi atau negeri.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah, dalam satu hantaran di laman Facebooknya menyifatkan pengiktirafan internet sebagai utiliti ketiga pada pembentangan Belanjawan 2021 merupakan satu langkah yang tepat dan penanda aras penting dalam mempercepat kerja dan memperkukuh infrastruktur digital negara. Langkah berkenaan juga mampu menyelesaikan masalah terbesar penyediaan infrastruktur telekomunikasi di sesuatu kawasan ekoran kelewatan kelulusan kebenaran daripada PBT.

Dengan pengiktirafan ini juga, penggunaan internet dalam e-dagang, ekonomi gig dan pendidikan secara dalam talian meningkat dengan ketara sekali gus mempercepatkan lagi proses pendigitalan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Walau bagaimanapun, usaha untuk menjadikan internet sebagai utiliti ketiga tidaklah semudah yang dijangka. Menurut Saifuddin, terdapat beberapa faktor berkaitan kebenaran merancang (KM) seperti penyediaan rizab kemudahan komunikasi atau ruang khas, kebenaran menggunakan struktur pelbagai fungsi bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dan penyelarasan perundangan, garis panduan dan kod teknikal perlu diberikan perhatian.

“Mana-mana pihak yang ingin memajukan kawasan perumahan, bandar, perindustrian dan sebagainya di kawasan PBT perlu mendapatkan kelulusan KM. Kelazimannya, pemaju menyediakan perancangan dua  utiliti, iaitu air dan elektrik, tetapi tidak semestinya merancang tentang capaian internet kerana hal ini tidak dikira sebagai utiliti. Perancangan ini hanya timbul setelah projek pembangunan siap dibina. Inilah faktor utama mengapa kerja infrastruktur digital mengambil masa yang lama untuk disiapkan,” katanya.

Lantaran itu, isu berkenaan telah dibawa ke mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-36 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 27 Oktober 2020  dan mesyuarat bersetuju dengan permohonan yang dibuat oleh KKMM. Perkara tersebut merupakan sebahagian daripada cadangan KKMM untuk dimasukkan  dalam Garis Panduan Perancangan Infrastruktur (GPP-I) untuk memudahkan cara penyediaan infrastruktur digital.

GPP-I  akan dapat mengatasi tiga cabaran yang dihadapi dalam perancangan infrastruktur digital, iaitu tiada sumber rujukan bagi perancangan infrastruktur digital bagi pembangunan baharu, kelewatan penyediaan perkhidmatan komunikasi dan kos yang tinggi, masa yang lama serta bantahan pengguna. Melalui GPP-I,  akan dapat  mewujudkan tiga  manfaat kepada rakyat, iaitu rakyat akan mendapat perkhidmatan komunikasi yang lebih cepat, kapasiti yang lebih tinggi dan kualiti yang lebih baik.

Sesungguhnya, usaha untuk mendapatkan persetujuan kesemua negeri untuk mengiktiraf internet sebagai utiliti ketiga sedang giat dijalankan. Beberapa buah negeri, seperti Johor, Kedah dan Melaka telah memulakan proses bagi menguatkuasakan dasar berkenaan dan adalah diharapkan lebih banyak negeri lain akan mengorak langkah yang sama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.