Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sekali lagi menawarkan perkhidmatan Ekspres Khas Keluarga Malaysia (EKKM) bagi perjalanan dari KL Sentral ke Tumpat bermula 8 Julai 2022, bersempena sambutan perayaan Aidiladha.
Hal ini berikutan kerana sambutan pengguna Pantai Timur yang pulang ke kampung melalui perkhidmatan EKKM pada Aidilfitri yang lalu amat menggalakkan.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Encik Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata,
KTMB menjangkakan tren ini akan mendapat sambutan yang amat baik seperti sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Perkhidmatan tren khas ini menawarkan 516 tiket merangkumi perkhidmatan koc katil, koc tempat duduk primier dan superior yang melibatkan perjalanan bermula dari KL Sentral ke Tumpat dan sebaliknya.
Tren khas ini turut dilengkapi dengan koc bufet yang menawarkan ruang makan dan koc chillax yang menyediakan ruang aktiviti solat dan santai bersama keluarga.
Harga tiket EKKM bermula dengan RM55 hingga RM83 dan tiada tambang konsesi dalam tawaran ini. Orang ramai boleh mula mendapatkan tiket pada 15 Jun 2022 untuk perjalanan 8 Julai hingga 12 Julai akan datang.
Tren ini dijadualkan berlepas dari KL Sentral pada pukul 11.00 malam (8 Julai 2022) dan dijangka tiba di Tumpat pukul 3.53 petang (9 Julai 2022), manakala perjalanan pulang dari Tumpat bermula pada pukul 10.50 malam (12 Julai 2022) dan dijangka tiba di KL Sentral pada pukul 3.04 petang (13 Julai 2022).
Perkhidmatan tren ini akan berhenti di 16 buah stesen perhentian, iaitu Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Baru, dan Tumpat.
Orang ramai dinasihatkan supaya membeli tiket EKKM ini dengan lebih awal dan elakkan pembelian di saat-saat akhir. Tiket boleh didapati di kaunter atau menerusi aplikasi KTMB Mobile yang boleh dimuat turun Google Play Store, App Store, dan Huawei AppGallery.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 0322671200 atau layari laman sesawang www.ktmb.com.my.