Oleh Syaza Wardina
20 November 2022, 18:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Istana Negara telah menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), yang berlangsung semalam (19 November 2022), daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada pukul 1.15 tengah hari, hari ini.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan bahawa tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu menerusi dokumen yang dikemukakan oleh Pengerusi SPR, YBhg. Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

“Sehubungan dengan itu, menjunjung titah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Istana Negara telah meminta kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat YBhg. Tan Sri Azhar Azizan Harun memohon kepada ketua parti politik dan ketua gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti politik yang telah dipersetujui antara parti politik atau gabungan parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca-PRU-15,” jelas Dato’ Seri Ahmad Fadil.

Ketua parti politik dan ketua gabungan parti politik tersebut akan diminta oleh YBhg. Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai gabungan parti politik yang telah dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara sebelum pukul 2.00 petang, pada hari Isnin, 21 November 2022.

Tambah Dato’ Seri Ahmad Fadil, “Selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, dimaklumkan juga bahawa titah perkenan dan keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang telah dijelaskan adalah muktamad.”

Dato’ Seri Ahmad Fadil turut menyampaikan amanat Seri Paduka Baginda YDPA yang menasihati rakyat dan ketua parti politik agar akur dan menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU-15 dengan tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara.

Dalam kenyataan tersebut juga, Dato’ Seri Ahmad Fadil memaklumkan, “Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.”

Negara ini umpama harta pusaka dan para pemimpin ialah pemegang amanahnya.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama-sama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan dan kemakmuran negara.”

“Baginda seterusnya turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.


Sumber foto: Facebook rasmi Istana Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.