Oleh Azizi Ahmad
30 Disember 2022, 20:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pele, superstar global pertama bola sepak telah meninggal dunia pada usia 82 tahun. Bagi ramai peminatnya, pemain Brazil itu sentiasa dikenang sebagai pemain terbaik yang pernah berada dalam pasukan negara tersebut.

Pele merupakan simbol bola sepak yang bermain dengan penuh semangat. Dia membantu membentuk imej permainan yang sehingga kini bukan sahaja mengagumkan para peminatnya, malah sering mendapat perhatian daripada pengulas sukan dunia terutamanya dalam arena bolak sepak global.

Pele bukan sahaja diiktiraf sebagai pemain yang hebat dalam bidang yang diceburinya, malah turut dianggap sebagai ikon budaya di negaranya. Sesungguhnya, dia kekal sebagai wajah murni dalam bola sepak yang wujud lama sebelum isu “wang besar” dan geopolitik global menyusup ke dalam permainan.

Bukti yang meletakkan beliau sebagai seorang daripada legenda bola sepak dunia ialah mantan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama merupakan antara individu yang telah memberikan penghormatan terakhir kepadanya semasa hari kematian, termasuklah beberapa pemimpin ternama lain dan Presiden Brazil sendiri.

Hari-hari Awal di Santos

Pele dilahirkan sebagai Edson Arantes do Nascimento di Sao Paolo, Brazil pada tahun 1940. Tahun-tahun awalnya adalah sama seperti kebanyakan pemain bola sepak yang mendahuluinya kemudian diikuti oleh pemain lain yang mengikuti jejak langkahnya. Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin, dia kemudiannya diperkenalkan kepada permainan itu oleh seorang daripada ahli keluarganya sehingga dirinya menjadi “taasub” dengan sukan yang mengajarnya tentang kehidupan dan memberinya peluang keemasan dalam dirinya itu.

Pele buat pertama kali menyertai sukan bola sepak menerusi pasukan belia pada tahun 1953 apabila dia menandatangani kontrak untuk sebuah kelab tempatan, iaitu Bauru yang menjadi kelab profesional pertamanya. Santos dianggap sebagai tempat yang mendorong Pele ke arah menjadi pemain bertaraf bintang. Setelah berpindah ke sana pada tahun 1956, dia menyertai sebanyak 636 perlawanan dan menjaringkan sebanyak 618 gol dalam perlawanan yang disertai olehnya. Pele juga merupakan pemain yang setia di bawah satu kelab pada ketika itu.

Jauh sebelum kejayaan bintang zaman moden seperti Cristiano Ronaldo atau Erling Haaland, Pele telah mencipta jaringan gol yang menandakan dia berbeza daripada pemain lain di negaranya kerana mempamerkan tahap kemahiran yang berbeza walaupun pada hari ini terdapat pengulas bola sepak dunia yang meletakkan gelaran pemain Terhebat Sepanjang Zaman (Greatest of All Time) kepada Lionel Messi dan Diego Maradona. Namun begitu, Pele tetap berada dalam kelasnya yang tersendiri sebelum itu.

Dalam tempoh setahun menandatangani kontrak untuk Santos, Pele membuat penampilan sulungnya untuk Brazil, kurang tiga bulan daripada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-17. Dia menjaringkan gol dalam perlawanan itu ketika menentang pasukan Argentina, dan 65 tahun kemudian dia kekal sebagai penjaring termuda buat pasukan kebangsaan Brazil.

Setahun kemudian, pada tahun 1958, pemain muda ini membantu pasukan kebangsaannya memenangi Piala Dunia di Sweden. Kemudian sekali lagi pada tahun 1962 Pele melonjakkan pasukannya di Piala Dunia di Chile, serta sekali lagi menyumbang kemenangan pada kejohanan Piala Dunia 1970 di Mexico.

Secara keseluruhannya, Pele bermain sebanyak 92 kali untuk Brazil dengan jaringan gol keseluruhan sebanyak 77 gol. Sebagai perbandingan, Harry Kane dari England telah menjaringkan sebanyak 53 gol dalam 80 perlawanan. Sebagai tambahan kepada pencapaian pasukan kebangsaannya, iaitu untuk kelabnya Pele memenangi sebanyak enam kejuaraan dalam Liga Brazil dan dua kejuaraan di Amerika Selatan.

Semasa di Amerika Syarikat

Pada tahun 1975, dia keluar daripada separuh persaraan untuk bermain di New York Cosmos dalam Liga Bola Sepak Amerika Utara. Pada ketika itu, Pele berusia pertengahan 30-an tetapi masih berjaya menjaringkan sebanyak 37 gol dalam 64 perlawanan. Ada yang percaya bahawa semasa tempoh singkatnya bermain di Amerika Syarikat, negara Uncle Sam itu telah memulakan minat negara tersebut dalam sukan bola sepak.

Selepas persaraannya, Pele terus dihormati, dipuja oleh peminatnya dan kekal berpengaruh dalam dunia sukan bola sepak global. Dia turut terpilih sebagai penerima anugerah FIFA pada abad ke-20, iaitu anugerah yang dikongsi bersama-sama Maradona. Pada tahun 2014, dia telah diberikan Ballon d’Or Prix d’Honneur FIFA yang pertama, malah Nelson Mandela pernah merakamkan penghargaannya terhadap pemain Brazil itu apabila menyampaikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Laureus kepadanya pada tahun 2000.

Semasa hayatnya, bakat Pele tidak pernah diragui oleh peminat dan pemerhati sukan bola sepak. Namun begitu, secara kebetulan semasa dia terlibat dalam arena bola sepak, muncul sebuah konflik global, ketika dunia memerlukan simbol harapan daripada wira sukan.

Sesuatu yang tidak dapat dielakkan, semasa hidupnya, Pele turut menghadapi masalah termasuklah apabila aktiviti komersialnya kadangkala terperangkap dalam ciptaan kontroversi. Hal ini terjadi apabila pada satu peringkat dia dilabelkan sebagai watak antagonis berhaluan kiri menentang kerajaan Brazil, kemudiannya digambarkan sebagai terlalu konservatif dalam memberikan pandangannya tentang pemerintahan diktator Brazil. Pele juga mempunyai banyak anak dan seorang daripada mereka, iaitu anak lelakinya, Edinho, telah dimasukkan ke penjara kerana terlibat dalam pengubahan wang haram hasil daripada urus niaga dadah.

Walau bagaimanapun, ingatan peminat bola sepak dunia terhadapnya tetap kekal sebagai pemain bola sepak yang turut dikagumi oleh pemain professional yang lain. Pele bukan sahaja mahir dalam bidangnya, malah turut membawa kegembiraan yang besar kepada ramai orang di seluruh dunia dalam tempoh beberapa dekad termasuklah kepada golongan yang tidak mengikuti perkembangannya secara dekat. Untuk kesekian kalinya, dia juga dianggap sebagai jelmaan Messi, Ronaldo dan Mbappé yang digabungkan menjadi satu- itulah Pele.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.