Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBera – Rata-rata pengundi di Parlimen Bera pada hari ini mengatakan bahawa pemilihan pemimpin adalah berdasarkan pucuk kepimpinan yang mengangkat keharmonian kaum, kemakmuran ekonomi, kestabilan politik, serta kesucian agama tanpa mengetepikan agama lain, sebagai asas dalam mentadbir negara.
Menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa sebanyak 77 669 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia bagi Parlimen Bera.
Dalam tinjauan Dewan Masyarakat yang menemu bual pengundi perantau kawasan Parlimen Bera, Syaifullah, 32 tahun berkata, biarpun terpaksa menempuh lebih empat jam sampai ke kampung halaman, namun itu tidak menghalang beliau untuk pulang memilih pemimpin yang amanah, bersih dan bertanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat Bera.
Pada PRU-15 kali ini, Syera, 28 tahun berharap agar pemimpin yang bakal memenangi kerusi di Parlimen Bera ini ialah seorang yang mampu dan tegas dalam memastikan keharmonian dan kestabilan negara.
Saya turut berharap agar amalan rasuah dan sentimen perkauman dapat ditangani. Kita sebagai rakyat haruslah hidup dalam suasana aman dan damai.
Zakaria, 18 tahun yang juga merupakan pengundi kali pertama mengakui berasa gementar, namun tetap teruja untuk membuang undi di Parlimen Bera.
Katanya,
PRU-15 amat berbeza berbanding dengan PRU terdahulu kerana remaja kini diberi peranan sebagai tonggak untuk bersama-sama menentukan arah dan corak pentadbiran negara, bukan lagi sebagai pemerhati saja.
Suet Yee, 44 tahun, penduduk kampung Bera itu turut menyokong pendapat tersebut dan mengatakan bahawa golongan remaja kini merupakan antara komuniti yang penting untuk memastikan hala tuju negara yang telus, dinamik dan harmoni, selain memilih calon yang berwibawa dan parti yang stabil.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Lee Kuok Tiung ketika diwawancara berkaitan dengan pengundi muda, beliau berkata:
Kelompok pengundi muda ini hakikatnya mempunyai aspirasi dan pemikiran tersendiri.
Namun begitu, ada sesetengah daripadanya lebih cenderung mengikuti jalur politik keluarga dan ibu bapa, serta pengaruh rakan sebaya disebabkan oleh kurang pendedahan terhadap hal berkaitan dengan pentadbiran politik negara, bahkan untuk mengenali ahli politik itu sendiri.
Mengulas lebih lanjut, Dr. Lee Kuok Tiong berpendapat bahawa biarpun baru pertama kali terbabit dalam menentukan wakil rakyat kawasan dalam proses demokrasi negara, pengundi muda termasuklah pengundi biasa meletakkan harapan tinggi terhadap Ahli Parlimen Bera yang berjaya dalam PRU-15 pada kali ini.