Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia diraikan pada tanggal 23 April setiap tahun bagi memperkasakan usaha menjadikan buku sebagai sumber ilmu utama, memperkukuh budaya membaca serta mengiktiraf hak cipta sebagai pelindung kepada karya dan kreativiti penulis.
Sambutan ini ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO), iaitu sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menggalakkan masyarakat khususnya generasi muda agar terus menjadikan budaya membaca sebagai amalan, dan menghargai nilai sebuah buku serta karya asli. Tarikh ini juga bersempena dengan ulang tahun kematian penulis tersohor dunia seperti Miguel de Cervantes, William Shakespare dan Inca Garcilaso de la Vega yang banyak menyumbang karya kesusasteraan yang bermutu tinggi.
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia ini. Masyarakat menerusi pelbagai institusi boleh melakukan pelbagai cara untuk meraikannya. Sebagai contoh, mereka boleh menyumbang buku-buku kepada golongan yang tidak berkemampuan, memberikan hadiah seperti buku karya penulis kegemaran kepada rakan-rakan, atau mengadakan rutin mengunjungi kedai buku untuk melihat dan memiliki koleksi terbaharu. Aktiviti ini penting untuk menyuburkan budaya membaca dalam melahirkan masyarakat yang berilmu, lebih-lebih lagi pada zaman yang serba mencabar ini. Biarpun dunia telah menuju era penerbitan digital, namun masyarakat tidak mengesampingkan bahan bacaan berbentuk fizikal. Buktinya setiap kali pesta buku diadakan sama ada pada peringkat antarabangsa, kebangsaan atau negeri, penggiat industri perbukuan akan mengadakan pelancaran buku terbaharu, pelbagai wacana, promosi jualan, potongan harga istimewa dan sebagainya bagi menyuburkan budaya membaca masyarakat. Khalayak pula berpusu-pusu hadir memberikan sokongan setiap kali pelbagai program diadakan di ruang pameran penerbit-penerbit dari dalam dan luar negara.
Tanpa membaca, masyarakat akan mudah tertipu, mempercayai sesuatu yang tidak sahih, mundur dan menjadi malas berikutan ketiadaan percambahan minda dan kurang daya fikir. Budaya membaca dapat mengasah pemikiran seseorang sehingga mampu menjadi insan yang lebih baik. Berbekalkan ilmu pengetahuan, negara akan dapat dibina dengan lebih tersusun dan pemikiran rakyat akan menjadi lebih maju dan bertamadun. Bagi pencinta buku, amalan membaca buku akan memberikan ketenangan, kepuasan dan melahirkan perasaan ingin tahu terhadap sesuatu perkara.
Selain itu, daya ingatan dan memori mereka pastinya akan bertambah tajam kerana sentiasa dirangsang dengan fakta dan imaginasi selepas menelaah bahan bacaan. Hal ini terbukti melalui keupayaan berfikir pemimpin utama dunia yang tidak pernah pudar disebabkan budaya membaca yang diterapkan dalam kehidupan seharian mereka. Contohnya Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa amalan membaca menjadikan beliau kekal fokus, selain dapat menajamkan fikiran.
Bersempena dengan sambutan ini, Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia turut melancarkan Kempen Jom Baca 10 Minit. Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif ini bertujuan untuk menghidupkan amalan membaca harian dalam kalangan seluruh lapisan masyarakat. Beliau berpandangan bahawa walaupun hanya 10 minit sehari diperuntukkan untuk membaca, amalan kecil itu mampu memberikan impak besar dalam membentuk masyarakat berilmu, berfikiran kritis dan berdaya saing.
“Budaya membaca perlu dijadikan gaya hidup rakyat Malaysia. Dengan hanya 10 minit sehari, kita mampu menyemai nilai ilmu yang akan menjadi asas kepada pembinaan masyarakat MADANI dan negara yang lebih maju,” jelas beliau dalam satu kenyataan. Beliau menjejaskan bahawa kempen pada tahun ini mengangkat tema “Membaca Membina Bangsa” selari dengan aspirasi kerajaan dalam usaha memperkukuh pembinaan negara bangsa melalui pembudayaan ilmu dan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Hal tersebut seiring dengan misi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pembaca menjelang tahun 2030. Oleh itu, usaha kementerian yang terus mempergiat dan melipatgandakan pelaksanaan program-program galakan membaca secara inklusif dan berterusan mampu menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat. Dalam hal ini semua pihak tanpa mengira latar belakang, iaitu penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar sekolah, mahasiswa institusi pengajian tinggi, golongan belia, sektor swasta dan korporat perlu bersama-sama menyertai kempen berkenaan sebagai inisiatif untuk memperkasakan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, bagi penggemar karya tertentu, mereka juga boleh meneroka sesuatu di luar kebiasaan masing-masing. Sesekali, mereka boleh membaca buku yang bukan daripada genre kebiasaan. Hal ini dapat meluaskan pandangan mereka dan mencuba minat yang baharu. Dengan memulakan minat baharu ini, kemungkinan besar minat membaca akan kembali bertaut dalam hati masyarakat.
Masyarakat harus sedar bahawa membaca merupakan satu amalan yang mulia. Ayat al-Quran yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah “Iqra” yang bermaksud bacalah. Ayat daripada surah Al-‘Alaq ini sangat signifikan dalam kehidupan kita kerana Allah SWT menerangkan penciptaan manusia dengan memuliakan kita menerusi kebolehan membaca, menulis dan meneroka ilmu pengetahuan. Inilah kepentingan membaca dan berilmu. Dengan ilmu pengetahuan yang diperoleh daripada budaya membaca, negara akan dapat dibina dengan matang dan pemikiran rakyat akan menjadi lebih maju. Buku ialah tangga bagi kemajuan manusia untuk terus mendaki, manakala membaca pula menjadi cahaya dalam kehidupan. Marilah kita memupuk amalan membaca, menjadi insan yang lebih bijak, dan membina dunia spiritual yang lebih baik dan indah.
Semoga sambutan ini dapat menyemarakkan kesedaran tentang kepentingan masyarakat dalam memupuk budaya membaca, menghargai karya intelektual, serta memelihara hak cipta sebagai teras kepada perkembangan ilmu dan peradaban. Maka itu, bersempena dengan Hari Buku Sedunia, marilah kita bersama-sama membeli sebuah buku dan mulalah membaca, sekali gus menggalakkan ramai orang untuk merasai keseronokan untuk memiliki buku dan membaca, serta mengiktiraf peranan buku sebagai penghubung antara generasi dan budaya. Selamat Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.