Diterbitkan pada 20 Ogos 2021, 18:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi, iaitu sebanyak 114 ahli Dewan Rakyat. Susulan itu, Seri Paduka Baginda  berkenan menerima menghadap 114 ahli Dewan Rakyat pada 19 Ogos 2021 untuk mengesahkan kepercayaan mereka terhadap ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan,” menurut kenyataan media Istana Negara.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebaik-baik Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung pada pukul 2.30 petang tadi berakhir pada pukul 5.00 petang. Tambah kenyataan itu lagi, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan dijadualkan esok,  21 Ogos 2021 (Sabtu), pukul 2.30 petang, di lstana Negara.

“Dalam perbincangan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu susulan daripada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin pada 16 Ogos lalu. Proses ini merupakan lanjutan daripada titah Seri Paduka Baginda semasa sesi menghadap bersama-sama ketua dan wakil parti politik utama negara pada 17 Ogos 2021, iaitu kesemua 220 ahli Dewan Rakyat yang diminta untuk menyatakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan (statutory declaration). Pencalonan bakal Perdana Menteri menerusi surat akuan tersebut bertujuan untuk membantu Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” memetik kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri ini, maka kerajaan perlu meneruskan usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini. Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Seri Paduka Baginda turut mengulangi pandangannya bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik COVID-19. Ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Seri Paduka Baginda juga menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama-sama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi