Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama bagi memupuk kesedaran dalam kalangan remaja mengenai kepentingan mengutamakan gaya hidup sihat yang menyeluruh dari segi fizikal dan mental melalui penganjuran Pertandingan Lukisan Mural “Minda Sihat, Cergas Fizikal”, Serlahkan Keceriaan Bersama Gardenia QuickBites.
Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, KPM, Encik Cyril Christopher Singham, penganjuran program ini menggabungjalinkan kesihatan mental dan fizikal kerana kepentingan kesihatan mental dan emosi adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Kata beliau, “Dengan kesihatan mental yang mantap, kita akan berasa seronok dan gembira.”
Tidak dapat dinafikan melalui fizikal dan mental yang sihat akan menyumbang kepada kecemerlangan akademik.
Ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah “Minda Sihat, Cergas Fizikal”, Serlahkan Keceriaan Bersama Gardenia QuickBites di sebuah hotel di ibu negara pada petang tadi, Encik Cyril turut berkata, “Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, iaitu kajian yang dijalankan setiap lima tahun sekali mendapati seorang daripada lapan remaja yang berusia antara 10 hingga 19 tahun di negara ini berdepan dengan gangguan mental. Laporan NHMS juga mendapati terdapat kira-kira 424 ribu remaja di negara ini berdepan dengan masalah mental, namun kebanyakannya tidak tampil mendapatkan bantuan.”
Pertandingan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kreativiti murid, tetapi juga menggalakkan mereka untuk melakukan aktiviti ringkas dan sihat jika mereka berasa diri berada dalam keadaan tertekan.
“Lukisan merupakan salah satu bentuk aktiviti fizikal untuk murid melepaskan tekanan. Murid juga dapat menggilap kemahiran sosial dalam kalangan mereka. Aktiviti ini juga merupakan peluang untuk murid bercampur dan bergaul secara sihat,” jelas Encik Cyril.
Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Puan Lavinia Anthony berkata, “Program pada kali ini merupakan program kali pertama kami yang menekankan kesedaran mental melalui pelaksanaan aktiviti berskala besar ini dengan penuh makna.”
“Gardenia QuickBites turut berbesar hati kerana dapat memberikan saluran untuk melepaskan ketegangan atau tekanan yang mungkin dialami oleh para pelajar melalui aktiviti yang boleh merehatkan minda seperti melukis mural. Pada masa yang sama, aktiviti seumpama ini bukan sahaja dapat memupuk semangat kerjasama dan hubungan silaturahim dalam mencerna idea malah menyerlahkan kreativiti dan mencungkil bakat terpendam,” jelasnya.
Kami yakin aktiviti sebegini dapat melahirkan rasa ceria dan mewujudkan memori berkekalan yang bertepatan dengan tema Gardenia QuickBites, iaitu #serlahkankeceriaanbersamagardeniaquickbites.
Pertandingan Lukisan Mural “Minda Sihat, Cergas Fizikal”, Serlahkan Keceriaan Bersama Gardenia QuickBites berjaya mencatat sejumlah 108 ribu penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan guru dari seluruh Semenanjung Malaysia yang melibatkan empat zon utama – Zon Pusat, Utara, Selatan dan Pantai Timur.
Pertandingan lukisan mural tersebut melabuhkan tirainya dengan mengumumkan pemenang tempat pertama, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ria Jaya, Kedah; diikuti dengan SMK Presint 9 (2), Putrajaya di tempat kedua; dan SMK Tan Sri Jaafar Albar, Johor di tempat ketiga. Sementara itu, tiga buah sekolah memperoleh hadiah sagu hati, iaitu SMK Dato’ Razali Ismail, Terengganu; SMK Jalan Kota Tinggi, Johor; dan SMK Taman Medan, Selangor. Setiap pemenang menerima hadiah berupa wang tunai, plak dan sijil penghargaan.