22 Ogos 2022, 14:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – DELIMa, singkatan kepada Digital Educational Learning Initiative Malaysia merupakan pelantar yang menyediakan perkhidmatan sistem pengurusan pembelajaran dan sumber pembelajaran yang boleh digunakan oleh murid, guru dan ibu bapa untuk pembelajaran secara dalam talian. Pelantar DELIMa yang dibangunkan pada Jun 2020, menjadi medium utama pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) apabila kerajaan mengarahkan penutupan sekolah di seluruh negara akibat penyebaran virus COVID-19.

Kini, meskipun negara memasuki fasa peralihan ke endemik, pelantar ini terus mengalami penambahbaikan dari semasa ke semasa agar tampil lebih interaktif serta dapat memberikan pengalaman dan personalisasi yang lebih baik kepada para pengguna.

“Kaedah ini merupakan pendekatan yang menyeluruh. Kita ingin menjadikan platform DELIMa ini sebagai asas bagi murid untuk digunakan dalam konteks pendidikan mereka. Sebagai contoh, kita memasukkan pautan Perpustakaan Negara Malaysia yang dapat dijadikan sebagai one-stop centre bagi murid mendapatkan akses kepada pelbagai maklumat yang ada di Perpustakaan Negara,” ujar Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Transformasi Pendidikan DELIMa: Agenda Digital Kita yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1), hari ini.

Tambah beliau, dalam dunia digital pada hari ini, murid dan guru mempunyai sumber pembelajaran dan pendidikan yang pelbagai. Menyedari hal ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyusun strategi untuk merangkumkan kepelbagaian sumber ini dengan meningkatkan kecekapan akses bagi murid dan guru.

Baru-baru ini, kita telah melancarkan Program Pemerkasaan ICT dalam semangat Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan. Bagi tempoh 2022-2023, kerajaan membelanjakan RM1.3 bilion untuk menyediakan perkakasan ICT kepada sekolah di seluruh negara melalui tiga fasa. Pada hari ini, kita bercerita tentang kesinambungannya, bahawa kita bukan sahaja menumpukan kepada keperluan ‘hardware’ tetapi juga ‘software’, iaitu merujuk pada DELIMa, sebuah platform yang cukup baik dan dinamik.

Gimik pelancaran pelantar DELIMa 2.0.

KPM terus komited untuk membangunkan pendidikan yang menyeluruh seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa. DELIMa merupakan satu-satunya pelantar yang menggabungkan tiga rakan strategik utama KPM, iaitu Google, Microsoft dan Apple. DELIMa 2.0 muncul dengan ciri yang dipertingkatkan menggunakan kecerdasan buatan yang menggabungkan tiga elemen, iaitu:

Paparan masuk pelantar DELIMa 2.0 yang lebih sofistikated.
  • Pembelajaran diperibadikan – Mengenal pasti kekuatan, keperluan, kemahiran dan minat pengguna.
  • Pengalaman pengguna – Mudah, mesra dan menyeronokkan.
  • Analitis data – Menganalisis trend penggunaan secara menyeluruh.
Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan, melawat para pempamer dalam majlis tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; Timbalan Pengarah (Sektor Dasar, Perancangan dan Penyelidikan), YBrs. Encik Shaiful Hasnan bin Abdul Hamid mewakili Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, dan barisan wakil rakan strategik pelantar DELIMa, iaitu Google Malaysia, Microsoft Malaysia, Apple Malaysia serta United Nations Children’s Fund Malaysia (UNICEF). Datuk Dr. Radzi Jidin juga berkesempatan mendengar taklimat tentang pembaharuan yang diperkenalkan dalam DELIMa 2.0 daripada empat rakan strategik tersebut di samping meluangkan masa melawat para pempamer yang turut serta dalam majlis pelancaran tersebut.

Wartawan cilik daripada Twinkle 8(1) TV sempat menemu bual Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.