30 Oktober 2021, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan bahawa jumlah kes bunuh diri di Malaysia dari Januari 2019 hingga Mei 2021 ialah 1708 kes. Daripada jumlah tersebut, golongan remaja dalam lingkungan umur 15 hingga 18 tahun yang membunuh diri ialah 872 kes. Hal ini bermakna, 51 peratus daripada keseluruhan kes bunuh diri sejak dua tahun yang lalu terdiri golongan remaja yang belum pun mencecah umur majoriti di bawah Akta Kanak-kanak 2001. Dengan erti kata lain, 872 kes bunuh diri di Malaysia ialah golongan kanak-kanak yang sedang meniti usia remaja. Daripada keseluruhan 1708 kes juga, 1427 daripadanya terdiri kaum wanita. Dengan 51 peratus kes terdiri daripada remaja, dan 84 peratus kes terdiri daripada wanita, maka dapat kita simpulkan bahawa majoriti kes bunuh diri di Malaysia melibatkan gadis remaja.

Talian Kasih 15999 yang dikelolakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaporkan mereka menerima sebanyak 153 024 panggilan sepanjang tahun 2020 berbanding dengan 25 868 panggilan pada tahun 2019 ‒ lonjakan panggilan hampir enam kali ganda. Jelas bahawa lonjakan ini berkait langsung dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula pada 16 Mac 2020. Dalam pada itu, kenyataan media oleh wakil Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Malaysia, Dr. Rashed Mustafa menyebut bahawa PKP mengakibatkan kesan negatif ke atas remaja yang menyaksikan peningkatan kes bunuh diri hampir dua kali ganda secara purata dalam tempoh lima bulan pertama 2021, iaitu 94 kes sebulan berbanding tahun 2019 sejumlah 51 kes sebulan. Antara faktor yang disebut, remaja yang tinggal sebumbung dengan ketua keluarga atau ahli keluarga yang mengganas (abuser) sudah tidak ada jalan keluar. Sekiranya sebelum PKP, alasan pergi ke sekolah atau keperluan aktiviti di sekolah diberikan kepada si pengganas untuk mengelak daripada dipukul atau dianiaya secara fizikal, emosi dan mental. Namun demikian, sepanjang PKP, alasan tersebut tidak dapat diterima oleh si pengganas yang tinggal sebumbung dengan remaja tersebut.

Berdasarkan siasatan PDRM, tiga faktor utama punca bunuh diri  ialah masalah keluarga, tekanan perasaan dan kekangan kewangan. Pakar kesihatan mental pula berpendapat bahawa remaja yang bertindak membunuh diri jarang-jarang mengambil keputusan tersebut disebabkan oleh hanya satu sebab, sebaliknya berpunca daripada rentetan beberapa faktor yang pada akhirnya menyebabkan mereka yang bertindak sedemikian berasa sudah tiada jalan keluar lagi untuk menyelamatkan maruah diri dan keselamatan nyawa. Bagi mangsa rogol dan sumbang mahram, mereka takut untuk melaporkan kejadian tersebut, apatah lagi ketika semua pergerakan keluar dari rumah dilarang ketika tempoh PKP. Remaja yang dipukul atau menjadi sasaran si ayah atau ibu (atau pasangan intim ayah atau ibu yang sudah bercerai) yang ganas pula tiada pilihan selain tinggal sebumbung dengan si pengganas di rumah.

Di Perancis, wanita yang menjadi mangsa keganasan daripada suami, pasangan intim atau pun ketua keluarga mereka akan menggunakan kod rahsia yang disampaikan kepada juruwang di farmasi sebagai petunjuk bahawa mereka sedang dalam keadaan bahaya. Wanita tersebut akan diberikan perlindungan serta-merta dengan kehadiran pihak berkuasa agar mangsa berkenaan diselamatkan. Kita tidak mempunyai sokongan seperti ini buat remaja yang berdepan dengan keganasan di rumah.

Ada pihak yang memberikan alasan bahawa keganasan dalam rumah berlaku disebabkan kesan riak (ripple effect) apabila ayah atau ibu mengalami stres yang keterlaluan lalu melampiaskan tekanan tersebut kepada si anak. Situasi ini disebut sebagai tekanan mental atau stres melampau yang dialami oleh ketua keluarga tatkala PKP berkuat kuasa, mungkin disebabkan si bapa atau ibu kehilangan kerja dan sebagainya. Namun demikian, perkara ini tidak boleh dilihat hanya sebagai konflik keluarga semata-mata. Seseorang ayah, ibu atau sesiapa sekalipun tidak berhak melepaskan kemarahan mereka ke atas anak-anak.

Selain itu, sekolah bukan sekadar tempat remaja kita menimba ilmu dan membina kemahiran sosial, bahkan dunia persekolahan itu sendiri merupakan ruang tempat remaja berlindung daripada keganasan yang berlaku dalam keluarga. Sesebuah sekolah itu dikatakan selamat dengan kehadiran guru besar dan guru yang amnya prihatin dan baik tingkah laku mereka, maka sekolah itu menjadi tempat remaja berlindung. Di sinilah mereka bertemu dengan kawan dan meluahkan perasaan, selain ada guru prihatin yang dapat mengesan sekiranya terdapat perkara yang tidak baik sedang berlaku ke atas murid. Dengan erti kata lain, sekolah ialah satu unit masyarakat yang organik dengan fungsinya tersendiri dalam pembinaan identiti remaja. Apabila sekolah ditutup dan murid terpaksa tinggal sebumbung dengan pelaku keganasan tanpa ada ruang bernafas di sekolah atau sentiasa kelaparan di rumah, ada remaja yang tidak mampu menanggung derita tersebut.  Usia 18 juga usia signifikan bagi remaja kerana pada usia inilah berlaku peralihan besar dari segi tamatnya sekolah dan berakhirnya identiti sebagai murid sekolah. Justeru, usia yang kritikal ini perlu dititikberatkan dalam usaha membendung remaja daripada mengambil jalan mencabut nyawa sendiri apabila berasa sudah tiada hala tuju dalam kehidupan mereka.

Faktor penting yang kita sering terlepas pandang ialah kos sesi kaunseling atau terapi dengan kaunselor. Kos saringan kesihatan mental dan terapi bersama-sama seorang kaunselor atau pakar di Malaysia tersangat mahal, dengan harga satu sesi saringan untuk 45 minit sahaja tidak kurang daripada RM100 bagi setiap sesi. Penulis menghubungi lima buah tempat yang menawarkan sesi kaunseling atau sesi bersama pakar psikologi klinikal di sekitar Selangor dan Lembah Klang, dan tidak ada satu pun daripada mereka yang menawarkan harga satu sesi (30 minit atau 45 minit) yang kurang daripada RM150, biarpun kaunselor tersebut menawarkan kaunseling berasaskan pendekatan Islam. Mana mungkin remaja daripada keluarga berpendapatan rendah mampu membayar untuk sesi tersebut. Hatta, remaja daripada keluarga berpendapatan sederhana sekalipun belum tentu dapat membayar kos kaunseling yang amat tinggi itu.

Sekiranya kita benar-benar serius menangani isu ini, perlu ada jalan penyelesaian yang pantas dan pintas untuk mengekang isu bunuh diri dalam kalangan remaja.  Lagi pula, isu bunuh diri ini bukan masalah ketika pandemik semata-mata kerana sebelum pandemik sekalipun, kes bunuh diri di Malaysia pada tahun 2019 sudah mencecah purata 51 kes sebulan ‒ angka yang cukup tinggi.

Jelas, ini petanda berlaku kepincangan dalam hal ehwal remaja kita yang perlu ditangani dengan segera. Kita perlukan dana untuk menyediakan tempat perlindungan selamat bagi remaja yang berasa tidak selamat di rumah masing-masing dengan lokasi mereka dirahsiakan untuk tujuan keselamatan mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.