26 Disember 2022, 20:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bintan, Indonesia – Aspek kebersihan wajar terus diberikan penekanan utama untuk menarik lebih banyak pelancong berkunjung ke Perlis. Semua pihak di negeri ini mestilah saling bekerjasama untuk merealisasikannya.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan zakat MAIPs bernilai USD112 kepada Masjid Raya Nur Ilahi Provinsi Kepulauan Riau, Dompak Bukit Bestari, Tanjung Pinang, Indonesia yang diterima oleh Ketua Pengurusan Masjidnya, Dr. H. Handralin pada petang semalam. Tambah baginda:

Setiap anggota masyarakat juga perlu bersama-sama memainkan peranan untuk mengubah sikap dalam meningkatkan amalan kebersihan masing-masing terutama sekali penjagaan alam sekitar dan premis makanan seperti kedai, warung, restoran dan lain-lain lagi. Semua premis ini wajar memastikan kualiti kebersihan dan perkhidmatan jualan makanan berada di tahap yang tertinggi sejajar dengan dinamik semasa dan harapan pelanggan.

Berangkat sama mengiring baginda ialah anakanda-anakanda baginda, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Pada kesempatan yang sama DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyarankan supaya pihak berkuasa menguatkan lagi tahap penguatkuasaan terutama sekali dalam kecekapan dan keberkesanan tindakan terhadap mereka yang mencemarkan alam sekitar di negeri ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.