Oleh Suyuthi Yusuf
12 September 2022, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan yang dilaksanakan oleh Sektor Perancangan dan Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diadakan di Dewan Putra Perdana, Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya pagi tadi. Program tersebut disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan. 

Sempena bulan Semarakkan Transformasi Pendidikan KPM dari 1 ogos hingga 16 September 2022, Sektor Perancangan dan Pembangunan telah diberi tanggungjawab untuk berkongsi informasi terkini daripada pelbagai bahagian bawah Sektor Perancangan dan Pembangunan yang terdiri daripada Bahagian Pembangunan, Bahagian GENIUS, Bahagian Tajaan Pendidikan, Bahagian Pengurusan Aset, Bahagaian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa serta Bahagian Perolehan yang akan mempamerkan aktiviti projek masing-masing bagi menyokong bulan tranformasi ini. Program yang dianjurkan ini selaras dengan SDG 2030 yang berkaitan dengan menyediakan pendidikan berkualiti kepada para murid sedia ada dan masa depan.

Program ini diadakan bertujuan untuk mengadakan libat urus dengan pelanggan sektor Perancangan dan Pembangunan ke arah perkhidmatan berteraskan pelanggan, memberi pendedahan dan inspirasi dalam sesi perkongsian ilmu serta menggalakkan budaya inovasi serta kreativiti, perkongsian informasi terkini dalam pemantapan proses kerja sektor perancangan dan pembangunan serta mewujudkan jaringan antara KPM dengan rakan strategik. Tema program ini pula ialah “Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Selamat dan Kondusif”.

Dalam pada itu, kumpulan sasar bagi program ini ialah kontraktor, perunding, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan agensi pusat iaitu Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). Segmen program ini melibatkan pameran daripada bahagian yang berada di bawah Sektor Perancangan dan Pembangunan, agensi luar seperti FRIM serta Forum Infrastruktur yang melibatkan penyertaan daripada pelajar sekolah.

YBhg. Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan sedang menerangkan tentang pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur sekolah.

YBhg. Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan dalam ucapannya dalam program itu menyatakan bahawa KPM sentiasa berusaha dan bergiat aktif dalam memantau dan melakukan tindakan yang sewajarnya berkaitan dengan pembangunan dan penyelenggaraan bangunan dan kemudahan di sekolah.

KPM memberi fokus kepada dua perkara yang berkaitan dengan infrastruktur di sekolah, iaitu pembangunan dan penyelenggaraan. Setiap sen yang dibelanjakan harus mengoptimumkan pembangunan dan penyelenggaraan yang dilakukan supaya pada masa hadapan tidak timbul kos tinggi yang terpaksa dikeluarkan.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa KPM juga akan melakukan tindakan yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan murid di sekolah. Seterusnya, beliau juga menyentuh tentang proses pemutihan tanah sekolah di seluruh negara. Menurutnya, proses pemutihan tanah mengambil masa kerana terdapat halangan dan kekangan tertentu yang terpaksa dihadapi seperti proses birokrasi dan status tanah tersebut. Ujarnya lagi, KPM akan sentiasa berurusan dengan pihak tertentu seperti kerajaan negeri bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi.

YBhg. Datuk Dr. Radzi Jidin sedang melawat tapak pameran.
Antara tapak pameran berkaitan dengan pembinaan infrastruktur sekolah.

Seterusnya, dalam program tersebut, beliau juga menyerahkan Dewan Terbuka Berbumbung dan Surat Pelaksanaan Kemudahan di Sekolah serta melawat pameran yang diadakan. Turut hadir dalam program tersebut ialah YBhg. Ramzi Mansor, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Noor Azman Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) dan YBhg. Dr. Norisah Suhaili, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.