Diterbitkan pada 30 April 2026, 16:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perang antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel semakin berleluasa apabila Selat Hormuz yang menjadi laluan tenaga utama dunia ditutup. Pada tahun 2025, direkodkan bahawa satu perlima daripada jumlah minyak dunia yang bersamaan dengan 20 juta tong sehari telah melalui Selat Hormuz. Selat Hormuz merupakan laluan utama eksport minyak yang dihasilkan oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar, Iraq, Bahrain dan Iran. Sebahagian besar penghantaran minyak yang melalui selat itu menuju ke negara-negara Asia, dengan China, India, Korea Selatan dan Jepun menjadi pengimport utama.

Keseluruhan eksport gas asli cecair [liquified natural gas (LNG)] dari Qatar dan UAE perlu melalui Selat Hormuz. Qatar merupakan pengeksport LNG kedua terbesar di dunia, dengan jumlah eksport melebihi 112 bilion meter padu pada tahun 2025. Sementara itu, UAE mengeksport tujuh bilion meter padu LNG. Qatar dan UAE membekalkan hampir tujuh bilion meter padu LNG kepada Kuwait pada tahun 2025. Hal ini menunjukkan bahawa hampir 20 peratus daripada perdagangan LNG global melalui Selat Hormuz. Pasaran Asia merupakan destinasi utama LNG dari Qatar dan UAE.

Pada tahun 2025, hampir 90 peratus daripada jumlah LNG yang dieksport melalui Selat Hormuz telah menuju ke pasaran Asia, manakala ke Eropah hanyalah 10 peratus. Negara-negara yang sangat bergantung kepada LNG dari Qatar dan UAE akan terjejas paling teruk. Pada masa yang sama, Bangladesh, India dan Pakistan turut mengimport hampir dua pertiga daripada jumlah bekalan LNG melalui Selat Hormuz pada tahun 2025.

Penutupan Selat Hormuz dilakukan susulan kematian Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan peningkatan serangan bersama AS–Israel ke atas Iran. Sebagai balasan, Iran bertindak melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel dan tentera AS di Timur Tengah. Kor Pengawal Revolusi Islam Iran mengisytiharkan bahawa Iran mengekalkan kawalan penuh terhadap Selat Hormuz. Presiden AS, Donald Trump pula menyatakan bahawa AS sedia mengerahkan tentera laut untuk mengiringi kapal-kapal tangki minyak.

Serangan pertama terhadap kapal tangki di Selat Hormuz berlaku pada 1 Mac 2026. Pusat Keselamatan Maritim Oman mengumumkan bahawa sebuah kapal tangki minyak bernama Skylight yang berdaftar di bawah bendera Republik Palau telah menjadi sasaran kira-kira lima batu nautika (9.26 km) di utara Pelabuhan Khasab. Setakat 4 Mac 2026, sebanyak 10 kapal tangki minyak telah diserang dengan pelbagai jenis peluru berpandu.

Kebergantungan terhadap import tenaga dari Timur Tengah mengancam sekuriti tenaga Jepun apabila Selat Hormuz yang ditutup menjadi sebahagian daripada kawasan konflik. Agensi Tenaga Antarabangsa [International Energy Agency (IEA)] mentakrifkan sekuriti tenaga sebagai ketersediaan sumber tenaga yang berterusan pada harga yang mampu milik. Komponen sekuriti tenaga merangkumi aspek tersedia, boleh diakses, mampu milik dan mampan. Tersedia bermaksud memastikan bekalan mencukupi untuk memenuhi permintaan, manakala boleh diakses bermaksud tenaga mesti menjangkau semua sektor dalam negara.

Dalam hal ini, pergantungan import terhadap minyak, gas asli dan arang batu mewujudkan risiko sekiranya rantaian bekalan global terganggu. Mampu milik pula bermaksud kos tenaga harus kekal stabil. Kebergantungan yang meningkat terhadap import minyak, gas asli dan arang batu menjadikan sesebuah negara terdedah dengan perubahan harga. Sementara itu, mampan bermaksud pengeluaran tenaga tidak seharusnya membahayakan alam sekitar. Tenaga boleh diperbaharui seperti suria, tenaga hidro dan biotenaga menjadi keutamaan untuk memenuhi matlamat iklim pada jangka masa panjang.

Cabaran lain dalam sekuriti tenaga ialah perubahan harga bahan api. Sebagai contoh, pengimportan arang batu dan minyak telah menjadikan kos penjanaan elektrik sangat bergantung kepada harga pasaran global. Apabila harga tersebut meningkat akibat pelbagai faktor seperti peperangan dan embargo, maka tenaga elektrik menjadi lebih mahal untuk dihasilkan. Cabaran seterusnya ialah gangguan bekalan. Peperangan di sekitar laluan utama perdagangan bahan api menyebabkan gangguan bekalan tenaga bagi sesebuah negara. Hal ini menyebabkan negara terpaksa bertahan dengan simpanan bahan api yang sedia ada sebelum laluan tersebut selamat dilalui.

Kebergantungan terhadap sektor import turut menjadi cabaran dalam sekuriti tenaga. Negara lain bergantung pada sektor import untuk memenuhi permintaan minyak, gas asli dan arang batu. Hal ini seterusnya akan menimbulkan masalah kepada negara pengimport. Apabila negara pembekal bahan api menghadapi masalah seperti peperangan, perubahan rejim dan dasar, kelangsungan bekalan tenaga akan terjejas. Akhir sekali, infrastruktur lama yang tidak diselenggarakan dengan sebaik-baiknya pada saat genting ini akan mengakibatkan penjanaan kuasa terganggu, sekali gus menjejaskan kesejahteraan masyarakat.

Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, memaklumkan kepada Diet pada 2 Mac 2026 bahawa Jepun mempunyai simpanan minyak yang mencukupi untuk tempoh 254 hari sahaja. Beliau turut mengatakan bahawa Kerajaan Jepun akan memastikan kestabilan bekalan tenaga di negara tersebut walaupun Selat Hormuz ditutup. Jepun bergantung kepada Timur Tengah bagi membekalkan 95 peratus minyak dan 11 peratus import LNG. Daripada peratusan tersebut, kira-kira 70 peratus bekalan minyak dan enam peratus LNG Jepun melalui Selat Hormuz.

Pada Januari 2026, Jepun mengimport sebanyak 2.8 juta tong minyak sehari.Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 1.6 juta tong sehari diimport dari Arab Saudi, selain UAE, Kuwait dan Qatar. Sehingga November 2025, Jepun mengimport sejumlah minyak mentah Arab Saudi (318 bilion yen), UAE (296 bilion yen), AS (51.5 bilion yen), Qatar (32.5 bilion yen) dan Kuwait (25 bilion yen).

Pada tahun 2024, Jepun mengimport minyak mentah bernilai USD73 bilion, menjadikan Jepun sebagai pengimport minyak mentah kelima terbesar di dunia daripada 149 buah negara. Jepun mengimport minyak mentah terutamanya dari UAE (USD31.4 bilion), Arab Saudi (USD28.7 bilion), Kuwait (USD4.86 bilion), Qatar (USD2.8 bilion) dan AS (USD1.87 bilion). Minyak mentah merupakan produk yang paling banyak diimport oleh Jepun daripada keseluruhan 1217 jenis produk import.

Jadual 1 Import Minyak Mentah Jepun dari Timur Tengah.

Tahun

/Negara

Arab Saudi UAE Kuwait Qatar Oman Bahrain
2023 USD33.2 bilion USD31.8 bilion USD7.19 bilion USD3.53 bilion USD935 juta USD85 juta
2022 USD39.8 bilion USD38.2 bilion USD8.35 bilion USD6.38 bilion USD1.2 bilion USD400 juta
2021 USD25.2 bilion USD21.9 bilion USD5.37 bilion USD4.25 bilion USD314 juta USD447 juta
2020 USD17.2 bilion USD13.7 bilion USD3.88 bilion USD3.61 bilion USD326 juta USD163 juta
2019 USD26.1 bilion USD21.9 bilion USD6.13 bilion USD6.33 bilion USD1.34 bilion USD728 juta
2018 USD31.2 bilion USD20.6 bilion USD6.03 bilion USD6.34 bilion USD1.38 bilion USD562 juta

Jepun mempunyai rizab minyak kecemasan yang bersamaan dengan 254 hari penggunaan. Rizab tersebut dibahagikan kepada simpanan nasional (146 hari), simpanan sektor swasta (101 hari) dan simpanan bersama-sama dengan negara pengeluar minyak (tujuh hari). Saudi Aramco menggunakan 13 tangki simpanan minyak mentah di Okinawa yang membolehkan syarikat minyak milik Arab Saudi itu menyimpan sebanyak 1.3 juta kiloliter minyak mentah atau sekitar 8.2 juta tong yang bersamaan dengan tiga hari penggunaan minyak Jepun.

Perjanjian sewaan tangki antara Jepun–Arab Saudi telah berkuat kuasa sejak tahun 2010 dan diperbaharui pada setiap tiga tahun. Sebagai balasan kerana menyediakan ruang simpanan kepada Saudi Aramco, Jepun dikurniakan keutamaan akses kepada stok minyak tersebut sekiranya berlaku kecemasan.

Import LNG Jepun dari Timur Tengah khususnya dari Qatar, Oman dan UAE merangkumi 11 peratus daripada jumlah keseluruhan import. Pembekal utama LNG Jepun ialah Australia yang menyumbang 40 peratus daripada keseluruhan import LNG. Jepun merupakan pengimport LNG kedua terbesar di dunia. Pada tahun 2024, jumlah keseluruhan import LNG Jepun ialah 65.87 juta tan. Daripada jumlah tersebut, import LNG Jepun dari Oman (lima peratus), Qatar (4.3 peratus) dan UAE (1.3 peratus). Import keseluruhan LNG pada tahun 2022 pula ialah sebanyak 72 juta tan dengan Qatar (empat peratus), Oman (3.5 peratus) dan UAE (1.9 peratus).

Sehingga 1 Mac 2026, syarikat-syarikat utiliti utama Jepun telah meningkatkan stok simpanan LNG mereka sebanyak 10 peratus kepada 2.19 juta tan metrik yang bersamaan dengan 12 hari penggunaan. Secara keseluruhannya, Jepun mempunyai 4 juta tan LNG dalam simpanan. Sementara itu, sejumlah 0.1 juta tan seminggu sahaja diperuntukkan daripada bekalan LNG Jepun untuk diimport melalui Selat Hormuz. Sekiranya gangguan di Selat Hormuz masih berlarutan, stok simpanan LNG Jepun mampu menampung sehingga tempoh 44 minggu penggunaan. Namun begitu, sekiranya semua import LNG Jepun dihentikan sepenuhnya, negara itu mempunyai bekalan yang mencukupi untuk tiga minggu sahaja.

Peperangan di Timur Tengah memberikan ancaman yang serius terhadap sekuriti tenaga Jepun. Sebahagian besar bekalan tenaga Jepun datang dari negara Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar dan Oman, manakala laluan utama penghantaran tenaga melalui Selat Hormuz. Bekalan tenaga ke Jepun yang terganggu mendorong kenaikan harga. Walaupun Jepun mempunyai rizab minyak kecemasan dan simpanan LNG yang boleh menampung penggunaan untuk tempoh tertentu, gangguan yang berpanjangan tetap berisiko menjejaskan kestabilan ekonomi, operasi industri dan sekuriti tenaga negara tersebut.

Oleh itu, peperangan di Timur Tengah menunjukkan betapa pentingnya kepelbagaian sumber tenaga kepada Jepun untuk memperkukuh stok simpanan dan memperluas kerjasama tenaga dengan negara-negara lain bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sebuah rantau sahaja.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi