15 November 2022, 21:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima kunjungan hormat daripada Kumpulan Industri Kreatif dari Jerman pada petang tadi. Kumpulan Industri Kreatif tersebut diketuai oleh Puan Claudia Kaiser yang merupakan Naib Presiden Frankfurt Book Fair, manakala DBP pula diketuai oleh Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP mewakili Ketua Pengarah DBP.

Kunjungan tersebut bertujuan untuk meneroka potensi dan kerjasama dua hala dalam bidang penerbitan buku selain membincangkan beberapa perkara dalam usaha merancakkan lagi dunia perbukuan. Delegasi tersebut juga diwakili oleh beberapa individu yang mempunyai pelbagai latar belakang dan kemahiran dalam bidang tertentu seperti penerbitan buku digital, produksi filem dan animasi, serta penerbitan buku kanak-kanak dan pendidikan.

Antara ahli Kumpulan Industri Kreatif tersebut yang hadir termasuklah Puan Anja von Kampen (Ketua Pegawai Eksekutif Vision X Mediengesellschaft), Puan Britta Blottner (Penerbit Blottner Verlag), Encik Julian Holgert (Pengasas TimeLeap VR), Encik Sven Diedrich (Pengarah Bahagian Hak Cipta Negara Asing Piper Verlag), Yasmin C. Rams (Penerbit Filem Parennial Lens) dan Encik Hasri Hasan (Pengasas Bookonomics Asia).

Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat sedang membincangkan kerjasama antara DBP dengan Kumpulan Industri Kreatif dari Jerman.

Dalam ucapan alu-aluan pertemuan tersebut, Tuan Haji Razali Che Mat merakamkan penghargaan kepada delegasi dari Jerman tersebut kerana membuka ruang untuk meneroka peluang kerjasama dalam dunia perbukuan dengan DBP.

Antara perkara menarik yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut termasuklah kaedah penerbitan digital melibatkan kategori buku kanak-kanak selain potensi untuk menterjemahkan buku kanak-kanak yang berkualiti ke dalam bentuk animasi yang menarik dan berupaya menumbuhkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Menurut Puan Anja von Kampen, tema besar dalam kehidupan seperti kegembiraan, kehilangan dan persahabatan merupakan unsur menarik yang boleh dijadikan kandungan bahan pendidikan bagi kanak-kanak.

Antara ahli Kumpulan Industri Kreatif Jerman yang berkunjung ke DBP.

Selain itu, pertemuan tersebut juga menyentuh hal berkaitan dengan buku bukan fiksyen. Walaupun kebanyakan pembaca lebih tertarik kepada buku fiksyen seperti novel, namun penerbitan buku bukan fiksyen juga merupakan perkara yang boleh menyemarakkan industri perbukuan. Puan Britta Blottner menyatakan bahawa bahan bacaan bukan fiksyen yang berkaitan dengan penyakit dementia menjadi tarikan di Jerman, selain buku yang bertemakan motivasi.

Kumpulan Industri Kreatif Jerman sedang mendengar penerangan tentang gerak kerja penerbitan DBP.

Selanjutnya, perbincangan juga tertumpu kepada pelesenan karya dan hal ehwal penterjemahan karya sastera yang diterbitkan oleh DBP. Antara karya yang dicadangkan untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Jerman termasuklah karya Sasterawan Negara dan karya yang mempunyai nilai universal yang berpotensi untuk diangkat ke persada antarabangsa.

Menurut Encik Hasri Hasan, iaitu Pengasas Bookonomics Asia yang juga mantan Pengurus Kanan Perbadanan Kota Buku, kunjungan Kumpulan Industri Kreatif dari Jerman tersebut memberikan peluang kepada DBP untuk bekerjasama dengan pemain industri perbukuan pada peringkat antarabangsa dan pada masa yang sama mengentengahkan karya DBP ke peringkat global.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera serta Ketua Editor dan Ketua Bahagian di Jabatan Penerbitan.

Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP (kiri) diiringi oleh Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (kanan) menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada Puan Claudia Kaiser, Naib Presiden Frankfurt Book Fair (tengah).
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.