24 Jun 2022, 11:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Israel sebenarnya merupakan sebuah negara haram yang tidak sepatutnya diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana negara ini ditubuhkan melalui keganasan dan jenayah perang apabila ribuan rakyat Palestin dibunuh dan lebih daripada 750 ribu orang dipaksa menjadi pelarian pada tahun 1948. Perkara ini telah dinukilkan dengan terperinci oleh beberapa orang sarjana berkenaan sejarah Palestin termasuklah seorang pakar sejarah berbangsa Yahudi sendiri, iaitu Profesor Ilan Pappe dalam buku terkenal beliau berjudul The Ethnic Cleansing of Palestine.

Kezaliman Israel terhadap warga Palestin masih berterusan sehingga ke hari ini kerana Israel telah mendapat sokongan kuat daripada kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarkat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Britain.

Satu daripada pendekatan untuk menentang kezaliman Israel ialah dengan mendedahkan jenayah aparteid yang sedang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap warga Palestin kepada masyarakat dunia. Jika masyarakat antarabangsa dapat diyakinkan dengan jenayah Israel ini, maka menjadi tanggungjawab masyarakat antarabangsa untuk memboikot Israel, sebagaimana yang telah dilakukan terhadap rejim aparteid Afrika Selatan pada tahun 1970-an dan 1980-an.

Apakah Aparteid?

Aparteid merupakan istilah dalam bahasa Afrika yang bermaksud pemisahan. Istilah ini pada asalnya digunakan untuk menggambarkan sistem diskriminasi yang dilakukan terhadap kaum kulit hitam yang wujud di Afrika Selatan yang berakhir pada tahun 1994.

Kini, istilah aparteid bukan sahaja merujuk pada bekas rejim Afrika Selatan, bahkan diterima pakai dalam undang-undang antarabangsa untuk menerangkan sesuatu kategori rejim, yang ditakrifkan dalam Konvensyen Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Penindasan dan Hukuman Jenayah Aparteid (1973). Takrifan istilah aparteid juga telah diperhalusi dalam Artikel 7 Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (2002) yang mentakrifkan jenayah aparteid sebagai “perbuatan tidak berperikemanusiaan…dilakukan dalam konteks penindasan dan penguasaan yang diinstitusikan oleh satu rejim secara sistematik, oleh satu kumpulan kaum ke atas mana-mana kumpulan atau kumpulan kaum lain dan dilakukan dengan niat untuk mengekalkan rejim tersebut.”

Jenayah Aparteid Israel

Hakikat yang berlaku sekarang, Israel (yang dahulunya dikenali sebagai Palestin) dan wilayah Palestin yang kini diduduki atau dijajah oleh Israel, iaitu Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur membentuk satu unit wilayah yang dikawal sepenuhnya oleh Israel sedangkan jumlah penduduk Palestin hampir separuh daripada jumlah penduduk dalam semua kawasan tersebut.

Namun demikian, di bawah undang-undang Israel secara praktiknya, warga Palestin telah dilayan secara berbeza berbanding dengan warga Yahudi Israel dalam hampir setiap aspek kehidupan seperti pemilikan rumah dan hartanah, pendidikan, kesihatan, pekerjaan, undang-undang kekeluargaan dan kebebasan bergerak. Terdapat berpuluh-puluh undang-undang dan dasar Israel yang menginstitusikan sistem diskriminasi dan penguasaan ini.

Pengasingan di antara warga Yahudi dengan Palestin dilakukan dengan melaksanakan sistem undang-undang yang berasingan untuk warga Yahudi Israel dan warga Palestin walaupun mereka tinggal di kawasan yang sama. Sebagai contoh di Tebing Barat yang diduduki dan dikawal oleh kerajaan Israel, peneroka Yahudi yang tinggal di penempatan-penempatan haram ditadbir oleh undang-undang sivil Israel, sementara rakyat Palestin yang tinggal di wilayah yang sama dikawal oleh undang-undang tentera Israel.

Dalam Israel sendiri, tidak wujud status kewarganegaraan Israel yang sama rata untuk semua warganegara. Sebaliknya, kewarganegaraan Israel dibahagikan kepada beberapa kategori. Mereka yang berada dalam kategori bangsa Yahudi akan mendapat hak dan keistimewaan yang jauh lebih baik berbanding dengan kategori lain. Bagi rakyat dalam kategori bangsa Arab, hak dan keistimewaan mereka amat terhad. Pemisahan ini menjadi lebih jelas apabila Israel meluluskan Undang-undang Negara Bangsa pada tahun 2018 (Israel Nation State Laws 2018), yang dengan rasminya mengkodifikasikan diskriminasi yang telah berlaku selama berdekad-dekad dan mengabadikan dua kelas warganegara yang berbeza, iaitu yang berbangsa Arab dan yang berbangsa Yahudi, di bawah undang-undang Israel.

Berikut adalah beberapa bukti wujudnya amalan aparteid terhadap warga Palestin yang memenuhi kriteria aparteid di bawah Konvensyen Aparteid PBB:

  • Memindahkan secara paksa rakyat Palestin dari kawasan penempatan asal mereka untuk memberi laluan kepada penempatan haram untuk bangsa Yahudi sahaja.
  • Menghalang rakyat Palestin yang terpaksa menjadi pelarian daripada kembali ke rumah dan kampung halaman mereka melibatkan berjuta-juta pelarian yang tinggal dalam buangan di Lubnan, Jordan, Syria, Gaza dan lain-lain tempat.
  • Pencabulan hak asasi kemanusiaan warga Palestin secara sistematik dan teruk berdasarkan identiti mereka sebagai bangsa Arab, iaitu bukan Yahudi.
  • Menafikan hak rakyat Palestin untuk bebas bergerak atau tinggal di mana-mana tempat secara bebas. Contoh paling ekstrem melibatkan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang dikepung semenjak Jun 2007.
  • Pembunuhan, penyeksaan, pemenjaraan warga Palestin yang menyalahi undang-undang dan sekatan daripada kebebasan fizikal.
  • Penganiayaan terhadap rakyat Palestin yang menentang jenayah aparteid yang dilakukan terhadap mereka.

Bahkan kezaliman rejim Zionis Israel dan polisi aparteidnya terhadap rakyat Palestin telah dilaporkan oleh beberapa orang pegawai PBB sendiri serta jawatankuasa dan organisasi di bawah PBB.  Antaranya ialah Profesor Richard Falk, profesor undang-undang emeritus di Princeton University dan Pelapor Khas PBB mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Palestin tahun 2008-2014;  Profesor John Dugard, profesor undang-undang dari Afrika Selatan yang menjawat jawatan Pelapor Khas PBB (sebelum Profesor Richard Falk) yang telah melakukan kajian terperinci berkenaan situasi di Palestin dan mengeluarkan laporan beliau pada tahun 2013 dan Michael Lynk, Pelapor Khas PBB untuk wilayah Palestin yang diduduki yang membuat laporan pada tahun 2019.

Jawatankuasa PBB Mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum juga mengecam polisi aparteid Israel pada tahun 2012.  Pada Mac 2017, Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia Barat (ESCWA) turut menyimpulkan berdasarkan bukti yang kukuh bahawa Israel bersalah kerana melakukan jenayah aparteid. Pada tahun 2019, Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Committee on the Elimination of Racial Discrimination atau CERD) juga menyimpulkan bahawa Israel telah melanggar Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum yang telah disahkan pada tahun 1979. Pada tahun 2020, 47 orang pakar hak asasi manusia PBB telah menandatangani satu kenyataan yang mengutuk rancangan pengilhakan Israel ke atas kawasan-kawasan di Tebing Barat kerana akan merealisasikan keadaan aparteid di Tebing Barat.

Pada tahun 2009, pasukan sarjana undang-undang antarabangsa di bawah naungan Majlis Penyelidikan Sains Manusia di Cape Town, Afrika Selatan telah menerbitkan kajian bertajuk “Occupation, Colonialism, Aparteid?”. Kajian tersebut juga menyimpulkan bahawa rejim Israel telah melaksanakan polisi aparteid ke atas rakyat Palestin.

Selain itu, beberapa pertubuhan hak asasi manusia juga telah mendedahkan bahawa Israel sedang melaksanakan polisi aparteid terhadap warga Palestin. Antaranya termasuklah:

  • Human Rights Watch (HRW) yang telah mengeluarkan laporan pada 27 April 2021 bertajuk “A Threshold Crossed – Israeli Authorities and the Crimes of Apartheid and Persecution”.
  • Amnesty International yang telah mengeluarkan laporan bertajuk “Israel’s Apartheid Against Palestinians: A Cruel System of Domination and a Crime Against Humanity” pada 1 Februari 2022.
  • BTSelem, sebuah Pertubuhan Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Israel telah mengeluarkan laporan pada Januari 2021 yang menyatakan bahawa rejim Israel melaksanakan sistem aparteid di semua wilayah yang dikuasainya (wilayah berdaulat Israel, Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat, dan Semenanjung Gaza).

Malangnya, walaupun terdapat bukti-bukti kukuh bahawa Israel bersalah dalam melakukan jenayah aparteid dan diperakukan oleh pelapor-pelapor PBB serta jawatankuasa dan lembaga di bawah PBB, Israel masih dibiarkan bebas melakukan jenayah ini. Faktor utamanya ialah sokongan yang diberikan kepada Israel oleh kuasa-kuasa besar dunia terutamanya EU, Britain dan AS. Perkara yang sangat menyedihkan kini, terdapat negara Islam yang sedang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel seperti Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Oman dan Maghribi. Namun begitu, masih terdapat beberapa buah negara yang enggan mengiktiraf Israel seperti Malaysia, Algeria, Libya, Somalia, Tunisia, Venezuela, Iran, Iraq, Kuwait, Lubnan, Qatar, Saudi Arabia, Syria, Yaman, Afghanistan, Bangladesh, Maldives, Pakistan, Brunei, dan Indonesia.

Kita berbangga kerana Malaysia merupakan satu-satunya negara yang berani bersuara pada peringkat PBB bahawa Israel sedang melaksanakan polisi aparteid terhadap rakyat Palestin.

Peranan Gerakan BDS

Kini, telah wujud satu gerakan antarabangsa yang sedang giat berusaha menjelaskan keadaan aparteid di Palestin kepada seluruh dunia, iaitu gerakan BDS (Boycott, Divestment and Sanctions). Gerakan ini telah dimulakan di Palestin pada tahun 2005 dan telah berkembang dengan cepat di Eropah dan AS. BDS memperjuangkan hak warga Palestin secara aman dan oleh itu, sukar bagi Israel untuk mengaitkan BDS dengan kumpulan pengganas (seperti yang dilakukan terhadap kumpulan Hamas).

Israel merupakan sebuah negara yang tidak layak wujud di muka bumi kerana ditubuhkan melalui pencabulan hak asasi warga Palestin, amalan pembersihan etnik (ethnic cleansing) dan pembunuhan beramai-ramai (genocide). Walau bagaimanapun, masyarakat antarabangsa gagal menyedari hakikat ini kerana tidak mempunyai maklumat tentang apa-apa yang telah berlaku di Palestin pada tahun 1948. Kini, masyarakat antarabangsa berpeluang untuk melakukan perkara yang betul kerana maklumat berkenaan amalan aparteid oleh rejim Zionis Israel semakin hari semakin diketahui umum. Jika usaha gerakan BDS antarabangsa berjaya menyebarkan hakikat jenayah apartied oleh Israel, kerajaan-kerajaan di seluruh dunia bertanggungjawab memboikot Israel.  Insya-Allah kejayaan untuk membongkar kebenaran dan mendapatkan keadilan di Palestin adalah hampir.

Profesor Dr. Mohd Nazari Ismail, Profesor Kehormat Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya merangkap Pengerusi Boycott, Divestment and Sanctions-Malaysia (BDS) dan Palestinian Progressive Assocation-Malaysia (PPAM).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.