8 Ogos 2022, 16:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Kami bimbang dibunuh, oleh sebab itu kami melarikan diri meninggalkan rumah dan kampung halaman yang kami cintai di Bandar Sana’a, Marib (Yaman). Tidak mungkin kami dapat pulang semula ke tempat kelahiran kami setelah tujuh tahun melarikan diri dan tinggal di Kem Pelarian Raudah ini,” terang Ali Zain, 55 tahun.

Mantan imam Masjid Syurtoh di Sana’a itu hanya mengalirkan air mata apabila mengenang akan untung nasib mereka setelah bergelar pelarian di bumi sendiri.  Ali dan isteri serta lapan orang anaknya tinggal di bawah khemah yang serba daif dan hanya mampu berdoa pada setiap hari semoga keamanan yang mereka impikan menjadi realiti suatu hari nanti di bumi Yaman.

Ali Zain dahulunya seorang imam yang disegani, namun kini beliau menjadi pelarian dan tinggal di Kem Pelarian Raudah Marib demi kelansungan hidup.

Jika dahulu, kami boleh bergerak bebas untuk ke mana-mana sahaja, selain hilang sumber pendapatan, kami juga tidak pasti tentang masa hadapan kami khususnya anak-anak yang sedang membesar. Sebelum perang, saya boleh memandu kenderaan ke Marib yang mengambil masa hanya tiga jam sahaja, tetapi setelah pekan, iaitu Bandar Ma’in di Sana’a diserang, kami terpaksa memandu kereta yang mengambil masa hingga 17 jam bagi menyelamatkan diri untuk sampai ke kem pelarian ini bagi memulakan hidup yang baharu.

Cerita sedih itulah yang dikongsikan oleh Ali kepada Presiden Muslim Care Malaysia (Muslim Care), Haji Zulkifli Wahijan ketika beliau dan tujuh orang sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) tersebut datang menyampaikan pek makanan di Kem Pelarian Raudah, Marib, pada 8 Ogos 2022. Dalam lawatan tersebut, Musllim Care mengedarkan 200 pek makanan yang mengandungi beras, minyak masak, pes tomato, tepung dan makanan dalam tin.

Kisah duka Ali itu hampir sama dengan jutaan pelarian lain yang ditempatkan di beberapa kem pelarian di Marib dan beberapa lagi lokasi penempatan pelarian di Yaman. Keadaan kem yang daif; tidak mempunyai bekalan air bersih yang sistematik; dan kekurangan bekalan makanan menyumbang kes malnutrisi atau kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di Yaman sangat membimbangkan.

Selain berhadapan dengan cuaca panas yang ekstrem, iaitu mencecah 45 darjah Celsius, mereka juga diancam pelbagai kemungkinan penyakit kerana kesedaran aspek penjagaan diri yang rendah. Atas kesedaran tersebut, Muslim Care Malaysia mengambil inisiatif menjayakan Misi Kemanusiaan di Yaman bermula pada 1 Ogos lalu dan dijangka berakhir 16 Ogos ini.

Menurut Presiden Muslim Care, Haji Zulkifli Wahijan, fokus bantuan kali ini adalah untuk mengumpul data dan mengenal pasti isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak pelarian di negara tersebut yang mula terlibat dalam kancah peperangan sejak tahun 2012.

Misi Kemanusiaan di Yaman anjuran Muslim Care Malaysia memfokuskan isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak dan bayi.

“Kami mendapati kanak-kanak pelarian di sini menghadapi isu malnutrisi yang serius, ada bayi yang kami temukan tidak mendapat zat pemakanan yang sewajarnya untuk seorang bayi terus membesar dengan normal. Tidak banyak NGO yang memberikan penekanan isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak dan bayi di kem pelarian di Yaman ini. Begitu juga bantuan kemanusiaan di negara ini yang seolah-olah dipandang sepi oleh NGO antarabangsa berbanding dengan bantuan kemanusiaan yang dihulurkan di negara lain yang dilanda konflik seperti di Palestin, Syria, Myanmar dan beberapa buah negara di benua Afrika. Justeru saya berharap, rakyat Malaysia dapat menghulurkan derma dan bantuan lain ke Yaman melalui tabung atau dana kemanusiaan yang dianjurkan oleh kami,” ulas Hj. Zulkifli.

Bekalan Makanan Terputus

Sementara itu, tinjauan penulis dan pihak Muslim Care di beberapa buah kem pelarian di Seiyun dan Marib mendapati banyak pelarian yang kehabisan bekalan makanan dan kekurangan bahan penjagaan diri. Antara yang terkesan termasuklah seorang kanak-kanak lelaki, Sufian Salleh, 13 tahun.

Kami sering keputusan bekalan makanan. Di kem pelarian ini, kami tidak punya banyak pilihan selain perlu berjimat cermat dengan bekalan bahan makanan seperti tepung, minyak masak beras.

Kanak-kanak malang ini yang mempunyai sembilan orang adik beradik terpaksa berlindung di Kem Pelarian Raudah di Bandar Marib setelah rumah di bandar mereka tinggal, iaitu  di Sana’a musnah akibat terlibat dalam peperangan. Sufian merupakan seorang daripada penerima bantuan pek makanan yang mengandungi beras, minyak masak, pes tomato, tepung dan makanan dalam tin yang di berikan oleh Muslim Care Malaysia (Muslim Care).

Adik Sufian Solleh menerima pek makanan yang disampaikan oleh Muslim Care di Kem Pelarian Raudah, Marib.

Cerita Sufian juga hampir sama dengan ribuan kanak-kanak pelarian lain yang ditempatkan di beberapa buah kem pelarian di Marib dan beberapa buah lagi lokasi penempatan pelarian di Yaman. Keadaan kem yang daif, tidak mempunyai bekalan air bersih yang sistematik, kekurangan bekalan makanan menyumbang kes malnutrisi atau kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di Yaman sangat membimbangkan. Selain berhadapan dengan cuaca panas yang ekstrem, mereka juga diancam pelbagai kemungkinan penyakit kerana kesedaran aspek penjagaan diri yang rendah.

Menjejak bumi Yaman, penulis hanya mampu berdoa agar setiap pelarian yang menumpang berteduh di kem pelarian untuk terus cekal dan tabah dalam menghadapi setiap dugaan yang mendatang. Bilakah konflik ini akan berakhir? Tiada siapa yang mampu memberikan jawapannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.