Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan program Forum Suara Gaza pada 25 Ogos 2021. Program ini disiarkan secara langsung melalui platform Facebook USIM TV dan juga Jendela DBP pada pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Program ini dianjurkan bertujuan untuk memberikan kesedaran terhadap penonton tentang betapa perit dan susahnya kehidupan seseorang yang bergelar rakyat Palestin. Di samping itu, para panelis juga menyentuh mengenai isu yang berlaku antara Israel dengan Palestin melalui penceritaan secara terperinci tentang sejarah lampau bermula daripada peristiwa tercetusnya peperangan antara dua buah negara ini.
Forum ini dimulakan dengan ucapan pengacara TV Alhijrah, Farrah Adeeba Mohamed Ashraf yang bertindak sebagai moderator. Farrah Adeeba seterusnya membuat perincian dan memberikan penerangan tentang diskriminasi dan prejudis yang telah disalahertikan oleh rejim Zionis. Beliau turut mempertikaikan alasan mereka untuk menjajah Palestin adalah sangat tidak masuk akal oleh sebab mereka menyatakan bahawa “tanah Palestin bukan dijajah, tetapi merupakan tanah tradisi mereka yang diduduki oleh nabi-nabi mereka seperti Nabi Sulaiman.”
Ahli panel yang diundang khas bagi menyerikan forum ini ialah Profesor Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor yang merupakan Pensyarah dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau memulakan program ini dengan menyatakan bahawa dakwaan Israel yang mengatakan rampasan tanah Palestin itu adalah wajar dilakukan oleh mereka adalah rapuh. Hujah demi hujah telah diberikan oleh beliau dengan menjelaskan bahawa peristiwa yang terjadi pada masa kini dapat dikaitkan dengan kisah silam yang terdahulu.
Dalam kitab mereka sendiri, Nabi Musa a.s. telah menyatakan golongan yang tidak berperikemanusiaan inilah yang membunuh para nabi.
“Apatah lagi kalau kita merujuk al-Quran, kita dapat lihat kaum ini telah melanggar pelbagai bentuk arahan, perintah dan amanah yang telah diletakkan atas diri mereka. Ini menunjukkan betapa angkuhnya mereka dan mereka tidak malu untuk membuat satu resolusi untuk mempunyai negara mereka tersendiri,” ujar Dr. Hafidzi.
Forum ini diteruskan oleh ahli panel yang kedua, Dr. Mohd Soberi Awang, iaitu Pensyarah USIM. Beliau memulakan komentar beliau dengan memetik ayat al-Quran tentang dakwaan Yahudi yang menyatakan bahawa mereka berhak untuk mendapatkan tanah Palestin. Menurut Dr. Mohd Soberi, isu Palestin ini ialah isu yang berkaitan dengan nyawa manusia itu sendiri dan tidak ada kaitan sama sekali dengan isu agama.
Tindakan mereka membunuh orang Palestin tanpa menerima tindak balas merupakan tindakan bacul. Mereka melakukan apa-apa sahaja bentuk keganasan. Tekanan terhadap orang Islam merupakan suatu tindakan yang bacul!
Program tersebut mendapat sambutan yang baik daripada khalayak dan telah disokong oleh warga siber atas usaha yang dilakukan oleh pihak DBP dan USIM. Program ini diakhiri dengan persembahan oleh penyanyi, SISO, dengan lagunya yang berjudul Balada Gadis Kecil.
Dalam pada itu, pihak DBP dengan kerjasama USIM turut mengambil kesempatan untuk membuat penjualan buku dan 10 peratus daripada jumlah pembelian buku tersebut akan disumbangkan ke Tabung Palestin bagi membantu meneruskan perjuangan Palestin.
Ikuti siaran forum ini di Facebook USIM TV dan Jendela DBP.