29 September 2022, 12:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fenomena pengemis umpama tiada kesudahannya. Fenomena ini seakan-akan suatu proses kitaran yang bermula daripada ibu bapa dan diambil alih atau diwarisi oleh generasi yang berikutnya. Jika dilihat dari sudut ilmu sosiologi, sekiranya sesebuah keluarga menjadikan aktiviti mengemis sebagai suatu pekerjaan, bermakna mereka telah menjadikannya sebagai satu budaya, apabila budaya itu merupakan sesuatu yang dipelajari dan diikuti oleh generasi seterusnya.

Sungguh pun bilangan pengemis yang terkini sukar diketahui disebabkan kekurangan data, namun statistik yang diperoleh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun 2020 menunjukkan bilangan pengemis yang direkodkan adalah sebanyak 2018 orang. Seanyak 1786 orang pengemis merupakan warganegara Malaysia dan 322 orang pengemis merupakan warga asing. Jumlah ini dilihat meningkat tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini kerana pada tahun 2016, bilangan pengemis yang direkodkan hanyalah sekitar 600 orang sahaja. Hal ini amat membimbangkan kerana tekanan ekonomi dan kewangan menjadikan seseorang itu lebih mudah terlibat dengan aktiviti jenayah seperti berjudi, merompak,menjual dadah, penipuan dan pinjaman wang haram seterusnya memberikan kesan negatif kepada ekonomi negara.

Malaysia juga akan dianggap sebagai negara yang tidak mampu memberikan kesejahteraan hidup kepada rakyatnya. Hal ini akan menjejaskan nama baik negara. Malah, masyarakat juga telah dikejutkan dengan penularan video kanak-kanak etnik Rohingya mengetuk tingkap sebuah kereta yang berhenti di lampu isyarat merah untuk mendapatkan wang. Apabila pemandu kenderaan tidak memberikan wang, kanak-kanak itu telah bertindak biadab dengan memberikan isyarat lucah kepada pemilik kenderaan tersebut. Perkara ini telah menimbulkan rasa resah dalam kalangan masyarakat kerana perkara ini bukan sahaja menjadi isu sosial, malah turut mencalarkan imej Malaysia di mata dunia.

Terdapat pelbagai definisi pengemis mengikut dimensi tertentu. Pengkaji sosial mentakrifkan pengemis sebagai golongan yang terpinggir dalam masyarakat, didiskriminasikan dan sering diberikan stigma negatif. Golongan ini mengemis kerana mereka tidak mendapat peluang yang adil dalam masyarakat, miskin dan kesempitan hidup. Golongan ini mempunyai tahap sosioekonomi yang sangat rendah, tidak mempunyai wang untuk meneruskan kehidupan sehingga menyebabkan mereka perlu meminta simpati orang ramai untuk memastikan perut yang lapar dapat terisi dan poket yang kosong dapat dipenuhi. Hal inilah yang menyebabkan pengemis sanggup melakukan apa-apa sahaja perkara untuk meneruskan kehidupan mereka. Manakala dari aspek ekonomi, pengemis merupakan golongan yang tidak mempunyai sumber ekonomi yang kukuh, tidak mempunyai gaji yang tetap, tidak mampu menyara kehidupan diri dan keluarga dan menjalankan aktiviti mengemis semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup. Dari sudut sosiobudaya pula, mengemis merupakan manifestasi individu dan gambaran keluarga yang berpecah belah. Pengemis menyamar dan menipu keadaan sebenar kehidupan mereka bagi mendapatkan simpati dan bantuan daripada orang ramai. Di situlah wujud aliran perhubungan daripada pengemis kepada masyarakat.

Mengemis merupakan satu daripada jalan pintas bagi orang miskin untuk memenuhi keperluan hidupnya. Pengemis cenderung mendakwa diri mereka miskin dengan mempergunakan situasi diri seperti umur yang lanjut, ibu tunggal, cacat dan lain-lain. Mereka bijak memanipulasi masyarakat seperti berpura-pura menjadi Orang Kurang Upaya (OKU) yang buta dengan memakai kaca mata hitam, bertongkat dan ada yang berpura-pura kudung dengan menggunakan kerusi roda untuk meraih simpati masyarakat. Bukan itu sahaja, ada dalam kalangan mereka yang menggunakan raut wajah yang sedih, sugul dan tidak bermaya untuk mengaburi mata masyarakat di persekitarannya. Mereka ini selalunya akan mengemis di kawasan lampu isyarat. Apabila kereta berhenti di kawasan lampu isyarat tersebut, mereka akan meraih simpati kepada pemandu kenderaan dengan cara mengetuk pintu kereta kenderaan.

Bukan itu sahaja, golongan ini bijak menggunakan strategi dengan berpakaian kotor dan koyak untuk mendapatkan belas kasihan daripada orang ramai. Penampilan mereka yang kotor menyebabkan anggota masyarakat berasa kasihan dan terdorong untuk memberikan wang. Malah, sikap masyarakat yang prihatin dan ambil peduli kepada golongan ini membuatkan mereka bijak mengeksploitasi orang lain. Selain itu, pengemis juga selalu berada dalam keadaan kesedihan dan melambai-lambaikan tangannya sehingga membuatkan orang ramai terbuka hati untuk memberikan sedekah. Ada yang membawa anak-anak kecil sehingga mendatangkan ihsan daripada orang ramai.

Pada umumnya, terdapat dua kategori pengemis, iaitu pertama, pengemis yang menunjukkan dirinya tidak berdaya untuk bekerja yang terdiri daripada keluarga miskin. Mereka benar-benar miskin dan terdesak untuk mendapatkan bantuan dan golongan ini tidak mempunyai kesedaran untuk berusaha mengatasi atau mengurangkan kemiskinan, iaitu dengan mencari pekerjaan. Walaupun terdapat sumber bantuan yang mencukupi untuk mengatasi masalah kemiskinan namun, mereka masih tetap memilih untuk mengemis daripada mencari pekerjaan lain.

Kategori kedua pula merujuk kepada pengemis yang terus meminta-minta walaupun telah mencapai tahap tertentu dalam sosioekonomi, iaitu mempunyai tahap kebajikan diri dan keluarga yang baik, namun tetap mengemis untuk mendapatkan wang tambahan. Pengemis kategori kedua mempunyai agenda tersembunyi dan menjadikan khalayak  sebagai sasaran untuk merealisasikan impian mereka bagi mencapai kesenangan hidup. Pengemis profesional ini mengemis bukan disebabkan oleh tekanan ekonomi dan desakan hidup tetapi kerana kerendahan moral dan integriti kemanusiaan. Golongan ini sanggup mengabaikan nilai-nilai sosial dan mengeksploitasi orang lain demi kepentingan dirinya sendiri.

Sikap masyarakat yang pemurah, suka memberi, dan bersifat ingin membantu pengemis secara tidak langsung menjadikan pengemis berasa kegiatan yang dilakukan merupakan tindakan yang wajar. Mereka mula mengambil kesempatan dengan menjadikan kegiatan ini sebagai mata pencarian utama. Para pengemis seolah-olah telah mendapat lesen sah dan bergerak secara bebas dalam ruang sosial, berusaha untuk mencari kawasan atau tempat yang dapat memaksimumkan keuntungan ekonomi mereka. Walaupun dari sudut agama menyatakan membantu orang susah dan bersedekah merupakan amalan yang mulia, namun kita sebagai anggota masyarakat haruslah lebih bijak membantu dan memberikan sedekah kepada orang yang tepat serta tempat-tempat yang lebih memerlukan. Sikap masyarakat yang terlalu baik membantu pengemis secara tidak langsung menjadikan mereka berasa mereka wajar dibantu. Malah, sikap masyarakat kita yang pemurah dan suka memberi, membuka ruang kepada golongan pengemis untuk mengambil kesempatan dengan menjadikan kegiatan ini sebagai mata pencarian utama mereka.

Keperluan pengemis dapat digambarkan dalam Teori Hirarki Keperluan Maslow. Menurut Maslow, setiap manusia mempunyai peringkat keperluan dalam kehidupan dan peringkat keperluan tersebut haruslah dipenuhi dari bawah sebelum ke peringkat seterusnya. Maslow melihat individu sebagai sesuatu yang berintegrasi dan akan terus bermotivasi untuk mencapai sesuatu matlamat. Matlamat merupakan satu keperluan yang perlu dipenuhi oleh semua manusia dan akan menentukan makna hidup yang sebenar. Keperluan pada peringkat bawah sekali merupakan keperluan yang mesti dipenuhi sebelum keperluan pada peringkat yang lebih tinggi diberi keutamaan. Kegagalan dalam memenuhi keperluan yang terletak pada bahagian bawah hierarki akan menimbulkan pelbagai masalah. Sekiranya keperluan ini tidak dapat dipenuhi, maka individu tersebut akan berasa gelisah, kecewa dan tidak tenteram sehingga menyebabkan gangguan emosi. Dengan mengambil contoh masalah pengemis, sudah tentu masalah kewangan menyebabkan ada dalam kalangan ahli keluarga pengemis yang tidak mendapat kepuasan pada tahap fisiologi dan hal ini akan memberikan impak yang negatif terhadap kehidupan mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, seseorang individu itu perlu mencapai tahap kesempurnaan fisiologi terlebih dahulu sebelum ke peringkat yang seterusnya.

Selain itu, keperluan keselamatan merupakan keperluan kedua yang perlu dipenuhi oleh pengemis untuk menjamin kehidupan yang lebih aman dan selesa. Namun begitu, ada dalam kalangan pengemis yang menjadi gelandangan kerana mereka tidak mempunyai tempat tinggal yang selamat. Masalah ini akan menyebabkan pengemis berasa terancam dan berada dalam ketakutan dan seterusnya memberikan kesan negatif terutamanya terhadap kanak-kanak yang sedang membesar kerana ibu bapa mereka tidak mampu menyediakan tempat berlindung. Keperluan ketiga ialah kesempurnaan sosial yang merujuk pada kasih sayang dan perhubungan yang mesra antara satu sama lain. Keperluan yang keempat dalam peringkat keperluan ialah penghargaan kendiri. Lazimnya setiap manusia ingin dihormati, disanjung dan sebagainya. Namun begitu, kebanyakan pengemis hidup tanpa rasa dihormati dan disanjung kerana ada dalam kalangan mereka yang dimarahi apabila meminta-minta. Manakala peringkat yang terakhir dalam hierarki keperluan Maslow ialah kehendak untuk kesempurnaan harga diri. Pada tahap ini, perkara ini agak sukar untuk dicapai oleh golongan pengemis kerana daripada peringkat awal lagi keperluan fisiologi mereka tidak mencukupi dan tidak dipenuhi. Oleh hal yang demikian, potensi golongan ini mengalami masalah tekanan adalah tinggi akibat ketidakcapaian keperluan pada peringkat yang lebih atas berdasarkan teori Hierarki Keperluan Maslow. Oleh itu, golongan ini perlu keluar daripada kepompong mengemis, untuk mengurangkan tekanan dalam diri mereka dan sekali gus menghasilkan impak positif terhadap kesempurnaan harga diri mereka.

Oleh sebab mengemis telah menjadi satu budaya, maka mentaliti pengemis lebih cenderung memilih jalan yang mudah untuk mendapatkan sumber kewangan. Hal ini menyebabkan kebanyakan  pengemis yang sihat memilih jalan mudah dengan menebalkan muka dan meminta-minta untuk mendapatkan sumber kewangan. Sekiranya aktiviti mengemis ini terus berlanjutan, perkara ini dikhuatiri akan memberikan impak negatif dalam komuniti kerana masyarakat berasa terganggu kerana sikap pengemis yang meminta-minta dengan cara memaksa. Oleh itu, bagi mengatasi isu sosial ini, pihak kerajaan dan pihak-pihak yang bertanggungjawab juga perlu mengambil tindakan tegas dalam memerangi aktiviti mengemis. Antara langkah yang wajar dijalankan untuk membantu golongan ini adalah dengan menyediakan peluang pekerjaan di kawasan tempat tinggal mereka bagi membolehkan pengemis mencari rezeki bagi menampung kehidupan.

Selain itu, pihak berkuasa perlu berusaha menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia dengan mendapatkan maklumat daripada pengemis yang terlibat dengan jenayah terancang dalam usaha untuk melumpuhkan organisasi tersebut serta mengenakan hukuman berat terhadap ibu dan bapa yang menjadikan anak mereka sebagai pengemis. Pengemis yang mampu bekerja perlu diberikan galakan dan mereka haruslah bersikap produktif. Model pekerjaan alternatif harus dibangunkan supaya golongan pengemis yang mampu bekerja boleh bekerja di sekitar tempat tinggal mereka dan diberikan latihan vokasional yang bersesuaian. Manakala, pengemis bagi kategori kedua perlu dicegah menerusi kedua-dua kaedah, iaitu seksyen jenayah dan program insentif perkhidmatan sosial. Bagi membolehkan peruntukan perundangan yang dikemukakan dalam memerangi pengemis dapat dilaksanakan dengan jayanya, semua peraturan mesti diselaraskan dan bersifat holistik serta kandungan sosial harus ditambah dalam peruntukan undang-undang sedia ada.

Kesimpulannya, dapatlah ditegaskan sekali lagi bahawa pihak berkuasa dan institusi-institusi yang berkaitan perlu memainkan peranan yang sangat penting terutamanya dalam melaksanakan program perlindungan sosial yang berkesan. Setiap langkah dan keputusan dapat dilaksanakan dalam memerangi aktiviti mengemis ini hendaklah merangkumi bantuan dan khidmat sosial seperti menghasilkan dasar pekerjaan aktif dalam skop dasar perlindungan sosial, sekali gus dapat membantu mengurangkan bilangan pengemis di Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.