Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan strategi pemerkasaan bahasa Melayu dalam usaha memastikan tahap penguasaan bahasa kebangsaan yang baik dalam kalangan murid, termasuklah murid di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata, bahasa Melayu merupakan mata pelajaran teras dalam kurikulum kebangsaan di SJKC dan SJK berdasarkan Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016-2025.
“KPM telah menetapkan bahawa semua murid di sekolah rendah termasuk SJKC dan SJKT perlu menguasai bahasa Melayu sebelum meneruskan pendidikan pada peringkat menengah,” kata beliau dalam persidangan Dewan Negara pada hari ini.
Mengulas lanjut berkaitan dengan tahap penggunaan serta penguasaan bahasa Melayu di SJKC dan SJKT, KPM mengambil beberapa langkah strategik bagi mencapai hasrat tersebut.
Ujar beliau, KPM komited dalam usaha memastikan tahap penguasaan bahasa Melayu murid mencapai tahap yang dihasratkan selaras dengan matlamat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang wajib difahami oleh semua pihak.