18 Januari 2023, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menyerahkan surat pelantikan kepada YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP ke-13.

Putrajaya – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek mengumumkan pelantikan YBhg. Dr. Hazami Jahari sebagai Ketua Pengarah (KP) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baharu berkuat kuasa pada hari ini.

Penyerahan surat pelantikan turut disaksikan oleh pengurusan tertinggi KPM dan DBP.

Penyerahan surat pelantikan kepada YBhg. Dr. Hazami Jahari dilakukan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Encik Ramzi Mansor, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM pada petang ini. Pelantikan YBhg. Dr. Hazami Jahari sebagai KP DBP ke-13 adalah bagi menggantikan tempat YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran yang menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 28 November 2022.

YBhg. Dr. Hazami Jahari, 55 tahun, yang memegang Ijazah Doktor Falsafah Kesusasteraan dari Universiti Sains Malaysia mula berkhidmat di DBP pada tahun 1992 dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang bahasa dan sastera. Selain itu, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (Penulisan Kreatif dan Deskriptif) dan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Penulisan Kreatif dan Deskriptif) dari Universiti Malaya.

Beliau seorang yang aktif dalam melaksanakan pelbagai program berkaitan dengan pembinaan, pengembangan dan penerbitan dalam bahasa Melayu sebagai usaha untuk mengangkat dan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Sebelum menjawat portfolio sebagai Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan pada tahun 2021, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (2019), Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (2018) dan menerajui DBP Cawangan Sarawak (2014–2016).

Jika disoroti kejayaan dan pencapaian sepanjang berkhidmat di DBP, beliau telah menerima banyak anugerah, antaranya termasuklah Anugerah Perkhidmatan 25 tahun (2018), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2012), Anugerah Perkhidmatan 20 tahun (2012), Anugerah Perkhidmatan 15 tahun (2007), Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (1998) dan Pingat Perkhidmatan Bakti (Perak) (2015).

Dengan pelantikan ini, DBP meletakkan sepenuh keyakinan atas kepimpinan YBhg. Dr. Hazami Jahari dalam usaha memacu dan memperkasakan hala tuju DBP seiring dengan imejnya sebagai badan yang berautoriti yang memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, iaitu bahasa rasmi negara.

Sejajar dengan kredibilitinya sebagai Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP percaya beliau berupaya untuk meneruskan kecemerlangan DBP dengan pelbagai program yang dirancang menerusi Pelan Strategik DBP 2021–2025 yang memberikan tumpuan kepada tiga teras strategik, iaitu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ekonomi, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara, dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.