Oleh Aminudin Mansor
22 Disember 2021, 18:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam bidang pendidikan, ibu bapa berperanan mendidik anak-anak di rumah. Peranan ibu bapa sebagai “guru” di rumah juga sangat penting dalam membentuk perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek seseorang anak. Manakala guru pula berperanan mendidik dan mengajar pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Ibu bapa boleh mendidik anak-anak mereka mengikut kemampuan dan kebolehan mereka dengan memberikan perhatian kepada kebersihan, adab sopan, mengamalkan suruhan agama dan melakukan perkara yang membentuk kehidupan mereka pada masa hadapan.

Oleh itu, ibu bapa dan guru perlu sentiasa bekerjasama dan memahami serba sedikit perkara yang berkaitan dengan berkaitan psikologi pendidikan supaya dapat membantu mereka ke arah pendidikan yang berkesan di rumah dan di sekolah. Kerjasama antara ibu bapa dengan guru sangat penting diwujudkan di sesebuah sekolah, misalnya melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang ditubuhkan. Peranan PIBG di kebanyakan sekolah kurang berfungsi dalam erti kata membentuk kerjasama antara ibu bapa dengan guru bagi mendidik murid dengan cemerlang.

Sementara itu, kerjasama erat antara guru dengan ibu bapa begitu penting bagi menghasilkan murid dan pelajar yang cemerlang dalam ilmu pengetahuan dan juga tingkah laku serta akal budi mereka. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc), serta pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) membolehkan anak-anak terdidik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek yang seimbang.

Tidak dinafikan psikologi Islam juga telah berkembang lama seiring dengan psikologi Barat. Islam mengambil landasan penting daripada Al-Quran dan Hadis sebagai usaha mendidik anak-anak dengan iman, adab, akhlak, amal dan ibadat yang menuju ke arah ketakwaan. Islam jelas menyarankan supaya mendidik anak-anak mengikut zamannya. Ibu bapa berperanan mendidik dan memberikan nama yang baik, mendidik adab yang baik, memberi kedudukan yang baik serta melatih anak-anak melakukan perkara yang baik dalam kehidupannya.

Dari segi psikologi pembangunan manusia, jika diteliti pastinya hal ini menghuraikan secara terperinci segenap aspek berhubung dengan pembangunan manusia, iaitu bermula dari peringkat kanak-kanak, remaja sehinggalah dewasa. Kajian ini berkaitan dengan sejak pertumbuhan dan perkembangan, pengaruh baka, sebelum dan selepas kelahiran, perkembangan holistik, konteks perkembangan remaja, perkahwinan dan dewasa.

Kajian Wiliam Jemes yang mendefinisikan psikologi sebagai, “sains bagi kehidupan mental” yang meliputi aspek-aspek seperti perasaan, keinginan, kognisi, penaakulan, membuat keputusan dan lain-lain yang berkaitan sains tingkah laku dan proses-proses mental merujuk kepada pemikiran perasaan dan ingatan. Imam Al-Ghazali pakar psikologi Islam menyarankan proses pendidikan melalui nasihat dan bimbingan. Melalui nasihat dan bimbingan itu dikatakan lebih berkesan terutamanya apabila dilakukan oleh ibu bapa melalui contoh dan teladan yang baik.

Manakala, Wilhlem Wundt (1832-1920) yang mendapat jolokan Bapa Psikologi Moden pertama menggunakan kaedah saintifik, iaitu mendidik dengan kaedah psikologi. Kaedah ini lebih kepada mendidik pelajar di dalam kelas bagi membentuk peribadi murid mengikut apa-apa yang telah digariskan oleh pakar pendidikan.

Sarjana pedagogi kritis seperti R.Dreeben (1968) , Kathleen Lynch  dan Eric Margolis menyebutnya sebagai “kurikulum tersembunyi” (hideen curriculum), iaitu sebuah dimensi pendidikan secara tidak langsung yang mensosialisasikan murid ke dalam masyarakat. Dalam erti kata lain, inilah guru yang sewajarnya dilihat sebagai kelompok intelektual transformatif kerana mereka perlu bertanggungjawab mengemudi hala tuju pendidikan. Oleh hal yang demikian, guru bukan sahaja mendidik dengan setakat membantu proses membaca dan mengira, malah turut berdialog, mengkritik serta membina rukun sosial dan budaya yang bakal membentuk pandangan alam murid sebagai penggerak perubahan sosial yang berkesan.

Oleh sebab itu, tumpuan kepada akal, perasaan dan juga hati mestilah diberikan pendidikan yang sewajarnya apabila berada di rumah dan di sekolah. Keseimbangan pendidikan antara ibu bapa dengan guru perlu diteruskan dari semasa ke semasa. Pada masa ini, peranan PIBG begitu penting bagi mendidik murid di sekolah. Kerjasama erat antara ibu bapa dan guru mampu menjadikan murid berjaya dalam pelajaran dan sahsiahnya.

Berkaitan dengan tingkah laku sosial pula, menurut pandangan Beck (1982), sikap ialah suatu istilah yang pada umumnya digunakan untuk merujuk kepada perasaan positif atau negatif seseorang atau sesuatu. Oleh sebab itu, sikap merupakan pembawaan cara bertindak, kepercayaan atau perasaan positif atau negatif terhadap objek, manusia, situasi atau idea. Perasaan inilah yang akan menentukan pelbagai bentuk tingkah laku sosial.

Ibu bapa dan guru juga wajar mendidik anak-anak ke arah pembentukan sifat positif dalam kehidupan mereka. Pandangan yang positif mestilah sentiasa diberikan kepada anak-anak melalui motivasi yang diberikan. Pendidikan akhlak dan nilai murni dapat membentuk anak-anak yang berkeyakinan dan mempunyai jati diri yang kukuh. Sebagai contoh, seseorang bapa itu mempunyai cara tersendiri bagi menggembirakan anak-anak dalam proses sosiologi mereka. Ketegasan mereka dapat mendidik anak-anak menjadi anak berdisiplin, bertanggungjawab, berdikari dan juga memahami tugas sebagai lelaki pada masa depan. Begitu juga dengan ketegasan, mereka dapat mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah masalah sosial seperti merokok, melepak dan terbabit dalam kegiatan lumba haram.

Menurut Field dan Widmayer, seorang ibu pula mempunyai kecenderungan yang lebih untuk bertindak balas terhadap pertuturan anak-anak.  Dengan cara melayan anak, ibu secara tidak langsung membantu dalam pembentukan pola pertuturan kanak-kanak. Pada kebiasaannya, hubungan mereka lebih dekat dengan anak-anak. Ibu juga kaya dengan sifat kelembutan, kasih sayang dan disertai dengan ketegasan yang dapat membentuk jati diri anak-anak supaya taat mengerjakan ibadah, menepati masa, dan kaya dengan kasih sayang serta sifat kemanusiaan. Ibu juga dapat membentuk iman dan akhlak anak-anak yang baik dan terpuji.

Peranan ini sewajarnya disambut oleh para guru pada peringkat awal kanak-kanak di Tadika, diteruskan di sekolah rendah dan dimantapkan di sekolah menengah bagi memperteguh jati diri, peribadi dan sahsiah seseorang pelajar yang akan menghadapi kehidupan yang penuh cabaran pada masa depan.

Jika dikaji dan diteliti fenomena pada masa ini, anak-anak yang berilmu tetapi kurang beriman dan berakhlak pada akhirnya akan menemui kegagalan dalam kehidupan mereka. Oleh itu, keseimbangan ilmu, iman dan akhlak sangat penting bagi menentukan kejayaan dalam kehidupan pada masa akan datang. Elakkan anak-anak terpengaruh dan lalai dengan sesuatu yang tidak berfaedah dalam era globalisasi ini. Proses PdP yang berkesan sama ada di rumah dan di sekolah perlu mendapat bimbingan dan bantuan daripada ibu bapa dan guru serta masyarakat. Melalui nasihat yang baik dan bimbingan yang berkesan sahaja akan menjadikan mereka mampu mencapai kecemerlangan dalam kehidupan.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.