Oleh Awang Sariyan
26 Mac 2022, 10:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sesudah 65 tahun merdeka, isu bahasa Melayu sebagai bahasa negara (bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu, bahasa undang-undang, bahasa di tempat awam, bahasa media dan bahasa ekonomi) masih sering diperkatakan. Kita menyaksikan pasang surut perkembangan bahasa Melayu dalam semua bidang yang saya sebut dalam konteks bahasa negara itu tadi. Kita bersyukur kerana tarikh 23 Mac memberikan sinar baharu apabila Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan di Dewan Negara bagi menjawab beberapa soalan anggota Dewan menegaskan pendirian dan langkah kerajaan untuk mengangkat bahasa Melayu.

Kenyataan positif Perdana Menteri tentang bahasa Melayu bermula di Pertandingan Antarabangsa Pidato Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Ke-14 di Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru pada hujung tahun 2021. Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan agar agensi kerajaan dan swasta menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi. Kemudian yang lebih mengujakan ialah kenyataan beliau di Bangkok bahawa urusan rasmi kerajaan Malaysia di luar negara hendaklah dalam bahasa Melayu. Beliau mengotakan janjinya apabila semua ucapan beliau di beberapa buah negara yang dikunjunginya, iaitu Indonesia, Brunei Darussalam, Kampuchea, Thailand dan Vietnam menggunakan bahasa Melayu. Di Indonesia dan di Brunei Darussalam hal itu tidak luar biasa kerana bahasa kebangsaannya memang bahasa Melayu. Namun di Kampuchea, Thailand dan Vietnam, langkah Perdana Menteri yang berucap dalam bahasa Melayu merupakan langkah berani yang luar biasa dan pertama kali dilakukan oleh Perdana Menteri negara ini.

Kesediaan Perdana Menteri untuk menerima kunjungan kumpulan pejuang bahasa pada 10 Mac 2022 yang dipimpin oleh YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim menghasilkan beberapa resolusi penting tentang usaha mengangkat bahasa Melayu pada peringkat negara dan dunia. Beliau sendiri menyiarkan berita pertemuan dan beberapa resolusi awal itu dalam  media sosialnya. Sebagai imbasan, saya rakam sejumlah resolusi perbincangan lebih sejam di pejabat beliau di Parlimen yang kemudian dikembangkan menjadi pelan tindakan untuk dilaksanakan.

Mukadimah bagi usaha mengangkat bahasa Melayu berkait rapat dengan cita-cita pembentukan negara bangsa yang satu daripada pancangnya ialah bahasa kebangsaan, selain pancang “Raja-Raja Melayu, Islam agama Persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta hak sah kaum-kaum lain”.

Negara kita telah mempunyai asas dan dasar yang jelas tentang kedudukan dan peranan bahasa Melayu, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, Akta Pendidikan 1996 (sebelumnya 1961), Akta DBP 1959 dan beberapa peraturan lain. Penegasan tentang peningkatan penggunaan bahasa Melayu bukan penetapan dasar baharu, sebaliknya untuk “peningkatan”, “peluasan”,  “penguatkuasaan” dan “kesinambungan” daripada kejayaan yang telah dicapai sejak kemerdekaan.

Pada peringkat negara, aspek penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pentadbiran dapat ditingkatkan dengan pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), khasnya untuk membolehkan DBP mempunyai suara dan kuasa undang-undang. Berkaitan dengan itu, program Audit Bahasa Melayu yang mula dilaksanakan oleh DBP dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 2013 telah menunjukkan kesan yang baik dan perlu diluaskan dalam sektor pihak berkuasa awam atau agensi, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dan kemudian swasta.

Untuk sektor pendidikan, rancangan perlu dibuat untuk memperkukuh sekolah kebangsaan sebagai sistem arus perdana yang berdasarkan penggunaan bahasa kebangsaan, selaras dengan usul Penyata Razak 1956. Program yang mengurangkan peranan bahasa Melayu dalam sektor pendidikan seperti “Dual Language Programme” (DLP) perlu disemak semula.

Bahasa Melayu perlu terus diperkukuh dalam sistem pendidikan.

Di IPT, dasar pengutamaan bahasa Melayu dalam perkuliahan perlu ditingkatkan semula.  Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Tinggi yang digerakkan oleh oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2011 perlu dipastikan keberkesanannya agar bahasa Melayu mampu menjadi ilmu dalam segala bidang dan pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa kebangsaan dapat dicapai.

Selain itu, bahasa Melayu perlu dijadikan kursus wajib bagi pelajar antarabangsa dan perlu dirancang pelaksanaan Ujian Kecekapan Bahasa Melayu (UKBM) yang pada satu masa dapat menyamai TOEFL, IELTS dan lain-lain. Saya difahamkan, DBP, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Majlis Peperiksaan Malaysia telah mula mengerakkannya tetapi langkah itu perlu dilaksanakan dengan meluas oleh semua IPT.

Untuk peringkat antarabangsa, Program Diplomasi Kebudayaan Kementerian Luar Negara yang turut mengembangkan bahasa Melayu perlu menggerakkan beberapa langkah. Pertama, melaksanakan Pekeliling JPA Bil. 9, 2011 dan Pekeliling Bil. 1, 2020 yang menganjurkan penggunaan bahasa Melayu dalam surat rasmi kerajaan ke luar negara dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris atau bahasa negara sasaran. Kedua, meluaskan kursus bahasa, budaya dan warisan negara di kedutaan untuk keluarga kakitangan dan juga masyarakat setempat di negara asing seperti yang telah dimulakan di beberapa kedutaan. Ketiga, Kementerian Luar Negeri (KLN) perlu menetapkan peranan Atase Pendidikan dan Kebudayaan di kedutaan sebagai agen promosi pendidikan dan kebudayaan Malaysia di luar negara. Keempat, kursus intensif terjemahan dan interpretasi diperbanyak untuk melahirkan ahli terjemah dan jurubahasa yang diperlukan di forum antarabangsa, khasnya bahasa Melayu ke dalam bahasa-bahasa utama dunia. Dalam memajukan bahasa Melayu di dunia, kerjasama padu diperlukan daripada Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan agensi-agensi lain.

Berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), cadangan dan usaha telah bermula pada tahun 1980-an oleh DBP dan pertubuhan seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA). Dengan jumlah penutur bahasa Melayu sekitar 300 juta orang di Asia Tenggara, bahasa Melayu berkelayakan menjadi bahasa rasmi ASEAN. Di empat buah negara (Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura), bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Di bahagian selatan Thailand, bahasa Melayu telah meluas penggunaannya. Di sebahagian negara Filipina, Kampuchea, Vietnam, Laos dan Myanmar, juga terdapat penutur bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, sebagai langkah praktis dan realistik, kita bermula dengan usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN. KPT telah memulakan usaha dengan Program Pengembangan Bahasa Melayu di IPT negara-negara ASEAN, dengan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai urus setia induknya.

(Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan Pengarah ATMA UKM)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.