Oleh Normasiska Noor
21 Mei 2022, 15:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membuka cawangannya di Doha, Qatar dengan pengambilan pelajar sulungnya  pada September ini. Menurut Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, pembukaan cawangan UKM di negara tersebut akan meningkatkan kerjasama dalam perundingan dan penyelidikan selain penawaran kursus dan memantapkan jenama UKM di negara-negara Teluk.

“UKM amat berbangga dengan pengiktirafan ini. Maka itu, sebuah universiti watan, UKM akan terus memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik dalam merentas sempadan dunia.”

Cawangan UKM bakal beroperasi di Doha.

Tambah beliau, pembukaan cawangan UKM di Doha adalah berdasarkan projek kerjasama dengan The Regional Group yang merupakan sebuah syarikat yang menguruskan bidang pembangunan hartanah, pengurusan aset, pertanian, pelaburan saham dan khidmat perundingan kejuruteraan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UKM, menerusi perjanjian yang ditandatangani pada 26 Mac lalu, UKM bersetuju untuk menawarkan program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara persisir (offshore) di Doha. The Regional Group bertanggungjawab dalam pengurusan program, pemasaran dan menyediakan kemudahan fasiliti dan infrastruktur untuk sesi pengajaran dan pembelajaran. Sementara itu,   UKM bertanggungjawab dalam menyediakan input akademik yang melibatkan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran, jaminan kualiti dan pengijazahan.

Tambah  Profesor Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan, UKM amat berbangga kerana dalam tempoh dua hingga lima tahun lagi, The Regional Group  bersetuju untuk membiaya pembinaan kampus cawangan UKM di Qatar.

Katanya, program offshore dijangka akan mula ditawarkan pada Oktober 2022 dengan kumpulan pertama pelajar akan mengikuti program sarjana muda.

“Antara program yang akan ditawarkan termasuklah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Pembangunan Sistem Maklumat), Sarjana Muda Kejururawatan dan Sarjana Muda Sains (Teknologi Kimia). Kita mensasarkan pelajar yang akan mengikuti pengajian di UKM cawangan Doha adalah dalam kalangan rakyat Qatar itu sendiri dan juga rakyat negara lain yang bekerja di Qatar dan dari negara-negara Teluk,” katanya.

Selain penawaran program secara offshore, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan turut menjelskan bahawa pihak Qatar turut berminat untuk mendapatkan khidmat kepakaran UKM dalam kerja-kerja perundingan dan penyelidikan untuk projek-projek di Qatar.

“Melalui pembukaan UKM cawangan Doha ini akan dapat meningkatkan penjanaan universiti disamping menyebarluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang lain ke peringkat antarabanga. Terima kasih kepada kerajaan Qatar kerana membenarkan UKM membuka cawangan di Doha. Saya percaya dengan kerjasama ini, UKM khususnya Malaysia dan Qatar dapat terus  memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.