Oleh RYAN SOFEA
30 September 2022, 19:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkhidmatan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) kini muncul sebagai penyelesaian pembayaran dan pembiayaan yang menarik bagi kebanyakan orang. Platform dalam talian BNPL ini semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna, khususnya orang muda dengan aplikasi mudah alih sedia untuk dimuat turun. Pengguna boleh mendapatkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan tanpa membuat pembayaran dahulu dengan prosedur yang mudah. Mereka hanya perlukan kad pengenalan dan pengesahan wajah pembeli bagi tujuan pendaftaran dan 10 minit kemudian seseorang sudah boleh berbelanja. Secara zahirnya, BNPL ini memudahkan pengguna kerana hanya beberapa minit diperlukan untuk mendapat kelulusan dan semuanya dilakukan secara digital.

Pengguna tidak perlu bersemuka dengan sesiapa, tiada penyata gaji perlu diberikan dan tidak membabitkan penjamin. BNPL ialah pilihan pembiayaan jangka pendek yang membolehkan pelanggan membeli produk dan bayar kemudian dengan kadar faedah sifar atau rendah. Jadual pembayaran balik bergantung pada syarat yang ditawarkan oleh penyedia BNPL, tetapi biasanya  termasuk pembayaran penuh pada penghujung bulan, bayar sebanyak tiga kali (pembayaran sama rata untuk tempoh tiga bulan) atau bayar sebanyak empat kali (bayaran setiap dua minggu).

BNPL meningkat dengan ketara sejak bermulanya pandemik COVID-19 berikutan sekatan pergerakan dan interaksi sosial yang mendorong pengguna untuk lebih memanfaatkan platform e-dagang. Menurut satu unjuran Frost & Sullivan, jumlah nilai urus niaga BNPL di rantau ini akan meningkat kepada RM124.8 bilion pada 2026 berbanding dengan RM36.6 bilion pada 2022 dengan jumlah pengguna aktif meningkat kepada 127 juta berbanding dengan 37 juta sebelum itu. BNPL di Malaysia turut dijangka berkembang 109.5 peratus pada setiap tahun dan mampu mencapai sehingga A.S.$601.2 juta (RM2.6 bilion) menjelang akhir tahun ini. Kajian menunjukkan urus niaga BNPL sudah mengalihkan antara A.S.$8 bilion (RM36 bilion) hingga AS$10 bilion (RM44.5 bilion) perolehan tahunan dari bank. Hal ini bermakna, sama ada di pasaran antarabangsa atau Malaysia, BNPL terus mendapat tempat dalam kalangan pengguna khususnya golongan muda. Malah, populariti BNPL bakal mengatasi kad kredit. Kenyataan ini bukan omong kosong kerana menurut laporan media, nilai transaksi pasaran BNPL membabitkan 10 orang penyedia BNPL bukan bank di Malaysia, melonjak kepada RM1.49 bilion pada tahun lalu berbanding dengan hanya RM55 juta pada 2020, sekali gus mencerminkan peningkatan populariti platform terbabit dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Demografi lebih muda di rantau ini memberikan dorongan terhadap potensi pertumbuhan yang lebih luas untuk urus niaga BNPL berikutan kumpulan ini aktif membeli-belah dalam talian serta pengguna utama perkhidmatan ini. Penggunaan perkhidmatan BNPL dilihat semakin berkembang merentas sektor. Daripada fesyen kepada elektronik, perjalanan, dan kini insurans, permintaan terus meningkat dalam kalangan pengguna. Prospek ini sekali gus menawarkan peluang kepada penyedia BNPL untuk menawarkan perkhidmatan. Frost & Sullivan turut menjangkakan lebih banyak firma global akan mengembangkan jejak mereka sebagai penyedia BNPL di Malaysia memandangkan negara ini menyaksikan pasaran paling menarik di Asia Tenggara. Pada Oktober 2021, Bjak, platform insurans di Malaysia, mengumumkan bahawa firma itu menawarkan pilihan pembayaran BNPL yang mempunyai 15 jenama insurans pada platformnya mengumumkan bahawa kaedah pembayaran BNPL akan membolehkan pemilik kereta dan motosikal membahagikan pembayaran pembaharuan insurans mereka kepada tiga pembayaran sama rata, tanpa faedah. Bagi melancarkan kaedah pembayaran BNPL untuk pelanggannya di Malaysia, firma itu sudah bekerjasama dengan Atome. Pada Disember 2021, platform BNPL yang berpangkalan di Australia, Latitude, mengumumkan pengembangan perkhidmatannya di Malaysia.

Walau bagaimanapun, bagai ada udang di sebalik batu, BNPL sebenarnya berisiko menjerat pengguna ke lubuk hutang, sekali gus menyebabkan mereka terdedah kepada muflis. Tarikan utama BNPL ialah seseorang boleh berbelanja tanpa had dan tidak menjejaskan skor kredit sekalipun individu berkenaan gagal melunaskan pembayaran. Malah, sekiranya seseorang itu gagal menjelaskan hutang barangan di satu penyedia BNPL, mereka boleh berhutang dengan penyedia BNPL lain kerana tidak ada rekod. Situasi ini menyebabkan mereka terjebak dalam kancah hutang yang banyak. Pengendali BNPL juga semakin bijak dengan menawarkan pelbagai diskaun dan promosi untuk menggoda pengguna. Jika beli secara tunai, tiada sebarang diskaun namun, jika menggunakan kaedah pembayaran BNPL, pengguna akan peroleh ‘penjimatan’ sehingga RM30 contohnya. Keadaan ini akan ‘mengasyikkan’ pengguna sehingga mereka begitu berani menambah komitmen hutang. Golongan peniaga nampak urus niaga BNPL sebagai satu daripada cara untuk memudahkan orang ramai membeli kerana bukan semua pembeli memiliki kad kredit. Oleh sebab itu, peniaga mula mempraktikkan BNPL ini, lantas menyebabkan pembeli sekarang sudah ada pilihan untuk membeli dengan berhutang menggunakan BNPL, walaupun tidak mempunyai kad kredit. Tinjauan mendapati kebanyakan penyedia BNPL mempromosikan transaksi mereka sebagai tanpa faedah atau zero interest. Adakah hal ini benar-benar berlaku?

Pada hakikatnya, hasil pengamatan mendapati lapan daripada 10 orang penyedia perkhidmatan BNPL ‘menyelitkan’ faedah tersembunyi yang perlu dibayar, sekiranya ‘si penghutang’ terlambat membuat pembayaran. Hal ini diakui oleh pakar kewangan Dr. Adam Zubir menerusi akaun YouTube beliau kerana menurut beliau, BNPL merupakan konsep perniagaan yang turut membuat keuntungan melalui bayaran pemprosesan dan bayaran lewat. Justeru, BNPL boleh menjerumuskan seseorang ke dalam kelompok muflis. Potensi ke arah terjerumus dalam kelompok muflis timbul jika seseorang gagal memantau kedudukan kewangannya dan tidak mengawal perbelanjaannya, sehingga mereka tidak mampu atau gagal menjelaskan pinjaman peribadi, pinjaman kereta, rumah, kad kredit disebabkan komitmen hutang bertambah. Malah, kebanyakan barangan yang dibeli melalui BNPL dilihat sebagai kehendak, bukannya keperluan. Pada Jun lalu, Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob meluahkan kebimbangannya tentang kadar peningkatan kes muflis membabitkan belia. Data Jabatan Insolvensi menunjukkan golongan itu merangkumi lebih 60 peratus atau kira-kira 27 000 kes bankrap yang direkodkan bagi tempoh 2018 hingga Mei lalu dengan 19 334 kes berpunca daripada pinjaman peribadi.

BNPL boleh memburukkan lagi masalah keberhutangan isi rumah, apabila kadar hutang isi rumah berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih tinggi, iaitu 89 peratus pada akhir Disember tahun lalu,iaitu tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di Asia selepas Korea Selatan. Kadar hutang isi rumah di Malaysia meningkat daripada RM1.27 trilion kepada RM1.34 trilion dan secara tidak langsung kadar hutang isi rumah di negara ini lebih tinggi berbanding dengan hutang kerajaan persekutuan. Inilah kebimbangan terhadap hutang isi rumah. BNPL sudah pasti akan memperlihatkan tekanan tertentu ke atas hutang isi rumah kerana BNPL tidak membekalkan pengawal selia maklumat kredit pelanggan dan kaedah pembayaran BNPL dipasarkan sebagai lebih baik berbanding kad kredit. Mengambil contoh statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, pada 2021, lebih 20 kes muflis difailkan oleh individu di bawah umur 25 tahun, manakala 1060 kes direkodkan bagi kumpulan berumur 25 hingga 34 tahun. Walau bagaimanapun, kesan bersih BNPL terhadap hutang isi rumah masih tidak diketahui berdasarkan fakta kajian. Namun begitu, dari sudut pandangan lain, BNPL boleh mengurangkan kebergantungan isi rumah kepada kad kredit mahal yang menjadi masalah besar kepada pengguna muda kerana hal tersebut merupakan pilihan yang lebih baik daripada menggunakan kad kredit atau meminjam daripada peminjam haram.

Disebabkan beberapa kebimbangan di atas, maka timbul cadangan untuk memperketat perkhidmatan BNPL. Antara cadangan aspek yang perlu diperketat dalam BNPL termasuklah jumlah (had) kredit yang boleh diluluskan kepada pelanggan, kadar faedah ditawarkan, jenis harga barangan yang dibenarkan untuk memanfaatkan kemudahan BNPL serta tempoh pembayaran bagi perkhidmatan berkenaan. Pengaturan BNPL sedia ada dilihat tidak benar-benar menumpukan kepada penarafan kredit pengguna memandangkan kelulusan yang diberikan hanya berdasarkan maklumat asas, tanpa mengambil kira sama ada pengguna berupaya untuk membuat bayaran balik atau sebaliknya. Oleh itu, usaha memperketat undang-undang BNPL perlu dilakukan dan dikawal sewajarnya kerana bukan semua rakyat mampu membayar semula jika kadar faedah serta penalti yang dikenakan terlalu tinggi. Hal ini mampu menjadikan perkhidmatan ini penting untuk dikawal selia demi kebaikan pengguna, pemberi pinjaman serta mengelakkan daripada sebarang potensi risiko kepada sistem kewangan. Dalam hal ini, keperluan untuk mewujudkan undang-undang untuk melindungi pemiutang dan pemberi pinjaman juga perlu difikirkan oleh pihak berkuasa. Penyedia tidak berdaftar atau tidak dikawal mesti dihapuskan dalam mana-mana rangka kerja BNPL baharu.

Kerajaan dilihat cakna tentang implikasi BNPL kepada pengguna dan Akta Kredit Pengguna(CCA) sedang digubal yang dijangka dibentangkan kepada Parlimen pada suku kedua tahun 2023. CCA akan berfungsi sebagai pendekatan awal selepas memantau trend, risiko dan kesan berpotensi ke atas kedudukan kewangan pengguna. CCA akan ditadbir oleh Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), sebuah pihak berkuasa kompeten bebas yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan (MOF).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.