3 Disember 2021, 19:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberikan impak kepada statistik perkahwinan di Malaysia. Sepanjang PKP dilaksanakan sebarang majlis keraian atau akad nikah tidak dibenarkan bagi mengelakkan peningkatan kes COVID-19.

Situasi menunjukkan perubahan terhadap struktur perkahwinan dan peningkatan umur purata ibu bersalin dan seterusnya memberikan implikasi kepada pengurangan tempoh produktif golongan wanita berumur 15-64 tahun. Hal ini secara tidak langsung memberikan kesan kepada penurunan kadar kesuburan di Malaysia pada jangka yang panjang.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, umur purata perkahwinan wanita menunjukkan peningkatan daripada 27.5 tahun pada tahun 2016 kepada 28.1 tahun pada tahun 2020.

Trend terkini  menunjukkan ramai individu memilih untuk menamatkan usia bujang pada umur lewat 20-an berbanding dengan umur awal 20-an pada tahun 1980-an.

Senario semasa menunjukkan kecenderungan perkahwinan lewat berlaku dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan masih memperkukuhkan kestabilan ekonomi masing-masing, terutamanya yang tinggal di kawasan bandar.

Peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi dan cabaran yang bakal dihadapi oleh ibu bapa muda pada musim pandemik ini, lantas membuatkan mereka menangguhkan hasrat menamatkan zaman bujang.

Walau bagaimanapun, dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dan pembukaan semula sektor ekonomi, serta inisiatif yang diberikan kepada pasangan berkahwin dapat membolehkan pasangan mengimbangi kerjaya dan pembentukan keluarga.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.