Oleh Jennifah Noordin
22 Oktober 2021, 11:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aristotle pernah berkata, adab dan sopan lebih penting daripada makan dan minum, manakala Hamka pernah berkata, kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. Nabi Muhammad SAW juga pernah berpesan, jagalah dirimu baik-baik, usahakanlah kemuliaanmu kerana engkau dipandang manusia bukan kerana rupa tetapi kerana kesempurnaan budi dan adab.

Pada hakikatnya, selain sekolah, masyarakat dan kerajaan, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan adab dan akhlak anak-anak. Prinsip dasar keluarga negara yang kedua juga menggariskan institusi keluarga bertanggungjawab memupuk dan menghayati nilai murni. Setiap insan yang dilahirkan di dunia ini akan bergaul dengan ibu bapanya serta ahli keluarga yang lain sebelum belajar hidup bermasyarakat. Oleh sebab itu, peranan institusi keluarga dalam pembentukan adab dan akhlak insan tidak dapat disangkal. Meski dalam kesibukan mencari rezeki, ibu bapa harus mengambil masa untuk mendidik adab dan akhlak anak-anak.

Perkara yang perlu dititikberatkan ialah pendidikan adab dari sudut budi bahasa. Institusi keluarga merupakan sekolah pertama anak-anak dalam mempelajari bahasa dan tutur kata yang halus. Sebagai contoh teladan anak-anak, ibu bapa harus bijak memilih perkataan dalam berkomunikasi. Elakkan berbahasa kesat, kasar dan maki hamun. Selain pemilihan perkataan, lenggok bahasa juga perlu dititikberatkan kerana lenggok bahasa yang kasar atau bersifat cemuhan, menghina dan memperkecil akan meracuni pemikiran dan mempengaruhi pembentukan adab dan akhlak. Ucapan dan perkataan yang  berbentuk negatif dan menyakitkan hati haruslah dielakkan. Sekiranya anak-anak melakukan kesalahan, mereka haruslah ditegur secara berhemah. Bahasa dan lenggok bahasa seharian yang kita gunakan  akan menjadi suri teladan dan budaya yang akhirnya menjadi kebiasaan anak selepas bertahun-tahun menghadapi cara berkomunikasi sedemikian.

Pendidikan adab yang seterusnya adalah dari sudut tingkah laku atau akhlak. Pada hari ini, kita mendengar banyak isu ibu dipukul, ibu atau bapa ditinggalkan di rumah orang tua, guru berasa tersinggung dengan sikap anak didik, majikan kesal dengan sikap pekerja dan orang awam tidak berpuas hati dengan tindakan penjawat awam. Oleh sebab itu, pembentukan akhlak yang baik seperti hormat-menghormati, sentiasa ringan mulut mengucapkan terima kasih, tolong-menolong, jujur, amanah, berdisiplin dan bertanggungjawab haruslah menjadi amalan institusi keluarga.

Sistem keluarga haruslah diperkuat dengan mengajar anak-anak menghormati ibu-bapa serta ahli keluarga yang lebih tua seperti datuk, nenek, mak cik, pak cik, abang dan kakak. Misalnya, dengan mengutamakan orang tua ketika waktu makan atau dalam apa-apa juga acara keluarga.

Sikap bertanggungjawab boleh dilatih dengan memberikan tugas kepada setiap ahli keluarga, umpamanya anak sulung akan memainkan peranan yang penting untuk membantu mengurus keluarga dan anak yang bongsu akan memainkan peranan mengikut umur dan kemampuannya seperti menyusun mainan sendiri, mengemas tempat tidur sendiri dan membuang sampah. Berdisiplin pula boleh diterapkan dengan mempunyai sistem nilai hidup yang betul, seperti bangun awal, mematuhi peraturan dalam institusi keluarga dan sentiasa patuh kepada nasihat dan bimbingan orang tua. Didiklah anak untuk sentiasa menghargai pemberian dan pertolongan ahli keluarga yang lain dan bibir yang tidak pernah lekang daripada ucapan terima kasih.

Persoalannya, apakah institusi keluarga boleh memainkan peranan dengan baik dalam mencorakkan adab dan akhlak anak? Di samping keupayaan mendidik, banyak faktor lain yang akan mempengaruhi proses mendidik seperti persekitaran, latar belakang keluarga, keupayaan ekonomi, keupayaan masa dan ilmu. Oleh sebab itu, disyorkan agar lebih banyak kursus keibubapaan dan kursus komunikasi dijalankan untuk membimbing institusi keluarga.

Selain itu anak-anak harus didekatkan dengan masyarakat supaya mereka faham skop adab dan akhlak pelbagai kaum di Malaysia. Doronglah anak untuk aktif dengan aktiviti perumahan, aktiviti kampung dan aktiviti keluarga. Melalui pengalaman sedemikian, anak-anak akan mempunyai pengalaman untuk berkomunikasi dengan banyak orang. Penumpuan institusi keluarga pada budi bahasa dan akhlak ini akan menjadi asas dan cerminan kepada anak-anak untuk menjadi anak yang baik, kakak yang baik, abang yang baik, pekerja yang baik, rakyat yang baik dan insan yang beradab dan beraklak mulia.

Marilah kita mula sekolahkan anak-anak untuk berbahasa dan berakhlak baik dari rumah. Kuatnya dan santunnya sesuatu bangsa dan negara itu akan bermula daripada kukuhnya institusi kekeluargaan. Pendidikan adab dan akhlak yang betul daripada institusi keluarga mampu melahirkan pemimpin dan insan yang menjalankan setiap amanah dengan adab dan akhlak yang tinggi. Institusi keluarga merupakan sekolah pertama bagi setiap insan dalam pembentukan adab, budi bahasa dan akhlak insan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.