Oleh Khari Ismail
18 Disember 2021, 08:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masuk tahun kedua negara dalam cengkaman wabak COVID-19 yang belum kelihatan penghujungnya, dengan bermacam-macam khabar varian, ubat dan vaksin dos penggalak disebut setiap hari. Begitu pantas masa berlalu, umpama baru semalam berita sejenis virus baharu dikesan di Wuhan, China.

Sejak Mac 2020, hampir seluruh dunia terpalit dengan wabak ini. Berdasarkan kajian, lebih daripada 270 juta manusia dijangkit dan hampir lima juta nyawa diragut. Hanya beberapa negara terpencil dan pulau yang tidak banyak berhubung dengan dunia luar masih terlindung daripada sebarang kes jangkitan.

Walaupun rata-rata penduduk dunia terkejut pertama kali berdepan wabak pada skala besar, tahun baharu 2021 masih cuba disambut dengan harapan dan sasaran seperti mana tahun-tahun sebelumnya. Bagaimana pula dengan tahun baharu 2022? Adakah kita masih hidup dalam dunia khayalan atau sudah boleh menerima realiti sebenar?

Semua orang terkesan akibat wabak ini, tetapi masing-masing berdepan dengan cabaran tersendiri yang tidak boleh dibandingkan dengan cabaran orang lain. Ada yang hilang pekerjaan, hilang sumber pendapatan, namun masih sihat dan mampu berusaha mencari hala tuju baharu. Ada yang kekal atau semakin kaya, namun dijangkiti COVID-19 pula dan berterusan menderita akibat kesan berpanjangan. Ada juga yang tiada kesan terhadap dirinya, namun kehilangan ramai ahli keluarga akibat wabak ini.

Sempena ketibaan tahun baharu tidak lama lagi, seeloknya kita semua berpijak di bumi nyata, terimalah hakikat dunia sudah pun berubah dan tidak akan kembali lagi ke zaman prapandemik COVID-19.

Jangkaan kasar dunia kembali “normal” paling awal pada sekitar tahun 2026, tetapi angka itu mungkin ke depan apabila hasil penemuan varian baharu dan pelbagai kekangan virus tersebut terhadap hidup manusia, di samping maksud “normal” yang masih samar. Oleh itu, daripada mengharapkan boleh kembali bekerja untuk mengejar kenaikan pangkat atau gaji, cuba rancang untuk luangkan lebih banyak masa bersama keluarga, khususnya ibu bapa di kampung, adik beradik, sahabat handai dan anak-anak yang kini menghabiskan lebih banyak masa di rumah.

Duit boleh dicari, masa bersama keluarga tidak ada tolok gantinya, apatah lagi melihatkan begitu ramai menyesali sikap mengutamakan kerjaya dan kekayaan selepas pemergian ahli keluarga disebabkan COVID-19.

Akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berulang kali, berapa banyak musim perayaan dihabiskan dengan terkurung di rumah, jauh daripada keluarga tersayang. Adakah jaminan perayaan akan datang bebas daripada PKP? Daripada mensasarkan berat badan semakin turun, lebih baik mengharapkan badan kekal sihat, tidak kira ukuran lilit pinggang atau saiz baju. Luangkan masa untuk beriadah dan bersenam, walau sesingkat mana sekalipun, jaga pemakanan dan hindarilah daripada merokok.

Selepas berbulan-bulan hidup terkurung, sehingga ada yang kemaruk melihat alam semula jadi, ambil kesempatan kebebasan terhad ini untuk menikmati persekitaran kita. Daripada merancang untuk membeli barang mewah, perhiasan, kereta mahupun perabot baharu, cuba perbanyakkan bersedekah.

Semoga dengan bantuan kita kepada orang di sekeliling, maka akan muncul bantuan serupa bagi orang tersayang yang berjauhan.

Begitulah juga untuk pelbagai rancangan lain untuk diri sendiri sempena tahun baharu, Utamakan orang lain dahulu, khususnya ahli keluarga, rakan-rakan, serta jiran tetangga.

Jika ada antara kita yang belum sedar pengajaran utama wabak ini, maka ketahuilah bahawa harta kekayaan tidak akan bermakna ketika nyawa di hujung tanduk, malah begitu peritnya berdepan penyakit dan kesukaran hidup secara bersendirian.

Begitulah juga hidup ini tiada makna tanpa orang-orang tersayang, maka hargailah mereka selagi mana hayat dikandung badan.

Jika dahulu kita dibuai mimpi mengejar duniawi, sewajarnya dua tahun dibelenggu wabak penyakit sudah menunjukkan kepada diri masing-masing apa yang lebih penting untuk sebuah kehidupan yang bahagia dan tenteram.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi