Oleh Asrar Ab Latif
7 September 2022, 12:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2022, Pertandingan Akhir Pidato Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah telah diadakan pada 6 September 2022 di Dewan Bankuasi Utama, Menara Kinabalu, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) yang disertai oleh sembilan orang peserta terbaik dari seluruh negeri Sabah. Pertandingan ini terbahagi kepada tiga kategori, iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Tingkatan Enam.

Pertandingan ini sebagai simbolik bergemanya semangat patriotik dalam jiwa generasi kini bersesuaian dengan tema Hari Kebangsaan 2022, iaitu “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”. Pertandingan ini merupakan acara yang signifikan dalam memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu selaras dengan visi dan misi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) demi memastikan bahasa kebangsaan terus terpelihara dan kekal sebagai tunjang negara.

Majlis Perasmian Penutupan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif, dalam ucapannya menyatakan bahawa pertandingan yang mengetengahkan tema “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” ini akan membuka peluang kepada peserta untuk menyerlahkan bakat pidato di samping menerapkan nilai patriotisme dalam kalangan generasi muda. Beliau turut berkata, pertandingan pidato ini dijalankan untuk memastikan kemahiran seni ini tidak terus lenyap ditelan zaman.

Majlis Penutupan juga disempurnakan oleh YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin yang sekali gus merasmikannya. Beliau juga berbesar hati menyampaikan hadiah buat para pemenang bagi acara Pidato Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah. Dalam majlis yang sama, YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin turut menyampaikan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) 2.0 kepada pelajar dari Sabah yang layak melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi. Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar, ketua jabatan, pelajar, ibu bapa dan guru pengiring.

Penyampaian Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) 2.0 kepada pelajar dari Sabah yang layak melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.

Menurut Setiausaha Tugas-Tugas Khas, Encik Sapdin Ibrahim, sebanyak 717 orang pelajar telah menyertai pertandingan ini. Setelah beberapa penilaian dilakukan pada peringkat saringan, hanya sembilan orang peserta yang dipilih untuk bertanding pada peringkat akhir.

Bagi kategori Sekolah Rendah, johan dirangkul oleh Florina Mikayla dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Siew Chin, Lahad Datu. Bagi kategori Sekolah Menengah pula, johannya disandang oleh Muhammad Yasin Roslan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Arshad, Kota Belud yang sekali gus menerima Anugerah Pemidato Terbaik pada tahun ini. Akhir sekali,  kategori Tingkatan Enam dijuarai oleh Saudari Siti Khadijah Kamarudin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim, Kudat.

Johan kategori Sekolah Rendah, Florina Mikayla dari SJKC Siew Chin, Lahad Datu.
Johan kategori Sekolah Menengah dan Pemidato Terbaik Tahun 2022, Muhammad Yasin Roslan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Arshad, Kota Belud.
Johan kategori Tingkatan Enam, Siti Khadijah Kamarudin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahim, Kudat.

Pertandingan ini merupakan anjuran Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Penyiaran Negeri Sabah, Jabatan Penerangan Negeri Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.