Diterbitkan pada 12 Januari 2023, 17:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Susulan daripada kejadian jurulatih bola tampar yang menampar dua orang pemainnya semasa Kejohanan Bola Tampar Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang tular dalam media sosial baru-baru ini, sidang media khas telah diadakan bersama-sama antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sebelum itu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) telah membatalkan lesen jurulatih tersebut melalui proses yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Perundangan dan Disiplinnya. Jurulatih tersebut yang juga merupakan seorang guru tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan tersebut termasuklah menjadi jurulatih untuk murid sekolah.

Seiring dengan tindakan MAVA tersebut, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam sidang media khas tersebut telah menegaskan bahawa kedua-dua kementerian itu tidak akan sesekali berkompromi dalam usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan atlet, khususnya yang melibatkan mereka di peringkat umur muda. Kejadian seumpama itu boleh memudaratkan pembangunan bakat masa hadapan negara.

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh sedang menjelaskan tentang peranan dan tindakan yang diambil oleh KBS berkaitan isu tersebut.

YB Hannah Yeoh menyatakan bahawa insiden itu telah membuka mata bahawa terdapat keperluan untuk mewajibkan semua jurulatih kepada murid sekolah untuk menjadi sebahagian daripada Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK) dan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK). Ujarnya lagi,

KBS sendiri telah mengarahkan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) dan Institut Sukan Negara memastikan perlaksanaan peraturan yang mewajibkan setiap jurulatih memperbaharui lesen kejurulatihan yang diperolehi setiap dua tahun sekali diperketatkan lagi bagi memastikan jurulatih sukan negara sentiasa dipantau perkembangan dan keaktifan karier kejurulatihan mereka.

Penguatkuasaan peraturan tersebut juga membolehkan pihak AKK dan pemegang taruh mengemas kini data selain meningkatkan kemahiran kejurulatihan mereka seiring dengan teknologi terkini.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek sedang membicarakan tentang keprihatinan KPM terhadap aspek keselamatan dan kebajikan murid sekolah susulan daripada kejadian tersebut.

Selain itu, siasatan oleh KPM berkaitan dengan kejadian tersebut juga telah selesai dijalankan. Menurut YB Fadhlina Sidek, siasatan telah dibuat secara menyeluruh melibatkan semua pihak yang berkaitan, termasuklah jurulatih, murid, rakan sepasukan, guru, pengurus pasukan, saksi kejadian serta ibu bapa pemain yang terlibat. Jelasnya lagi,

KPM juga telah meneliti secara terperinci hasil laporan siasatan daripada pelbagai sudut, khususnya yang melibatkan etika serta imej profesion perguruan. Guru yang juga merupakan penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan 4(2)(d), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa KPM amat prihatin dan cakna terhadap aspek keselamatan dan kebajikan murid semasa di sekolah mahu pun ketika mengikuti aktiviti kokurikulum di luar.

Turut hadir dalam sidang media khas tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali, dan Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia, Encik Hean Boon Yeow.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi