Oleh Mubarak Ismail
8 Jun 2022, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL 2022), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Majalah telah menganjurkan Forum Remaja pada 08 Jun 2022 (Rabu) pukul 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang. Forum yang diadakan secara langsung di Reruai DBP, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) boleh ditonton secara dalam talian menerusi platform media sosial DBP seperti Facebook, Twitter dan JendelaDBP.

Forum ini menampilkan dua panel jemputan, iaitu Ts. Dr. Hassan Mohamed, Pensyarah Kanan Institute of Sustainable Energy (ISE), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Chooi Je Qin, penuntut Kolej Tunku Ja’far, Mantin, Negeri Sembilan dan bakal penuntut Universiti Harvard. Manakala Hafez Dolson dari Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) selaku moderator forum.

Melalui gandingan dua ahli panel dan pengacara muda selaku moderator, tujuan utama forum ini diadakan adalah untuk mengupas tentang kisah kejayaan dua pelajar dari Malaysia yang berjaya menempah tiket pengajian di universiti terkemuka dunia, iaitu Universiti Harvard dan Massachusetts Institute of Technology (MIT) di samping menggalas tanggungjawab membawa nama dan maruah negara dalam arena pendidikan di peringkat antarabangsa.

Ts. Dr. Hassan Mohamed, Pensyarah Kanan Institute of Sustainable Energy (ISE), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Forum dimulakan oleh Ts. Dr. Hassan Mohamed yang berkongsi tentang pengalaman hidup beliau sewaktu melanjutkan pelajaran di luar negara untuk menjadi seorang mahasiswa yang berjaya, merangkumi pelbagai kisah suka duka, aspek disiplin diri, ketekunan dan fokus yang tinggi, kecekapan pengurusan masa, pengorbanan tenaga dan masa serta kesabaran menempuh segala ujian yang hadir.

“Pendidikan mampu menyatukan seluruh rakyat Malaysia menjadi sebuah keluarga dengan satu identiti dan jati diri. Melalui pendidikan juga, segala jurang perbezaan dapat diketepikan demi mencapai impian dan matlamat yang sama,” ujar Ts. Dr. Hassan Mohamed.

Ts. Dr. Hassan Mohamed turut menekankan bahawa pendidikan merupakan antara platform terbaik bagi membina dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa. Pendidikan sebagai teras perpaduan negara perlu diamalkan, dihayati, disemai dan dipupuk dalam kehidupan oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira budaya, bangsa dan agama.

Chooi Je Qin, bakal penuntut Universiti Harvard.

Menurut Chooi Je Qin pula, demi mencapai matlamat, misi dan visi kehidupan, pelajar perlu bersusah-susah dahulu dan bersenang-senang kemudian. Tidak ada kejayaan yang boleh dicapai melalui jalan pintas dan tanpa sebarang pengorbanan. Selain itu, pelajar juga harus berani keluar daripada zon selesa jika mahu mengembangkan dan memperkasakan potensi diri serta mengecapi kejayaan dalam setiap perkara yang diimpikan.

Tambah beliau lagi, pelajar perlu sentiasa muhasabah diri, memotivasikan diri serta menetapkan matlamat dan sasaran kejayaan yang ingin diperoleh. Bahkan pelajar perlu mengorbankan masa lapang bersama-sama keluarga dan rakan-rakan, masa rehat dan perlu melalui fasa kesakitan dan kepenatan demi menjadi pelajar yang berkemahiran tinggi dan berjaya di persada dunia.

Chooi Je Qin turut berikrar untuk menyumbang tenaga dan berbakti kepada tanah air Malaysia setelah menamatkan pengajiannya di Universiti Harvard.

“Carilah peluang untuk melengkapkan diri dengan pelbagai aspek dan jenis ilmu pengetahuan serta menambah pengalaman diri. Manfaatkan masa sebaik-baiknya dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah supaya dapat menambah dan meningkatkan kemahiran diri, justeru menjadi modal insan yang berkualiti dan berdaya saing untuk pembangunan, pengembangan dan kemajuan negara,” kata Chooi Je Qin.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Tuan Haji Abdul Halim Haji Harun, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP dan Puan Aninah Janang, Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.