Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menggesa semua majikan agar memberikan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka untuk menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, yang dijadualkan berlangsung esok.
Berdasarkan kenyataan media, Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum terhadap kebimbangan orang ramai berhubung dengan kemungkinan terdapat majikan yang tidak membenarkan pekerja keluar mengundi pada hari berkenaan.
Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa semua majikan perlu memberikan ruang secukupnya kepada pekerja yang berdaftar dan layak sebagai pemilih untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara.
Pada masa yang sama, majikan diingatkan supaya mematuhi Seksyen 25 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5], yang memperuntukkan bahawa pekerja perlu diberikan tempoh munasabah untuk mengundi tanpa sebarang halangan.
Mengulas lanjut, majikan juga tidak dibenarkan membuat potongan gaji atau saraan lain, serta tidak boleh mengenakan sebarang penalti terhadap pekerja yang keluar mengundi.
Beliau menegaskan bahawa mana-mana majikan yang gagal memberikan tempoh munasabah atau menghalang pekerja daripada mengundi boleh dianggap melakukan kesalahan. Sekiranya disabitkan kesalahan, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara selama satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
SPR berharap semua majikan dapat memberikan kerjasama penuh bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar, sekali gus meningkatkan kadar penyertaan pengundi dalam PRN Johor Ke-16.