Oleh Syaza Wardina
18 Julai 2022, 21:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kunjungan Hormat Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia atau dikenali sebagai Forum Kandungan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Bilik Mesyuarat Urus Setia Lembaga Pengelola, Menara DBP, pada petang tadi membuka ruang perbincangan yang seterusnya membawa kepada kerjasama strategik antara Forum Kandungan dengan DBP dalam usaha memacu penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam kalangan masyarakat Malaysia melalui kandungan berbentuk komunikasi dan multimedia.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran mempengerusikan perbincangan secara dalam talian.

Dalam sesi kunjungan hormat tersebut, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menyambut baik usaha Forum Kandungan untuk menjalinkan kerjasama dengan DBP. Beliau berpandangan, pelbagai bentuk kerjasama boleh dilaksanakan, antaranya melalui kempen kesedaran tentang kesantunan berbahasa serta penganjuran pelbagai bentuk aktiviti yang melibatkan masyarakat khususnya golongan muda dan anak remaja, malah setiap kerjasama yang dilaksanakan bersama-sama bakal memberikan impak yang lebih besar sekiranya turut disertai oleh wakil media di Malaysia. YBhg. Datuk Abang Sallehuddin mengalu-alukan kerjasama daripada Forum Kandungan dalam penganjuran program khususnya berkaitan dengan bidang komunikasi dan multimedia yang bersesuaian dengan peranan yang dimainkan oleh DBP.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBhg. Tuan Haji Md. Johari Hasan, pada sekitar tahun 1990-an hingga 2005, DBP mempunyai hubungan yang baik dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Forum Kandungan. Banyak perundingan dilaksanakan bersama-sama untuk membincangkan mengenai laras bahasa, bahkan pada masa itu, melalui Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta yang disampaikan menerusi Majlis Citra Wangsa, pengiktirafan diberikan kepada penggiat drama, penyiar, pengiklan, drama televisyen serta penulis skrip dan sari kata yang menggunakan bahasa Melayu yang baik dalam komunikasi dan multimedia. Dalam hal ini, kegiatan tersebut boleh diperluas melalui kerjasama antara DBP dengan Forum Kandungan.

Sesi penerangan mengenai Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia oleh Pengarah Eksekutif Forum Kandungan, Puan Mediha Mahmood.

Forum Kandungan merupakan sebuah badan pengawalseliaan kendiri bebas yang mentadbir kandungan dan mengendalikan isu-isu yang berkaitan dengan kandungan berbentuk komunikasi dan multimedia di Malaysia. Forum Kandungan ditubuhkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 pada Februari 2001 dan beroperasi sebagai forum industri di bawah SKMM.

Selaku organisasi pengawalseliaan kendiri, Forum Kandungan disertai oleh pemain utama industri yang terdiri daripada wakil badan penyiar, badan pengiklanan, pencipta kandungan bahkan turut disertai oleh institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Menurut Pengarah Eksekutif Forum Kandungan, Puan Mediha Mahmood, Forum Kandungan bertanggungjawab menggubal dan membangunkan kod dan dasar kandungan negara yang bukan sahaja untuk pengamal industri malah buat pengguna awam. Dalam hal ini, Forum Kandungan turut memfokuskan penglibatan bersama antara industri dengan orang awam di samping bertanggungjawab mengurus aduan dan sebagai perlindungan kepada pengguna kandungan komunikasi dan multimedia negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBhg. Tuan Haji Md. Johari Hasan menyampaikan cenderamata DBP kepada Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia, Encik Kenny Ong.

Sesi Kunjungan Hormat Forum Kandungan kepada DBP tersebut dihadiri oleh wakil DBP yang terdiri daripada Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Akademi DBP, YBrs. Dr. Santrol Abdullah; serta beberapa orang karyawan DBP. Daripada pihak Forum Kandungan, antara yang turut hadir ialah Wakil Kategori Pengiklan, Encik Khairudin Rahim (4As); Wakil Kategori Penyiar, Encik Mohamad Razlan Abdul Latip (Astro); Wakil Kategori Sivik, Ts. Dr. Syed Agil Sheikh Alsagoff (Universiti Putra Malaysia); Wakil Kategori Pencipta Kandungan, Puan Nur Ilyanna Mohammad Shaharul Hashri (The Star); dan Wakil Eksekutif Forum Kandungan, Encik Afiq Zulhilmi Baharudin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.