31 Julai 2021, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Diskusi Remaja: Remaja dan Perjuangan yang disiarkan secara langsung pada 31 Julai 2021 (Sabtu), pukul 2.00 petang menerusi Studio Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendapat sambutan dan respons positif daripada khalayak.

Program ini diadakan bersempena dengan program Suara dari Lembah Gaza anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Diskusi remaja ini bertujuan untuk mengumpulkan dana untuk rakyat Palestin melalui Tabung Musa’adah COVID-19 JAKIM-YWM (Yayasan Waqaf Malaysia) selain membincangkan isu yang berkaitan dengan remaja dan perjuangan mereka.

Sebanyak lima orang ahli panel diundang untuk mengupas isu yang dibincangkan, iaitu Wan Afiq Ikhwan Wan Alias, Azizah Arfian, Muhammad Aiman Lukqman Aizul Hisham, Muhammad Huzaifi Ismut dan Ahmad Aiman Afnan Ahmad Nazli. Moderator bagi program ini pula ialah Muhammad Firdaus Hamdan.

Segmen pertama dalam program ini membincangkan pandangan kesemua ahli panel berkaitan dengan konflik antara Israel dengan Palestin dari sudut agama, sejarah, undang-undang, politik dan kemanusiaan. Bagi segmen kedua pula, terdapat kupasan tentang definisi perjuangan bagi remaja pada masa ini. Selain itu, terdapat juga diskusi tentang cara yang perlu dilakukan oleh remaja bagi menangani krisis identiti yang menjadi punca perjuangan mereka untuk menegakkan keadilan kabur atau kurang berkesan.

Seterusnya, dalam segmen kedua juga ada membincangkan tentang pengaruh teknologi terhadap perjuangan remaja kini. Persoalan tentang remaja masa ini tiada misi dan visi, mempunyai mental yang lemah serta tiada hala tuju perjuangan yang jelas turut dikupas dalam program ini. Di samping itu, diskusi tentang cabaran yang dihadapi oleh remaja pada hari ini khususnya dalam pandemik COVID-19 dijelaskan secara terperinci oleh ahli panel.

“Jika ingin melihat pemimpin pada masa hadapan, maka lihatlah anak muda pada hari ini,” ujar Huzaifi.

Program diakhiri dengan dendangan lagu Berita kepada Kawan oleh Mohamad Ammal Shafiq Osman (Amal) daripada Akademi Fantasia. Tonton Diskusi Remaja: Remaja dan Perjuangan di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.