31 Julai 2021, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Isu kemanusiaan di Palestin tidak seharusnya dilihat dari aspek perjuangan agama semata-mata, namun harus dilihat daripada konteks kemanusiaan sejagat. Oleh itu, bersempena dengan program Suara dari Lembah Gaza, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Forum Nilai Murni Sejagat: Kebersamaan dalam Kepelbagaian yang disiarkan menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 10 pagi tadi.

Forum tersebut menampilkan dua orang panel yang juga merupakan aktivis kemanusiaan dalam memperjuangkan isu Palestin. Mereka ialah Teo Ann Siang, daripada MyCARE dan Krishna A/L Illangovan yang merupakan aktivis kemanusiaan. Apabila mengupas berkaitan dengan misi kemanusiaan yang dikendalikan oleh MyCARE, Ann Siang mengatakan bahawa MyCARE telah memberikan bantuan kemanusiaan kepada 22 buah negara, termasuklah di Kem Pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh dan Palestin.

Tanpa melihat isu Palestin sebagai isu agama semata-mata, Krishna telah terlibat secara aktif dalam mengetengahkan isu Palestin dengan mengadakan forum dan menghasilkan beberapa penulisan sebagai perkongsian dalam komuniti beliau. “Hasilnya, saya dan rakan-rakan telah berjaya mendedahkan isu kemanusiaan di Palestin dalam kalangan masyarakat Tamil, khususnya,” tambah Krishna.

Forum Nilai Murni Sejagat: Kebersamaan dalam Kepelbagaian menampilkan Teo Ann Siang dan Krishna A/L Illangovan sebagai ahli panel.

Isu kemanusiaan yang dialami di Palestin, khususnya di Gaza turut mendapat perhatian daripada Kerajaan Malaysia sejak berdekad-dekad lamanya. Menurut Ann Siang, “sebagai bukti kerajaan Malaysia menentang sekeras-kerasnya penindasan yang dialami oleh rakyat Palestin, kerajaan Malaysia tidak pernah mengiktiraf kedudukan Israel sejak dahulu lagi dan sekali gus telah membuktikan bahawa Malaysia antara negara yang lantang bersuara dalam isu kemanusiaan di Palestin.”

Isu penindasan di Gaza kelihatannya tidak dapat menemui jalan pengakhiran. Hal ini dinyatakan oleh Ann Siang bahawa Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memaklumkan bahawa pada tahun 2020, Gaza tidak sesuai untuk didiami. Walau bagaimanapun, bantuan tetap terus disalurkan seperti perubatan, pendidikan, kewangan dan kemahiran.

Dalam konteks menyerapkan semangat kemanusiaan terhadap isu Palestin tanpa mengira agama dan budaya, Ann Siang berpendapat bahawa sistem pendidikan di negara kita seharusnya menerapkan isu kemanusiaan, terutamanya yang terjadi di Palestin dan jangan menganggap bahawa isu kemanusiaan merupakan isu bermusim semata-mata.

Sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, bersama-samalah kita menyalurkan bantuan dalam meringankan penderitaan rakyat Palestin. Sumbangan wang tunai boleh disalurkan terus ke Tabung Musa’adah COVID-19 JAKIM-YMM melalui nombor akaun 86-0221818-6 (Bank CIMB Islamic) dengan rujukan DBP Palestin. Forum tersebut boleh ditonton di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.