Oleh Mohamad Bahadon
16 Mac 2021, 15:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jika diberikan pilihan antara buku cerita biasa dengan buku komik kepada kanak-kanak sekolah rendah, buku yang manakah menjadi pilihan? Pastinya kanak-kanak ini akan memilih buku komik. Mungkin sebab utamanya adalah kerana persembahan cerita menerusi gambar yang berwarna-warni, serta ayat berbentuk perbualan yang biasa tetapi ringkas, bukan sahaja menarik perhatian mereka, malah juga memudahkan dan mempercepatkan pemahaman mereka.

Ketika membaca komik, kanak-kanak dapat mengikuti ceritanya dan memahami maksudnya. Jika pun lambat atau tidak faham dengan membaca tulisan, mereka boleh merujuk gambar bagi membantu memahaminya. Pada hakikatnya, komik berjaya menarik perhatian kanak-kanak untuk mendekati buku seterusnya menimbulkan keinginan untuk membaca, atau setidak-tidaknya mendapatkan buku itu. Ibu bapa, orang awam, malah para guru sedar dan bersetuju jika dikatakan komik mampu menjadi pemupuk minat dan keinginan kanak-kanak untuk membaca. Dengan itu, kanak-kanak mampu menjadikan komik sebagai bahan bacaan sampingan atau tambahan yang diminati.

Persepsi umum dan pandangan negatif mata kasar masyarakat, komik sebagai bahan bacaan murahan yang tiada nilai pembelajaran atau tidak mampu dijadikan saluran pengetahuan terutama bagi kanak-kanak, perlu diketepikan. Terdapat juga sebilangan ibu bapa yang menganggap komik tidak memberikan sebarang faedah dan pengetahuan kepada anak-anak, malah dianggap suatu pembaziran. Lantaran itu, ibu bapa memilih buku yang dirasakan mampu merangsang minda dan menambah pengetahuan anak, asalkan bukan komik. Sewajarnya dan sudah tiba masa perasaan sinikal yang wujud dalam sanubari ibu bapa selama ini perlu disingkirkan.

Di sesetengah negara, komik telah dijadikan bahan bacaan yang berkedudukan sama penting dengan buku pelajaran. Contohnya di Jepun, Korea dan China, komik sudah diterima menjadi bahan penting dalam pendidikan peringkat kanak-kanak. Mungkin di negara kita, komik boleh dijadikan sebagai sumber bahan bacaan untuk menarik minat kanak-kanak untuk membaca. Komik juga boleh dijadikan sebahagian daripada buku teks sekolah, yang berfungsi seiring dengan buku teks yang lain. Dengan wujudnya minat dan keseronokan membaca buku komik, lama-kelamaan mereka akan membaca buku sekolah yang lain. Yang penting ialah cara untuk memupuk minat dan mewujudkan keseronokan anak-anak untuk membaca. Oleh itu, penggunaan komik boleh menjadi satu daripada cara tersebut.

Sebagai bahan bacaan popular, kita dapat lihat banyak komik yang dihasilkan dan pelbagai jenis komik pula yang terdapat dalam pasaran. Sudah tentu permintaan tinggi daripada pembaca menyebabkan syarikat penerbitan melibatkan diri dalam penerbitan komik. Dahulu, kebanyakan komik diterbitkan secara bersiri dan berkonsepkan majalah serta sebagai hiburan semata-mata. Namun begitu, sekarang, komik diterbitkan dalam pelbagai bentuk serta dengan pelbagai fungsi.

Dari segi definisi, komik ialah cerita bergambar yang disusun daripada gambar tidak bergerak, sehingga membentuk suatu cerita yang mudah difahami. Komik termasuk dalam karya seni kerana memerlukan keterampilan dalam menggambar dan menyusun ayat sehingga memberikan makna pada cerita yang disampaikan. Komik juga merupakan medium yang dapat memberikan model yang boleh digunakan untuk meningkatkan dan mengembangkan keperibadian kanak-kanak. Malah komik boleh dijadikan saluran komunikasi, saluran untuk menyampaikan cerita, maklumat,  termasuk hal ilmiah, seperti genre sastera kanak-kanak yang lainnya. Oleh itu, dapat kita simpulkan bahawa komik ialah satu daripada medium yang berfungsi untuk menyampaikan mesej dan cerita melalui ilustrasi gambar untuk mendeskripsi cerita, yang sifatnya mudah dicerna dan menarik dibaca.

Jika dilihat secara lebih mendalam, komik merupakan medium yang mempunyai sifat sederhana dan lebih kepada personal sehingga mempamerkan sifat bermaklumat dan berpendidikan, tetapi tidak lari daripada kejelasan dan mudah difahami. Dalam bidang pendidikan dan sebagai medium pembelajaran, komik merupakan alat yang berfungsi untuk menyampaikan pelbagai maklumat pembelajaran. Dalam konteks ini, pembelajaran merujuk proses komunikasi antara murid atau pelajar dengan sumber pembelajaran, iaitu buku atau komik menerusi guru. Komunikasi pembelajaran akan berjalan dengan maksimum jika maklumat pembelajaran disampaikan secara jelas, mudah dan menarik.

Secara ringkasnya, terdapat beberapa kelebihan apabila komik digunakan dalam pembelajaran. Pertama, komik dapat memberi galakan dan motivasi kepada murid dalam pembelajarannya. Kedua, dengan menampilkan gambar, komik dapat meningkatkan kualiti pembelajaran murid. Ketiga, komik mampu mencetuskan minat membaca dan mengarahkan mereka yang kurang berminat membaca supaya mendisiplinkan diri untuk membaca. Keempat, komik merupakan medium pembelajaran yang bersifat kekal seperti buku pelajaran yang lain. Kelima, komik merupakan sebahagian daripada budaya popular yang boleh menjadi tarikan utama untuk membantu murid dalam pembelajaran mereka.

Sebagai medium pembelajaran, komik juga tidak terkecuali daripada kelemahan tertentu. Antaranya ialah komik mampu mengehadkan dan menghilangkan sifat ingin tahu atau imaginasi murid. Peranannya sebagai medium pembelajaran masih belum terlaksana memandangkan belum bermula penggunaan komik untuk tujuan ini, dan penggunaan media komik hanya berkesan diberikan kepada murid yang meminati komik sahaja. Dengan adanya kelemahan ini, maka penyusunan bahan mengajar menerusi komik perlu dilakukan dengan tersusun dan berdisiplin, iaitu gambar pada komik tidak disajikan secara berlebihan agar tidak berlaku ketandusan idea dan imaginasi murid kerana minda mereka tidak berkembang.

Dalam usaha mencungkil kembali sejarah awal kegiatan seni lukis komik di Malaysia, wujud masalah dari segi kekurangan bahan dokumentasi yang berkaitan dengan bidang ini. Kesenian komik yang tumbuh subur semenjak sekian lama dahulu tidak pernah mendapat perhatian yang sewajarnya daripada banyak pihak, termasuk para penyelidik dan pengkaji bentuk kebudayaan di negara kita.

Pandangan sempit sesetengah golongan terhadap kepentingan budaya komik dalam mewujudkan cita rasa popular harus diketepikan. Komik dikatakan mewakili suatu bentuk kehidupan seni yang penuh dengan khayalan, tanpa memberikan faedah terhadap aliran kemajuan pemikiran manusia. Akan tetapi, golongan itu juga tidak pernah menyedari betapa khayalan yang dicetuskan oleh komik telah banyak merintis jalan ke arah kemajuan teknologi moden kini.

Komik mula berkembang pesat dalam bentuk moden di negara kita pada sekitar tahun 1930-an dan dipercayai mempunyai hubungan yang rapat dengan perkembangan bidang persuratkhabaran yang mula memasuki era kebangkitan nasionalisme. Peranan akhbar dan majalah pada sekitar tahun 1930-an amat besar terhadap perkembangan komik serta para pelukisnya. Pada masa yang sama, banyak akhbar dan majalah yang membantu dalam perkembangan komik, kartun dan karikatur seperti Warta Jenaka, Lembaga, Utusan Melayu, Majlis, Utusan Kanak-kanak dan lain-lain.

Aliran yang memudahkan persembahan komik dalam bentuk yang kita lihat pada hari ini bermula di Eropah. Beberapa orang pelukis di Eropah telah melahirkan bentuk komik yang khusus, yang pada akhirnya menjadi ikutan para pelukis di seluruh dunia. Perkembangan komik di negara kita semakin menonjol antara tahun 1950-an hingga 1970-an. Banyak penulis dan pelukis komik muncul dan semakin banyak komik diterbitkan. Antaranya termasuk Saidin Yahya menerusi komik Puteri Langkawi, Mohamad Salehuddin dengan komik Si Kumbang, Halim Teh dengan komik popular sebanyak 11 siri berjudul Keris Berpuaka, Panglima Hitam. Kemudian komik berunsur aksi mula diterbitkan, seperti Badang, Hang Tuah, Panglima Awang dan Helang Hitam. Pada ketika itu, banyak syarikat penerbitan yang menghasilkan komik, malah ada yang mengkhususkan bidang penerbitannya pada buku atau majalah yang bercirikan komik. Antaranya ialah Sinaran Brothers, Pustaka Antara, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Melayu Raya Press, Geliga United dan beberapa lagi.

Siri kartun Din Teksi yang disiarkan dalam Utusan Malaysia amat popular pada tahun 1980-an. Menerusi komik ini, pelukisnya, Nan melihat keharmonian hidup masyarakat majmuk melalui imaginasi humor seorang pemandu teksi separuh usia yang berurusan dengan pelbagai tingkah laku masyarakat kota dalam semua peringkat. Pelukis dan pencerita komik dan kartun terkenal, Lat, melalui siri Si Mamat mengeksploitasi watak kanak-kanak melalui kenakalannya, bagi mencetuskan kritikan secara tidak langsung terhadap kehidupan sosial masyarakat Malaysia.

Pada era 1970-an dan 1980-an, muncul beberapa orang penulis komik terkenal seperti Raja Hamzah, Saidin Yahya, Halim Teh dan sebagainya. Mereka sering mengambil inti pati nasionalisme sebagai bahan untuk menghasilkan komik. Jaafar Taib dengan siri Hang Tuah secara langsung mengangkat nilai keberanian orang Melayu dan pengaruhnya terhadap politik Asia Nusantara.

Komik Raja Hamzah yang sangat popular melalui akhbar Berita Minggu ialah siri Toyol, yang mengisahkan seorang penduduk dengan toyol belaannya. Komik ini menjadi ikutan dan menarik minat pelbagai golongan pembaca. Kemunculan siri Toyol mengembalikan populariti Raja Hamzah dalam kalangan peminat komik. Siri Toyol menjadi begitu popular sehingga timbul pernyataan daripada pembaca yang mengatakan bahawa mereka membeli akhbar tersebut semata-mata untuk mengikuti siri tersebut. Raja Hamzah juga menghasilkan komik seperti Sang Kancil, Anak Toyol, Ali Baba, Kalong Noryati, Panglima Nayan, Potret Puaka, Ratna Lela dan Mat Setinggan. Dua buah komik beliau juga mendapat tempat di akhbar New Straits Times, iaitu komik Tun Perak dan Tun Fatimah.

Pelukis Rejabhad yang muncul dengan siri komiknya Konstabel Jabit, juga disiarkan dalam akhbar dan turut mendapat sambutan yang menggalakkan. Kisah dan suasana kehidupan pasukan keselamatan yang menjadi inti pati komiknya, menjadi bukan sahaja bahan hiburan, malah pengajaran, teladan dan sindiran yang biasa tetapi mencuit hati. Banyak lagi pelukis dan penulis komik yang berjaya menghasilkan karya mereka dalam bentuk buku dan sisipan dalam akhbar dan majalah.

Antara karya kartunis Lat yang paling dikenali di Malaysia.

Kemunculan pelukis Lat menerusi cerita Budak Kampung berjaya menempatkan dunia komik dan kartun di tempat yang amat istimewa pada kaca mata masyarakat berbilang kaum. Kisah zaman persekolahan dan suasana kehidupan kampung dan pekan kecil tempatnya, berjaya menarik minat ramai. Komik Budak Kampung telah diterjemahkan dalam beberapa bahasa. Lat juga menghasilkan beberapa buah komik dan kartun lagi dalam bentuk buku dan semuanya mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Dalam tempoh beberapa tahun belakangan ini, penghasilan komik dalam bentuk sisipan dalam akhbar dilihat berkurangan, walaupun masih ada dalam majalah. Walau bagaimanapun, tiada cerita yang berjaya memikat hati ramai seperti yang dicetuskan oleh penulis dan pelukis komik sebelum itu. Namun demikian, penghasilan komik dalam bentuk buku dilihat ketara. Tinjauan penulis ke beberapa buah kedai buku di ibu negara mendapati berjenis-jenis komik diterbitkan dan berada dalam pasaran. Yang menariknya, komik yang dihasilkan itu bukan sahaja disasarkan kepada kanak-kanak, malah ada komik yang diterbitkan untuk golongan remaja dan siswa, malah golongan wanita.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, penerbitan komik semakin rancak. Banyak penerbit yang melibatkan diri dalam penerbitan ini dan jenis komik yang dihasilkan merangkumi pelbagai bidang, seperti pengembaraan, penciptaan, sains fiksyen, angkasa lepas, kehidupan haiwan, kemasyarakatan, perlumbaan dan sukan, malah percintaan. Dengan pelbagai genre yang dikaitkan dengan komik, tidak mustahil jika komik juga digunakan sebagai satu daripada medium pembelajaran dan pendidikan di negara kita.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.