Oleh Nurull Ain’am
29 September 2022, 11:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baling – Program Pembinaan Bakat Tunas Remaja Peringkat Maktab Rendah Sains MARA, Negeri Kedah secara dalam talian telah diadakan bermula pada 26 hingga 28 September 2022. Program ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Baling, Kedah. Sebanyak 30 orang peserta telah menghadiri program ini yang terdiri daripada pelajar MRSM Baling, Kulim, Pendang, Langkawi, Kubang Pasu dan Merbok.

Editor majalah Dewan Siswa, Puan Syaza Wardina Abd Khalik diundang bagi mengisi sesi “Bersama-sama Editor Dewan Siswa” selain dua orang penulis muda tanah air, iaitu Penolong Pengurus Bahagian Pembangunan Latihan, BERNAMA, Encik Ridzuan Mohd Ghazali diundang bagi membimbing penulisan cerpen, manakala Pensyarah Kejuruteraan Awam, Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Encik Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub pula membimbing penulisan puisi.

Perkongsian pada hari pertama bersama-sama Editor Majalah Dewan Siswa, Puan Syaza Wardina Abd Khalik.

“Saya mengalu-alukan penghantaran karya kreatif seperti puisi dan cerpen daripada penulis muda untuk diterbitkan kerana penulis muda pada hari ini mempunyai limpahan idea yang sangat menarik,” demikian antara yang disebut oleh Syaza.

Beliau juga menyatakan terdapat 11 buah majalah DBP yang menyediakan ruang untuk penyiaran karya termasuklah Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Dewan Kosmik, Dewan Tamadun Islam, Tunas Cipta, Dewan Sastera, Dewan Ekonomi, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Dewan Masyarakat dan Dewan Pelajar. Selain menyentuh secara ringkas gedung majalah digital DBP, beliau turut berkongsi kandungan dalam majalah DBP khususnya Dewan Siswa kerana majalah tersebut lebih dekat dengan peringkat umur remaja.

Sementara itu, pada hari kedua pula, pelajar didedahkan dengan asas penulisan cerpen, kaedah menghasilkan cerpen berkualiti dan kaedah untuk menjana idea dalam penulisan. Menurut Ridzuan, sesebuah cerpen akan hilang nilainya jika tidak dimasukkan unsur mesej. Oleh sebab itu, pentingnya isi tersurat dan tersirat dalam cerpen kerana merupakan sebahagian daripada ungkapan perasaan, emosi dan fikiran penulis yang diselitkan dengan nilai serta mesej secara puitis.

Perkongsian pada hari kedua disampaikan oleh Penolong Pengurus Bahagian Pembangunan Latihan, BERNAMA, Encik Ridzuan Mohd Ghazali.

Dalam perkongsian hari terakhir, peserta turut berpeluang mempelajari asas penulisan puisi. Nik Mohd Iznan telah menerangkan maksud puisi, tema dan persoalan, nada, gaya bahasa, nilai dan pengajaran berdasarkan pendapat tokoh-tokoh sasterawan negara. Menurut beliau, ramai orang mempersoalkan tentang aliran atau bidang sastera dalam kehidupan sedangkan mereka terlupa bahawa tanpa sastera, kehidupan seakan-akan kosong tanpa pengisian nurani. Sambungnya lagi, sajak yang baik ialah susunan kata-kata yang terbaik hasil daripada fikiran yang cantik, lalu diterjemah dalam bahasa yang indah. Sajak yang berkualiti dapat membentuk jati diri bangsa Melayu melalui bahasa sastera yang menyuntik jiwa.

Pensyarah Kejuruteraan Awam, Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Encik Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub membimbing peserta mengenai asas penulisan puisi.

Semasa sesi terakhir, semua peserta diberikan peluang untuk mendeklamasikan sajak yang ditulis sendiri untuk dihayati oleh peserta yang lain. Peluang yang diberikan ini dapat membakar semangat peserta untuk terus berkarya walau apa-apa jua keadaan, sekali gus menarik minat mereka untuk menceburi dunia penulisan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.