Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), pelbagai pihak mula bergiat aktif dalam merealisasikan agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH) di Malaysia. Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kerajaan berjaya melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat dengan memfokuskan kepada pembangunan dan penambahbaikan pendidikan secara inovatif. Hasilnya, pemahaman masyarakat terhadap pendidikan terkini daripada konteks yang pelbagai dan idea yang menyeluruh berkaitan dengan pembelajaran sepanjang hayat sudah mula menampakkan hasil.
Di seluruh negara, pelaksanaan aktiviti pembelajaran sepanjang hayat telah berlaku dalam skala besar dengan aspirasi melahirkan modal insan berkualiti dengan minda kelas pertama. Dasawarsa ini juga memperlihatkan bahawa pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia tidak lagi hanya menumpukan kepada kemajuan fizikal institusi pendidikan semata-mata, tetapi lebih mengutamakan perkembangan holistik individu pelajar dan impak akhir pembelajarannya.
Secara umumnya, pembelajaran sepanjang hayat boleh dijelaskan sebagai proses apabila seseorang individu, pengajar, universiti, serta komuniti komited dalam usaha memberikan insentif dan galakan kepada pelajar dalam meningkatkan pengetahuan tambahan dan kemahiran sepanjang hayat mereka. Hal ini termasuklah proses pembelajaran sepanjang hayat, sama ada secara formal, bukan formal mahupun tidak formal. Misi pembelajaran sebegini adalah untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dan rasa ingin tahu individu serta kebolehan mereka untuk seumur hidup.
Pada peringkat global, PSH telah dilaksanakan secara meluas sebagai elemen penting yang amat tinggi nilai pendidikannya, termasuklah di Eropah. Dengan kolaborasi dinamik antara universiti dengan pelajar dan pihak berkepentingan, transformasi terhadap fungsi tradisional di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia telah berlaku secara besar-besaran. Kini, IPT bukan sekadar mendidik pelajar muda lepasan sekolah, tetapi turut mendidik pelbagai golongan pelajar termasuklah pelajar dewasa yang kembali semula menyertai pengajian tinggi pada fasa dan latar yang berbeza (walaupun setelah berjaya memiliki kerjaya yang baik).
Realitinya, anjakan paradigma pembelajaran sepanjang hayat pada masa ini turut menunjukkan bahawa setiap IPT, sama ada awam mahupun swasta berusaha untuk menyokong setiap pelajar yang berpotensi dan bermotivasi untuk kembali mendaftar di universiti sebagai pelajar sepanjang hayat. Dalam hal ini, IPT telah memanifestasikan sokongan dalam bentuk penawaran PSH yang bervariasi sama ada secara formal, bukan formal serta tidak formal. Pembelajaran PSH formal boleh dijelaskan sebagai pengajian yang berstruktur penuh dengan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan penawaran sijil kelayakan akademik formal seperti diploma dan ijazah. PSH bukan formal pula merupakan pembelajaran dengan struktur yang lebih fleksibel berbanding dengan PSH formal yang kebiasaannya bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme (kerjaya) dan tidak membawa kepada sebarang kelayakan formal. Antara contoh PSH tersebut ialah kursus profesional, bengkel, seminar, dan latihan eksekutif. Manakala, PSH tidak formal bermaksud pendidikan santai yang membimbing seseorang itu dalam kemahiran yang berasaskan minat individu atau hobi atau dalam aktiviti pembangunan komuniti. PSH tidak formal yang popular adalah berbentuk program kemasyarakatan, program keagamaan dan kursus masakan.
Sejajar dengan agenda PSH nasional juga, IPT perlu menyediakan kemudahan alternatif kelayakan gabungan termasuklah mengiktiraf pengalaman hidup terdahulu individu (APEL). Malah institusi berkenaan harus menyegerakan penawaran kemudahan pemindahan kredit terdahulu bagi membantu mereka meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti sijil, diploma atau ijazah yang formal melalui program Micro-credential. Di samping itu, program-program yang telah diiktiraf oleh akreditasi boleh ditawarkan dalam unit pembelajaran yang lebih kecil. Hal ini bagi membolehkan para peserta belajar memfokuskan topik atau unit pembelajaran mengikut kesesuaian dan kemampuan mereka.
Oleh itu, lebih banyak peluang akan disediakan buat mereka yang memiliki pengalaman kerja mahupun yang bersara walaupun dengan kekurangan atau ketiadaan kelayakan akademik untuk melanjutkan pengajian ke IPT seperti kebiasaannya. Transformasi baharu pendidikan masa kini pasti berupaya memberi nilai tambah kepada individu masyarakat sama ada melalui pengajian secara sambilan atau sepenuh masa bagi memenuhi kehendak majikan. Selain itu, PSH turut menawarkan latihan peningkatan kemahiran bagi membolehkan seseorang itu menjadi lebih baik dalam pekerjaan (upskilling). Malah, kemahiran tambahan dan keupayaan baharu melalui PSH juga akan mampu membantu seseorang beralih ke tahap kemahiran yang baharu (reskilling) di samping memperkukuh kelayakan akademik mereka.
Pada hakikatnya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran sepanjang hayat tempatan turut dirancakkan lagi dengan kemajuan teknologi digital negara walaupun ketika dunia masih dilanda pandemik COVID-19. Dalam erti kata lain, peluasan akses dan pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat dalam talian dipacu oleh kepesatan teknologi digital. Walaupun mod penyampaian yang berbeza menyokong pembelajaran pelajar mengikut lokasi geografi mereka, keunikan gaya pembelajaran dan melibatkan kekangan masa, namun kaedah pedagogi pengajar yang dinamik membolehkan teknologi digital menyerlahkan potensi penuh para pelajar sepanjang proses pembelajaran mereka. Dengan erti kata lain, pendidikan tinggi memanfaatkan kepelbagaian pelajar sebagai pelajar sepanjang hayat melalui pendekatan pendidikan konstruktif dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar.
Natijahnya, fleksibiliti pengajaran dan pembelajaran sentiasa ditingkatkan kerana pelajar dan pengajar adalah bebas untuk belajar dan mengajar pada bila-bila masa dan di mana-mana jua. Dengan disokong oleh teknologi, mereka memperoleh ruang dan masa yang fleksibel untuk menyediakan konteks, memupuk refleksi dan berinteraksi secara dinamik. Sebagai contoh, antara medium teknologi digital yang menjadi pilihan utama platform PSH ialah sidang video, sidang audio, nota multimedia, wahana Web 2.0 dan lain-lain bagi menyediakan pembelajaran yang fleksibel kepada warga industri dan pelajar PSH.
Yang menariknya, PSH mampu membantu pelajar agar saling melengkapi antara satu sama lain kerana strategi pendidikannya amat mementingkan pengalaman mereka sebelum ini. Pengajar atau fasilitator PSH menyediakan ruang untuk pelajar atau peserta kursus untuk saling bertukar pengalaman dan memotivasikan pembelajaran komplementari dengan merangsang motivasi mereka. Aktiviti pembelajaran sebegini amat memerlukan setiap daripada mereka agar sedia berkongsi dengan sesiapa sahaja, sedia dibimbing sama ada secara berstruktur dan kurang berstruktur dan perlu sentiasa fleksibel untuk beradaptasi dengan sebarang ilmu serta perubahan baharu. Aktiviti PSH juga perlu menyokong interaksi sesama pelajar atau peserta sama ada yang memiliki lebih atau kurang pengalaman profesional atau antara pelajar dengan latar belakang akademik, demografik dan profesional yang berbeza. Oleh hal yang demikian, PSH perlu membawa perubahan kepada sistem pendidikan negara agar lebih dinamik dan terbuka melalui galakan penglibatan dalam memperkaya pengalaman dan kemahiran pembelajaran untuk manfaat pada masa hadapan. Di samping itu, usaha kolaborasi antara IPT awam dan swasta yang melibatkan kepakaran tenaga pengajar, guna sama infrastruktur PSH terutamanya bagi aktiviti sesama agensi PSH harus dimantapkan demi manfaat bersama komuniti setempat melalui perkongsian strategik ilmu dan kemahiran.
Sementara itu, kepelbagaian di semua peringkat dalam kalangan pelaksana PSH mencerminkan hakikat bahawa setiap daripada mereka termasuk universiti, sebenarnya memiliki objektif pelaksanaan yang berbeza-beza dan mungkin melibatkan lebih daripada satu tujuan dalam misi penawaran PSH. Objektif umum PSH mereka mungkin bersifat sebagai tindak balas terhadap keperluan pasaran buruh, merangsang pembangunan peribadi dengan menyediakan program pembangunan khusus untuk siswazah dan menggalakkan penyertaan pelajar bukan profesional agar terus belajar. Ada juga pihak yang menyasarkan alternatif bagi menarik kumpulan baharu ke universiti dan memenuhi keperluan setiap warga dalam semua aspek kehidupan.
PSH juga dilihat sebagai wahana yang menyokong sosial, budaya dan pembangunan ekonomi tertentu melalui usaha mencari sumber pendapatan baharu yang mapan. Hal ini menunjukkan bahawa institusi boleh menjadi proaktif dan responsif, serta boleh menjangkau dalam memenuhi keperluan dengan mengoptimumkan kecekapan dan sumber sedia ada. Mereka juga harus mengutamakan pembangunan, strategi akademik dan penyelidikan mereka sendiri, selain perkongsian dengan pihak berkepentingan antarabangsa dan serantau (termasuklah syarikat kecil, perusahaan sederhana dan multinasional) untuk menggalakkan pembangunan mampan. Tidak lupa juga, hubungan strategik antara agensi pelaksana PSH dengan industri yang berkaitan perlu sentiasa dipertingkatkan menerusi perkongsian program, kepakaran, kemudahan infrastruktur, pemindahan kemahiran dan teknologi.
Secara tuntasnya, adalah diharapkan supaya semua pihak dapat berganding bahu dalam menawarkan pelbagai program PSH termasuklah program formal, bukan formal mahupun yang tidak formal demi merealisasikan pembangunan profesional, para akademik, industri, komuniti mahupun individu. Semua pihak harus berusaha sedaya yang mungkin untuk memberikan komitmen yang padu, sekali gus menterjemahkan PSH dalam bentuk perancangan, pembangunan, pelaksanaan dan pengiktirafan PSH yang berimpak tinggi. Sudah pasti usaha ini harus berpandukan kepada garis panduan yang telah digarapkan oleh agensi kelayakan atau penyedia PSH yang berautoriti di Malaysia, selain turut menyebarluaskan perkembangannya sehingga ke peringkat global. Bukan itu sahaja, sumber daya dan prasarana sedia ada di setiap IPT dan agensi pelaksana PSH diharap dapat menyerlahkan keunikan demi merealisasikan pelaksanaan PSH Malaysia ke arah pemerkasaan pembelajaran digital IR 4.0 dan pembangunan modal insan yang berkesinambungan.
Dr. Che Wan Ida Rahimah Che Wan Ibrahim, Pensyarah Pusat Pendididkan Asas dan Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu.
Amir Mustafa, Guru Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Terengganu.