30 Julai 2021, 16:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Program Suara dari Lembah Gaza (SDLG) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bermula pada 25 Julai 2021 diteruskan dengan program wacana yang bertajuk “Wacana Air Mata Gaza: Tawa dan Duka” yang dianjurkan oleh DBP Wilayah Timur dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Kelantan. Program ini disiarkan secara langsung melalui Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 30 Julai 2021 (Jumaat), pukul 10.30 pagi.

Program ini dianjurkan bertujuan untuk menelusuri kisah Palestin, menghayati pengorbanan mereka, dan menderma bagi menampung beban dan kesengsaraan hidup masyarakat Palestin, kesan daripada peperangan dan bedilan yang berpanjangan daripada Zionis Israel. Sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada Palestin melalui Tabung Musa‘adah Palestin yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

A. Aziz Deraman mendeklamasikan sajak dalam program SDLG.

Program dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YBhg. Dato’ Haji A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP merangkap Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), yang seterusnya mendeklamasikan sebuah sajak yang bertajuk Zionisme.

Panel yang diundang khas bagi membicara isu Palestin ini ialah Abdallah I.S. S. Haniya@Ismail atau lebih mesra dipanggil Abe Loh, iaitu rakyat Palestin yang telah menetap di Kelantan, manakala Haji Mat Nasir Ismail bertindak sebagai moderator.

Abe Loh antara lain menyuarakan rasa sedih beliau akan penderitaan yang ditanggung oleh saudaranya di Palestin. Beliau menyeru rakyat Malaysia umumnya, dan umat Islam khususnya, untuk sama-sama membantu rakyat Palestin.

“Palestin bukan untuk orang Palestin sahaja. Ini tanah Islam, ada Masjid al-Aqsa dan tanah waqaf umat Islam, jadi semua kena tolong. Dan bukan untuk orang Islam sahaja kerana Isa a.s. juga lahir di sini. Ini soal kemanusiaan yang memerlukan perhatian seluruh dunia,” katanya.

Menurut Abe Loh, terdapat lebih dua juta rakyat Palestin di dalam penjara terbesar di Gaza. Israel pula telah menutup jalan ke Gaza, menyebabkan barang keperluan tidak dapat dibawa masuk. Penderitaan itu ditambah lagi dengan suasana pandemik COVID-19 dan 80 peratus rakyat Palestin tidak mempunyai pekerjaan.

“Saya minta tolong semua orang jangan lupa, jangan ada yang syahid baru kita bangun. Beritahu anak-anak tentang Palestin, dan tolong sentiasa doakan untuk mereka,” ujarnya penuh harapan.

Program tersebut mendapat sambutan baik daripada khalayak dan rata-rata netizen memuji usaha yang dilakukan oleh pihak DBP ini.

Program diakhiri dengan persembahan oleh Siti Nur Zafran Zainal Abidin daripada Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan/Penyair Kebangsaan (GEMA) yang mendeklamasikan puisi bertajuk Aku Anak Perang.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.