Oleh Suyuthi Yusuf
25 Ogos 2022, 17:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang –  Resolusi sempena program Ekspo Buku Malaysia 2022 dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022 telah dibentangkan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) petang tadi. Ekspo dan persidangan tersebut telah berlangsung dengan jayanya selama empat hari mulai 22 Ogos lalu.

Prof. Dato’ Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad, Pengarah Pusat Strategik dan Perhubungan Korporat UPM sedang membentangkan resolusi.

Resolusi tersebut dibentangkan dalam majlis penutupan program oleh Prof. Dato’ Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad yang merupakan Pengarah Pusat Strategik dan Perhubungan Korporat UPM. Antara rumusan dan resolusi tersebut ialah:

  • Memastikan penerbitan buku mencapai sasaran memandangkan Kuala Lumpur sebagai ibu kota buku dunia dan UNESCO mensasarkan bahawa 1 peratus buku diterbitkan berasaskan jumlah penduduk negara. Oleh itu, sebanyak 37 ribu buku mesti diterbitkan setahun berdasarkan jumlah penduduk Malaysia yang berjumlah 37 juta.
  • Menetapkan bahawa menerusi ilmu akan dapat memandaikan masyarakat. Hal ini dapat dilakukan menerusi penerbitan buku oleh para ahli akademik untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Di samping menerbitkan makalah dalam jurnal, para pensyarah juga digalakkan untuk menerbitkan buku dalam bidang kepakaran masing-masing dalam bahasa Melayu.
  • Memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu digunakan selari dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Malaysia. Penghasilan buku ilmiah dalam bahasa Melayu sangat digalakkan.
  • Melibatkan sama golongan terpelajar muda dalam penulisan. Oleh itu, Kelab Penulis perlu ditubuhkan di setiap universiti. Penubuhan kelab ini akan merancakkan ekosistem dan aktiviti penulisan sama ada dalam bentuk deskriptif atau kreatif.
  • Memanfaatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) sebagai wadah penyaluran buku dalam pelbagai medium seperti telenovela, drama dan filem. Dalam hal ini, usaha hendaklah ditingkatkan untuk memindahkan karya-karya tertentu ke layar perak.
  • Memastikan penerbitan karya kreatif sebagai wahana oleh masyarakat untuk menyatakan perasaan terhadap sesuatu perkembangan diperbanyak di samping penerbitan buku ilmiah. Masyarakat yang matang seperti di negara maju sangat menitikberatkan saluran untuk para penyair dan sasterawan berkongsi rasa dan aspirasi mereka yang dizahirkan menerusi mata pena.

Rumusan dan resolusi tersebut telah diserahkan oleh Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM kepada Ybhg. Dato’ Ts. Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) untuk diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM (dua dari kiri) menyerahkan resolusi kepada Ybhg. Dato’ Ts. Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi).

Turut hadir dalam majlis penutupan tersebut ialah Ybhg. Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), dan YBhg. Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan, Pengerusi  Program Ekspo Buku Malaysia 2022 dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.