Oleh Suyuthi Yusuf
12 Ogos 2022, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – “Para pelajar harus berani dan bersifat daya saing serta sanggup menyahut segala cabaran dalam melibatkan diri dalam sektor pertanian dan keusahawanan”, ujar YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan dalam program ‘Wacana Dr. Radzi Jidin: Eksplorasi Dunia Pertanian’ bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang petang semalam.

Sektor pertanian memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan di dalam negara. Krisis sekuriti makanan yang melanda dunia ketika ini membuktikan bahawa sektor tersebut perlu diutamakan dan dieksplorasi dengan lebih jauh bagi menyediakan bekalan makanan yang terjamin dan mencukupi.

YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan sedang memberikan penerangan tentang ruang dan peluang yang boleh diceburi oleh pelajar dalam sektor pertanian.

Dalam menghadapi cabaran tersebut, pelajar aliran Teknik dan Vokasional, khususnya dalam bidang pertanian dan keusahawanan merupakan watak utama pada masa hadapan yang berupaya membangunkan sektor tersebut sebagaimana yang dihasratkan oleh kerajaan. Keterlibatan aktif mereka mampu membawa negara dalam landasan yang betul bagi memastikan sektor pertanian negara sama unggul dan hebat dengan negara maju yang lain.

Peluang dalam sektor pertanian sangat besar untuk para pelajar yang menjurus kepada bidang ini. Pendekatan dan kaedah teknologi baharu dalam pertanian perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Kaedah yang konvensional perlu ditukar ke arah yang lebih terkini dan bersifat semasa. Selain itu, pelajar juga harus didedahkan dengan teknologi terkini dalam pertanian moden bagi menyediakan mereka menceburkan diri dalam sektor pertanian dan keusahawanan selepas tamat pembelajaran dan seterusnya menawarkan produk pertanian yang bernilai tinggi.

Selain itu, beliau juga turut menyentuh tentang peluang pekerjaan dalam sektor tersebut. Banyak pihak beranggapan bahawa bidang tersebut tidak membawa pulangan dan pendapatan yang tinggi selain kurangnya peluang pekerjaan. Namun begitu, perkara yang lebih penting ialah daya usaha dan pemerhatian terhadap perkembangan teknologi pertanian yang akan membuatkan seseorang itu berjaya dalam sektor tersebut.

Peluang pekerjaan akan selalu ada dalam sektor ini.  Para pelajar harus sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik serta harus memahami apa-apa ruang dan peluang yang terdapat dalam sektor ini. Hal ini disebabkan sektor ini akan memberikan sumbangan yang besar buat negara pada masa hadapan.

Beliau juga turut menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia sedia menyediakan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan sektor ini. Di peringkat sekolah, pelajar perlu didedahkan dengan bantuan dari segi modal dan kemudahan yang disediakan oleh agensi tertentu seperti agensi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Amanah Ikhtiar Malaysia dan sebagainya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Dr. Norisah Suhaili, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) dan Puan Hajah Zanariah Haji Ahmad, Ketua Jabatan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknik Vokasional.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.