Oleh Zalila Isa
20 Oktober 2022, 19:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Frankfurt – Pesta Buku Frankfurt ke-74, pesta terbesar seumpamanya di dunia yang melibatkan lebih 2000 acara dan 4000 peserta pameran dari 95 negara dan wilayah bermula pada 19 hingga 23 Oktober 2022.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Encik Mohd Khair Ngadiron. Wakil Malaysia yang lain adalah dari institusi kerajaan dan pelbagai penerbit buku termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka dan Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur.

Pesta buku ini turut menawarkan beberapa aktiviti dan hasil seni pelajar seperti Sekolah Seni Malaysia yang turut sama hadir di sini. Antaranya termasuklah lima buah buku berilustrasi yang ditulis dan dilukis sendiri oleh pelajar dalam bidang seni visual.

Karya berbahasa Inggeris yang dihasilkan oleh pelajar Malaysia dan mewarnai pavilion Malaysia di sini yang membawa tema budaya Malaysia ialah My Hero! The Time Traveler, Reminiscing the Old Days, Valentine is a Tenacious Girl, My Teacher dan My Father’s Culture.

Karya Pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) ke Pesta Buku Frankfurt 2022.

Menurut Nur Balqis Faqihah, iaitu penulis karya berbentuk puisi, beliau pada mulanya tidak yakin untuk menulis tetapi beliau teruja untuk berkarya kerana dorongan daripada guru dari aspek lukisan dan penulisan.

Ainur Safeeya Uzma dan Batresya Nortajuddin pula, mereka mengambil peluang menulis untuk menonjolkan kebudayaan moden dan tradisional antara generasi muda dengan tua.

Bagi Sarah Hanina Nadhrah Ahmad Patria pula, menulis bukanlah matlamat utamanya. Namun begitu, dorongan daripada kawan-kawan membuatkan beliau meneruskan usahanya. Menurut Sarah Hanim, karyanya bercerita tentang pembinaan jati diri kanak-kanak melalui pengalaman watak yang hampir lemas ketika mahu menyelamatkan kucing.

Alisha Nabeeha yang memang minat menulis mengambil peluang untuk mengemas kini karya lamanya sehingga berhasil menyiapkan sebuah karya yang memberikan semangat kepada pelajar yang gagal dalam pelajaran.

Pelajar Sekolah Seni Malaysia bersama-sama Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Tuan Haji Mohd Khair Ngadiron, dan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Tuan Haji Razali Che Mat.

Pesta Buku Frankfurt dirasmikan oleh pasangan diraja Sepanyol, Raja Felipe VI dan Ratu Letizia serta Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier pada petang Selasa waktu tempatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.