30 Mac 2023, 21:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Susulan daripada pengambilan guru secara Contract of Service (CoS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengenal pasti bahawa terdapat enam mata pelajaran teras yang memerlukan pertambahan bilangan guru di sekolah.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying, KPM telah melaksanakan pengambilan sebanyak 22 327 guru melalui kaedah sekali beri dan kluster mata pelajaran bagi tempoh 2021 hingga Januari 2023.

“Setakat 28 Februari 2023, antara opsyen mata pelajaran teras yang masih terdapat kekurangan ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Reka Bentuk dan Teknologi, Pendidikan Seni/Seni Visual dan Sejarah.”

“Pengambilan guru akan dilakukan pada April hingga Jun ini. Kita akan ambil guru dari universiti luar,” kata beliau dalam jawapan bertulis kepada soalan Tuan Ahmad Tarmizi Sulaiman [SIK] di Dewan Rakyat pada hari ini.

Jelas beliau, KPM akan melaksanakan pengisian guru dalam kalangan graduan pendidikan lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Universiti Awam, Universiti Swasta.

Selain itu, pengambilan pengisian guru ini turut melibatkan universiti luar negara, namun tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran.

Mengulas lanjut, urusan pengambilan tersebut dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Melantik, iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) secara berterusan bagi tahun 2023 dan seterusnya bagi mengisi kekosongan di sekolah KPM.

Dalam perkembangan lain, KPM turut memaklumkan bahawa isu gangguan capaian pada Sistem Pengurusan Identiti (idMe) dan Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) telah diselesaikan pada 11 Februari lalu.

KPM telah mengenal pasti punca masalah kepada keseluruhan sistem ini dengan mengambil kira pengurusan sistem secara keseluruhan serta kompetensi personel bagi memantapkan lagi pelaksanaan sistem tersebut, serta mengurangkan beban tugasan guru.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.