Oleh Suyuthi Yusuf
13 Disember 2022, 12:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda simbolik memulakan tugasan rasminya di KPM.

Putrajaya – Penantian siapakah yang akan menjawat jawatan Timbalan Menteri Pendidikan akhirnya terjawab apabila Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan timbalan menteri Kerajaan Perpaduan pimpinannya pada 9 Disember lepas. YB Lim Hui Ying, 59 tahun, yang merupakan Ahli Parlimen Tanjong, Pulau Pinang diberi kepercayaan untuk membantu Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam menjayakan misi meningkatkan kualiti dan mutu pendidikan negara.

Beliau memulakan tugas rasminya pada hari ini di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Berbaju kurung moden berwarna kuning air, kehadiran beliau disambut oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPM, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), YBhg. Dato’ Haji Pkharrudin Haji Ghazali di lobi kementerian.

Sebelum memulakan tugasan rasminya, beliau berkesempatan mengimbas kad perakam waktu kira-kira pada pukul 8.30 pagi tadi sebagai simbolik memulakan tugas rasmi beliau di KPM.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying bergambar kenang-kenangan bersama-sama dengan pengurusan tertinggi KPM.

Dalam sidang media ringkas, beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikan kepercayaan kepada beliau untuk memegang jawatan tersebut. Selain itu, beliau turut menyatakan komitmen untuk bersama-sama dengan Menteri Pendidikan dan warga KPM dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik serta meningkatkan taraf pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying sedang beramah mesra dengan pengurusan tertinggi KPM.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), YB Lim Hui Ying merupakan Setiausaha DAP Pulau Pinang dan bertanding di Parlimen Tanjong. Beliau berjaya menewaskan dua calon lain dengan meraih 31 968 undi dan majoriti sebanyak 28 754 undi. Sebelumnya, beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 2018.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.