Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – “Umpama selembar benang, dikait, ditenun dan dijalin akhirnya menjadi kain yang sempurna indahnya”. Begitulah ungkapan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia apabila memerihalkan dan memberi bayangan kepada gagasan ‘Keluarga Malaysia’. Konsep Keluarga Malaysia tersebut dicetuskan oleh beliau pada 22 Ogos 2021 dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Sehingga kini, gagasan tersebut sering diutarakan lebih-lebih lagi apabila memperkatakan tentang tindakan dan langkah kerajaan dalam pelbagai aspek (sosial, politik dan ekonomi), khususnya yang melibatkan dasar-dasar kerajaan. Frasa Keluarga Malaysia bersifat inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Selain itu, konsep tersebut juga merupakan satu identiti yang saling melengkapi umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.
Dalam Keluarga Malaysia, terdapat tiga nilai dan ciri yang merupakan landasan dan ‘akar’ kepada konsep tersebut. Tiga nilai dan ciri tersebut ialah ‘keterangkuman’, ‘kebersamaan’, dan ‘kesyukuran’. Ketiga-tiganya merupakan ‘pasak’ kukuh kepada Keluarga Malaysia.
Oleh kerana perlunya penelitian dan penyelidikan yang lebih tuntas dan jelas terhadap konsep ini, maka Majlis Profesor Negara (MPN) telah mengadakan suatu perbincangan meja bulat yang bertemakan “Keluarga Malaysia: Dari Slogan kepada Kerangka Pembangunan Negara”. Program tersebut dimulai dengan ucapan ucaptama oleh YBhg. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengerusi Majlis Profesor Negara.
Ungkapan Keluarga Malaysia dapat dianggap sebagai suatu gagasan untuk mewujudkan suasana kesepaduan dan kebersamaan yang inklusif untuk semua rakyat Malaysia ketika negara sedang berhadapan dengan wabak COVID-19, ketidakstabilan politik dan gugatan masalah ekonomi. Dengan gagasan ini, PM berhasrat supaya kesemua masalah negara perlu ditangani secara bersama dengan menekankan prinsip teras iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Prinsip-prinsip ini perlu dijulang dengan sokongan sistem nilai nasional yang menekankan integriti, amanah, adil dan bermusyawarah.
Menurut beliau dalam ucaptama tersebut, beliau mengatakan bahawa dalam konteks politik, konsep Keluarga Malaysia tersebut telah diterjemahkan melalui usaha PM dalam membuat perjanjian kerjasama (MoU) antara pihak kerajaan pimpinannya dengan pihak pembangkang dalam Parlimen Malaysia pada September 2021. Politik Malaysia, khususnya dalam parlimen, mula menjadi tenang dan stabil tanpa mengenepikan prinsip demokrasi dan keluhuran Perlembagaan.
Selain itu, sebagai seorang ahli sosiologi, beliau juga melihat Keluarga Malaysia ini dalam konteks yang lebih mikro sifatnya dan dekat dengan kehidupan masyarakat. Jika dilihat dan diamati, Keluarga Malaysia merupakan sebuah konsep yang bersifat universal kerana gagasan tersebut meliputi daripada perkara yang besar seperti dasar negara hinggalah melibatkan unit sosial yang paling kecil dan asas, iaitu keluarga.
Dalam kehidupan keluarga terdapat aspek undang-undang, ekonomi, politik, pendidikan, agama, darjat, perubatan, sains dan teknologi, dan sebagainya. Setiap satu kluster kehidupan ini boleh menjadi sumber kekuatan, dan boleh pula menjadi punca persengketaan dan perpecahan. Kepimpinan dalam keluarga ialah tenaga yang menentukan kekuatan atau kelemahan sesuatu keluarga
Oleh itu, terdapat pelbagai dimensi dan spektrum permasalahan dalam sesebuah keluarga. Krisis dan perpecahan dalam keluarga merupakan fenomena yang sentiasa terjadi. Permasalahan dan kelemahan tersebut boleh mencacatkan dan merosakkan serta tidak mustahil boleh menghancurkan sesebuah keluarga yang dibina. Bagi beliau, keluarga yang dianggap sentiasa stabil dan harmoni ialah keluarga jenis ideal. Institusi keluarga yang ideal itu sentiasa wujud dalam kehidupan masyarakat. Ternyata, di balik segala krisis dan perpecahan, masih ada harapan untuk wujudnya sebuah keluarga ideal yang boleh mengukuhkan tiang dan sendi keluarga.
Keluarga Malaysia yang dipromosikan sekarang merujuk kepada keluarga ideal, iaitu keluarga yang berintegriti, beramanah, adil, dan bermesyuwarah yang menekankan prinsip keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Perkara yang dipromosikan ialah aspek kehidupan yang positif. Paling penting, keluarga ideal ini mempunyai perasaan kekitaan yang mengutamakan kesepaduan dan kestabilan unit sosial tersebut.
Selain itu, beliau juga turut mengingatkan bahawa perlunya daya dan kualiti kepimpinan negara yang mantap, utuh dan mampu membawa negara lebih terkehadapan dalam pelbagai aspek. Itulah kunci kepada kejayaan gagasan Keluarga Malaysia. Kepimpinan yang lemah tentu sahaja akan memecahkan dan meretakkan Keluarga Malaysia.