4 September 2021, 22:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penyebaran berita palsu semakin berleluasa sejak belakangan ini. Oleh itu, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Sinar Harian pada hari ini mengupas isu ini melalui forum yang bertajuk “Maklumat Palsu: Peranan Masyarakat Beretika”. Forum yang diadakan secara dalam talian ini boleh ditonton secara langsung menerusi Facebook Pertubuhan Ikram Malaysia dan Youtube TV IKRAM pada pukul 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Forum ini menampilkan tiga orang ahli panel undangan, iaitu Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, pempengaruh media sosial, Dr. Ahmad Samhan Awang, dan juga Presiden Persatuan Saintis Muslim Malaysia (Perintis), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad ‘Athif Mohd Faudzi sebagai moderator.

Forum dimulakan oleh moderator, Profesor Ahmad ‘Athif yang memerihalkan bagaimana pandemik COVID-19 pada hari ini memberikan impak yang besar apabila adaptasi masyarakat pada perubahan digitalisasi berlaku dengan semakin pantas. Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi juga telah membawa dunia pada era penghasilan serta perkongsian berita dan maklumat dengan lebih mudah dan pantas. Pembanjiran maklumat yang dikongsi melalui media sosial dan juga media digital banyak mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku kita sebagai masyarakat.

Kita sebagai masyarakat Malaysia perlu melihat bagaimana kita boleh mengelakkan kekeliruan, salah faham, dan juga prejudis yang boleh membawa keburukan dan juga kemusnahan.

Perbincangan forum ini diteruskan dengan ahli panel yang pertama, iaitu Dr. Mohd Farid. Menurut beliau, Islam amat mementingkan keyakinan dalam kita menerima khabar (maklumat). Khabar dan berita merupakan satu ilmu yang sah dalam Islam. “Pada hari ini, kita menerima khabar setiap hari, melalui aplikasi WhatsApp, Facebook, surat khabar dan banyak lagi,” ujarnya.

Kita diingatkan dalam al-Quran melalui firman Allah SWT, ‘Wahai orang beriman, jika sampai orang fasik kepada kamu untuk menyampaikan berita, perkara pertama yang kamu harus lakukan ialah tabayyun (selidik dahulu)’.

Menurut Dr. Mohd Farid lagi, “dalam keadaan kita mendapat lambakan maklumat, sekiranya kita tidak ada disiplin ketika menerima maklumat, akan terjadi dua implikasi. Pertama, maklumat yang kita terima akan menjadi sebahagian daripada kepercayaan kita. Kedua, kefahaman kita rosak dan kita akan merosakkan kefahaman orang lain.”

Sementara itu, Dr. Ahmad Samhan yang terkenal dengan perkongsian ilmu kesihatan di aplikasi TikTok dan kini mempunyai 1.1 juta orang pengikut berkongsikan perbezaan setiap media sosial yang mempunyai fungsi yang berbeza-beza. Katanya, “setiap media sosial mempunyai peranan yang berbeza-beza dan juga digunakan oleh generasi yang berbeza-beza. Facebook merupakan media sosial tertua berbanding dengan platform media sosial yang lain.”

Tambah beliau, “bagi menyampaikan maklumat yang tepat kepada pelbagai golongan, sangat bagus jika kita boleh menggunakan semua platform kerana kita dapat kongsikan dan salurkan maklumat kepada pelbagai generasi.”

Dalam forum tersebut juga, Profesor Mohamed Hatta mengelaskan tiga entiti yang terlibat dalam penyampaian maklumat, iaitu manusia, alat perhubungan (media sosial) dan juga Rabb (tuhan yang menguasai manusia dan alat). “Malangnya, banyak antara kita yang sering lupa bahawa yang menguasai kita dan juga alat ini ialah Tuhan,” ujar beliau.

Selain itu, Profesor Mohamed Hatta juga menerangkan bahawa mereka yang suka menyebarkan berita palsu dan juga fitnah ini datang daripada dua golongan.

Golongan pertama ialah manusia yang suka membuat berita palsu ini merupakan mereka yang sakit dan jahat. Mereka ini merupakan manusia yang menerima gaji sebagai laskar siber. Mereka ini jahat dan memakan gaji haram!

Tambah Profesor Mohamed Hatta, “golongan yang kedua pula merupakan orang yang tidak sengaja. Orang yang tidak tabayyun (tidak selidik dahulu) dan terus sebarkan. Perbuatan mereka ini tetap berdosa walaupun mereka tidak sengaja kerana tiada disiplin dan tiada tabayyun dalam diri mereka sebelum menyampaikan maklumat. Pada kebiasaannya, mereka ingin pengiktirafan bagi jiwa yang lemah.”

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.