Diterbitkan pada 30 Mac 2022, 18:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) merupakan pendedahan aliran yang tepat bagi pembentukan kemenjadian murid seiring dengan keperluan bakat masa hadapan.

Dalam satu kenyataan yang menjawab pertanyaan berkaitan dengan perkembangan sistem pendidikan kini di Dewan Negara, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, KPM komited dalam memastikan murid pada hari ini dilengkapi dengan kemahiran, khususnya pendidikan STEM.

Tambah beliau, usaha ini penting bagi memenuhi keperluan bakat masa hadapan meskipun berdepan dengan cabaran tempoh pandemik COVID-19.

Terkini, KPM memperkenalkan konsep Sekolahku SEJAHTERA sebagai pemangkin pembentukan kemenjadian murid. Sekolahku Sejahtera merupakan satu konsep penerapan nilai murni dan amalan baik untuk diamalkan di semua sekolah dan institusi pendidikan tanpa mengira latar belakang lokasi ataupun jenis institusi.

Antara elemen SEJAHTERA yang menyokong pemerkasaan STEM adalah seperti elemen seronok, etika, empati, eksplorasi dan rasional. Murid ditekankan kepada peri pentingnya untuk mengambil kira aspek etika dan empati, serta membuat keputusan yang rasional dalam penerokaan ilmu mereka.

Mengulas lebih lanjut berkaitan dengan elemen konsep baharu ini, YB Datuk Dr. Radzi menjelaskan bahawa penerapan elemen sebegini dapat membentuk murid untuk melahirkan rasa kecintaan terhadap penerokaan ilmu dan terus berusaha meningkatkan kefahaman serta menguasai ilmu berkenaan demi kejayaan kelak.

Oleh hal yang demikian, beliau menegaskan bahawa usaha yang berterusan penting bagi meningkatkan kemahiran dan penguasaan murid dalam STEM melalui pelbagai pendekatan pembelajaran yang memberikan tumpuan kepada kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Antara pendekatan utama yang dilaksana dalam tempoh pandemik adalah menyediakan bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta prasarana yang berkualiti bagi menyokong proses PdP STEM.

Bahan sokongan PdP ini boleh diakses oleh guru dan murid di Portal Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) dan repositori SumberKU.

Pada masa yang sama, beliau berkata KPM akan menyiarkan program STEM@studio di DidikTV KPM sewaktu pandemik. Hal ini adalah bertujuan untuk menekankan penerokaan bidang STEM melalui aktiviti yang lebih praktikal atau secara amali.

Beliau turut memaklumkan bahawa ujian amali sains bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah dilaksanakan sejak tahun 2021 hingga sekarang, selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025, iaitu Memperkukuhkan Asas Pembelajaran STEM melalui Inisiatif Pengukuhan Pendidikan STEM.

Dalam konteks kesediaan guru semasa tempoh pandemik pula, KPM telah melaksanakan beberapa program pembangunan kompetensi bidang STEM secara dalam talian, seperti Inquiry-Based Science Education (IBSE), Inquiry-Based Mathematics Education (IBME) dan Program Sains Komputer Menggunakan Pendekatan IBSE.

“Program pembangunan kompetensi bidang STEM diperkemaskan bagi memberi pendedahan tentang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang lebih menarik, menyeronokkan dan bermakna melalui pendekatan berpusat kepada murid,” ujar beliau dengan yakin bahawa KPM akan menggunakan segala pendekatan bagi mencapai matlamat pemerkasaan pendidikan STEM di negara ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi