Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah menyempurnakan perasmian Majlis Penutupan Pertandingan Forum Pelajar 2021 Peringkat Negeri Sabah yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom pada 2 September 2021 (Khamis), pukul 10.00 pagi.
“Para pelajar yang ada pada hari ini akan menjadi pemimpin pada masa hadapan. Merekalah yang akan mencorakkan landskap pembangunan fizikal dan sosial negara pada ketika itu. Pertandingan seumpama Forum Pelajar inilah menjadi pentas untuk menggilap bakat dan kebolehan mereka sebagai permata negara yang pintar berfikir dan petah berhujah,” ujar Hajiji dalam ucapannya.
Menurut Hajiji lagi, pertandingan ini besar manfaatnya kerana pelajar dapat menonjolkan penggunaan bahasa kebangsaan yang terampil, bertepatan dengan matlamat untuk menyediakan wadah dan suasana penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar sekolah Cina, dengan harapan dapat melahirkan satu model penggunaan bahasa yang sempurna dari segi tatabahasa, sebutan dan gaya penyampaian.
Dalam majlis ini, Sekolah Menengah Tshung Tsin Sabah, Kota Kinabalu telah diumumkan sebagai Johan Pertandingan Forum Pelajar 2021 Peringkat Negeri Sabah. Dengan membincangkan tajuk “Membentuk Budaya Berfikir Golongan Muda”, Angelin Kong, selaku ahli panel kedua dalam pasukan ini juga telah merangkul gelaran Ahli Forum Terbaik. Sementara itu, Naib Johan disandang oleh pasukan forum dari Sekolah Menengah Kian Kok, Kota Kinabalu manakala pengerusinya, Amanda Cheryl Wong, telah dinobatkan sebagai Pengerusi Terbaik. Pasukan dari Sekolah Menengah Yu Yuan, Sandakan pula mendapat tempat ketiga.
Pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dengan kerjasama Kumpulan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Menengah Cina Persendirian Sabah ini telah diadakan saban tahun sejak tahun 1993, namun situasi penularan pandemik COVID-19 yang tidak menentu menjejaskan rancangan pelaksanaannya pada tahun 2020. Melalui kaedah pertandingan secara dalam talian yang disesuaikan mengikut norma baharu, program ini dapat diadakan semula pada tahun ini. Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Kebangsaan dijangka diadakan pada penghujung September 2021.