Oleh Awang Sariyan
25 Januari 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Majlis Pertemuan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan staf DBP secara hibrid berlangsung pada 24 Januari 2022, bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir. Yang berikut inti sari amanat yang disampaikan dalam majlis tersebut:

1. Lembaran tahun baharu 2022 perlu dimulakan dengan pembaharuan azam dan tekad untuk terus mengangkat bahasa, persuratan dan ilmu sebagai tonggak tamadun negara. Perjuangan bahasa merentas zaman dan tidak harus dianggap seolah-olah fesyen, yang berubah dari waktu ke waktu.

2. Asas penting perjuangan, iaitu Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan, Akta DBP dan peruntukan serta peraturan negara yang lain perlu terus dijadikan landasan. Tidak patut ada anggapan bahawa perjuangan yang berasaskan semua peruntukan undang-undang itu telah ketinggalan zaman. Penerokaan bidang teknologi hendaklah dilihat sebagai wasilah penting untuk peningkatan dan pengembangan bahasa, persuratan dan ilmu, namun aspek substansi yang ditampung oleh teknologi mesti terus dimantapkan dan dipastikan terkawal mutunya.

3. Tiga tumpuan utama dalam Pelan Strategik DBP 2021-2025 perlu dibuktikan pengisiannya. Langkah terawal yang wajib dilakukan ialah memastikan berlakunya proses penghayatan dalam kalangan semua warga kerja DBP, tanpa kecuali. Pengarah, Ketua Bahagian dan Ketua Unit bertanggungjawab mengambil langkah yang wajar untuk mengisi proses penghayatan dalam kalangan warga kerja pimpinan mereka. Langkah penting yang lain tentu pelaksanaan yang berkesan, pemantauan dan penilaian. Pada tahun 2023, kita berharap bahawa kajian separuh penggal yang dilakukan dapat menunjukkan pencapaian, kekangan dan strategi penambahbaikan.

4. Tiga inisiatif atau prakarsa utama dalam tempoh lima tahun ini ialah “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi”, “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara” dan “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu”. Ketiga-tiganya itu merupakan bidang kritikal dalam kaitannya dengan taraf dan fungsi bahasa Melayu. Kita tidak boleh sekadar bernostalgia akan kejayaan bahasa Melayu pada zaman lampu. Kita perlu mengembalikan kegemilangan itu dengan perancangan dan pelaksanaan yang praktis dan mampu diukur.

5. Syarat kejayaan pengisian Pelan Strategik DBP itu bergantung pada kesediaan dan persediaan, ilmu, kemahiran, keikhlasan, dan istiqamah. Kesediaan mental dan psikologi amat penting sebagai syarat utama. Persediaan dengan senantiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran perlu dilakukan. Ijazah dan kelulusan lain bukan penentu kejayaan kerana zaman berubah dek ilmu berkembang. Kepekaan kepada perkembangan, cabaran dan keperluan baharu menjadi syarat penting. Demikian juga keikhlasan, bekerja berlandaskan pegangan bahawa pelaksanaan tugas itu satu bentuk ibadah dan istiqamah penting yang perlu dijadikan amalan.

6. Hal lain yang penting juga ialah perlunya ada kesepakatan dalam penentuan hala tuju dan pengisian program yang berkaitan. Pandangan boleh dikemukakan dan perbezaan pendapat boleh diraikan. Namun, apabila keputusan telah diambil secara berjemaah, maka perlu ada sikap taat dan patuh dalam pelaksanaannya. “Muafakat membawa berkat”. Berkaitan dengan itu, saya mengulang penegasan pentingnya kerja dilaksanakan secara berjemaah. Janji hadis Nabi SAW tentang fadilat solat berjemaah 25 atau 27 kali ganda perlu ditetapkan dalam aspek kehidupan yang lain, termasuk dalam pelaksanaan tugas. Setiap orang ada peranannya. Besar atau kecil amanah yang perlu dilunaskan bergantung pada kedudukan jawatan yang disandang. Gagasan sosiologi “kedudukan dan peranan” perlu dipenuhi kerana kedudukan atau jawatan yang disandang berkaitan dengan berat atau kurang beratnya taklif yang mesti dilunaskan. Pokoknya, semua warga kerja, tanpa mengira kedudukan dan pangkat, ada peranannya masing-masing.

7. Mudah-mudahan tahun 2022 menjadi tahun peningkatan peranan DBP sebagai badan bahasa, persuratan dan ilmu. Banyak pihak yang masih perlu disantuni, sama ada untuk memperoleh maklumat yang tepat tentang DBP mahupun untuk dijadikan rakan sinergi DBP. Jika ada dakwaan, sendaan dan sindiran yang diterima, hadapilah semua itu dengan kepala yang dingin dan dada yang lapang melalui kaedah ilmu, bukan emosi. DBP ialah badan ilmu. Sebahagian yang membuat dakwaan mungkin tidak mempunyai maklumat dan menjadi tanggungjawab kita menyampaikan maklumat yang tepat. Sebahagian yang lain bersikap kritis dan hal itu perlu dimanfaatkan untuk penambahbaikan gerak kerja DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.