27 Januari 2023, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 1 Februari 2023, maka genaplah dua tahun Tatmadaw yang dipimpin oleh Jeneral Min Aung Hlaing melancarkan kudeta di Myanmar. Kudeta tersebut menyaksikan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi; Presiden Myanmar, U Win Myint dan beberapa pegawai kanan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) ditahan oleh pihak tentera.

Menurut laporan, sebanyak 24 jawatan menteri dan timbalan menteri di bawah pimpinan Suu Kyi dilucutkan jawatan oleh pihak tentera, selain menamakan 11 orang pengganti untuk menyandang jawatan bagi portfolio kewangan, kesihatan, penerangan, pertahanan, hal ehwal luar negara dan dalam negeri. Pada masa yang sama, Suu Kyi turut ditahan malah didakwa atas pelbagai kesalahan, seperti pelanggaran undang-undang pilihan raya dan rahsia negara sehinggalah hasutan dan rasuah. Akibatnya, segala tuduhan tersebut telah menghalang Suu Kyi untuk kembali ke dalam arena politik negara.

Win Myint pula didakwa di bawah Undang-undang Pengurusan Bencana Kebangsaan. Pada 5 Februari 2021, Win Htein yang merupakan orang kanan Suu Kyi turut ditahan oleh tentera. Rentetan itu, Amerika Syarikat (AS); Norway; Jepun; Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres; Perdana Menteri Britain, Boris Johnson; Presiden Majlis Eropah, Charles Michel dan Menteri Luar Australia, Marise Payne mengutuk kudeta dan penahanan pemimpin Myanmar, serta menggesa semua pihak untuk menerima keputusan pilihan raya umum (PRU) 2020. Presiden AS, Joe Biden menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan sekatan terhadap pemimpin tentera Myanmar pada 10 Februari 2021. Sekatan itu dilakukan sedemikian untuk menghalang junta tentera daripada mengakses dana kerajaan bernilai A.S.$1 bilion di AS.

Pada 16 April 2021, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Republik Kesatuan Myanmar yang terdiri daripada pemimpin antikudeta, etnik minoriti dan ahli Parlimen dipilih untuk membentuk satu kerajaan. Dalam struktur pemerintahan NUG, Mahn Winn Khaing Thann yang merupakan etnik Karen dilantik sebagai Perdana Menteri, manakala Win Myint dan Suu Kyi masih mengekalkan jawatan masing-masing walaupun telah ditahan oleh pihak tentera. Timbalan Presiden pula ialah Duwa Lashi La yang juga merupakan Presiden Majlis Perundingan Nasional Kachin.

Bagi melancarkan perang revolusi menentang pemerintahan Tatmadaw, NUG menubuhkan sayap bersenjatanya yang dikenali sebagai Pasukan Pertahanan Rakyat pada 5 Mei 2021. Pasukan tersebut mempunyai 60 ribu orang anggota tentera. Sejak kudeta, sebanyak 2500 orang awam telah dibunuh oleh pihak tentera, manakala 16 500 orang lagi ditahan. Setakat Disember 2022 pula, lebih 13 ribu orang awam dan 143 wartawan masih lagi ditahan oleh tentera. Dianggarkan sebanyak 1.4 juta orang telah kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran itu sejak kudeta menyebabkan kebanyakan mereka tinggal di kem sementara dalam hutan.

Tuduhan Suu Kyi

Pada 6 Disember 2021, Suu Kyi dijatuhi hukuman empat tahun penjara atas tuduhan menghasut dan melanggar Undang-undang Pengurusan Bencana Alam Negara. Win Myint juga dipenjarakan selamat empat tahun atas pertuduhan yang sama. Walau bagaimanapun, hukuman penjara dikurangkan kepada dua tahun sahaja. Suu Kyi sekali lagi dikenakan hukuman penjara selama empat tahun selepas didapati bersalah pada 10 Januari 2022 atas dua pertuduhan yang dikaitkan dengan mengimport dan memiliki alat komunikasi secara haram dan melanggar peraturan COVID-19.

Pada April 2022, Suu Kyi dikenakan hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah atas pertuduhan rasuah yang melibatkan penerimaan 11.4 kg emas dan bayaran tunai berjumlah A.S.$600 ribu. Beliau berdepan dengan tuduhan melibatkan 12 kes rasuah. Hukuman yang dijatuhkan oleh hakim pada April 2022 merupakan kes rasuah pertama Suu Kyi, yakni menjadikan 11 kes rasuah yang masih dalam proses perbicaraan. Mahkamah Junta pada 15 Ogos 2022 menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun terhadap Suu Kyi atas pertuduhan empat kes rasuah.

Suu Kyi dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun oleh mahkamah junta pada 2 September 2022 kerana melakukan penipuan dalam pilihan raya 2020. Pada Oktober 2022 pula, Suu Kyi dikenakan lagi hukuman enam tahun penjara atas dua kes rasuah selepas didapati menerima rasuah A.S.$500 ribu daripada seorang hartawan tempatan, Maung Weik. Hukuman penjara selama tujuh tahun dikenakan terhadap Suu Kyi pada 30 Disember 2022 kerana lima pertuduhan rasuah menjadikan tempoh hukuman penjara terhadapnya meningkat sebanyak 33 tahun.

Mengapakah Kudeta Berlaku?

PRU Myanmar diadakan pada 8 November 2020 dengan penglibatan 5639 calon yang mewakili lebih daripada 90 parti, termasuklah 1106 calon daripada NLD dan 1089 wakil Union Solidarity and Development Party (USDP). Berdasarkan keputusan pilihan raya yang dikeluarkan pada 13 November 2020, NLD telah memenangi sebanyak 396 kerusi, USDP hanya 30 kerusi dan 11 parti politik etnik memenangi 47 kerusi. Walau bagaimanapun, pihak tentera tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya dan menuduh proses pilihan raya 2020 dilaksanakan secara tidak adil kerana didakwa mempunyai unsur penipuan.

Pihak tentera mendakwa bahawa terdapat 11 juta kes penipuan pemilih berlaku ketika pilihan raya dan mahu siasatan dijalankan. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan menurut pihak tentera, telah gagal menyelesaikan penyelewengan daftar pemilih dalam pilihan raya, sekali gus menjustifikasikan kudeta. Pada hari kudeta, pihak tentera mengisytiharkan bahawa keputusan PRU 2020 sebagai tidak sah. Pada hakikatnya, tentera merampas kuasa kerana bimbang kehilangan pengaruh memandangkan NLD mendapat sokongan besar rakyat Myanmar berbanding dengan parti protentera, iaitu USDP.

Selain itu, pindaan perlembagaan yang akan mengurangkan pengaruh tentera dalam pentadbiran negara turut menjadi faktor kudeta berlaku. Pembentukan kerajaan baharu yang diterajui NLD selepas PRU yang diadakan pada 8 November 2015 tidaklah bermakna pengaruh tentera hilang secara total. Kerajaan yang terbentuk terpaksa berkongsi kuasa dengan pihak tentera walaupun dalam PRU 2015, NLD memenangi 255 daripada 440 kerusi untuk Pyithu Hluttaw (Dewan Rakyat) dan 135 daripada 224 kerusi bagi Amyotha Hluttaw (Dewan Negara). USDP hanya memenangi 30 kerusi untuk Pyithu Hluttaw, manakala 11 kerusi bagi Amyotha Hluttaw.

Hal ini berlaku kerana Perlembagaan 2008 memberikan tentera kawalan terhadap kementerian dalaman, perbatasan dan pertahanan, selain memperuntukkan 56 kerusi untuk tentera di Amyotha Hluttaw dan 110 kerusi di Pyithu Hluttaw tanpa bertanding dalam pilihan raya. Pada Januari 2019, Parlimen Myanmar mengundi bagi meluluskan peringkat pertama pembentukan satu jawatankuasa yang akan meminda perlembagaan tersebut. Namun begitu, langkah terbabit tidak disenangi oleh pihak tentera kerana boleh menghakis pengaruh mereka dalam Parlimen dan pentadbiran negara.

Pindaan perlembagaan juga merupakan satu daripada usaha Suu Kyi untuk meraih sokongan rakyat terhadap NLD, terutamanya selepas pilihan raya kecil 2017 dan 2018, selain menunaikan janji PRU 2015. Pilihan raya kecil 2017 dan 2018 membuktikan sokongan terhadap NLD semakin lemah, khususnya di kawasan etnik minoriti. Dalam pilihan raya kecil 2018, sebanyak 13 kerusi dipertandingkan untuk Pyithu Hluttaw, Amyotha Hluttaw dan perhimpunan daerah, namun NLD hanya memenangi tujuh kerusi dan kalah di enam kawasan. USDP memenangi 3 kerusi, selebihnya dimenangi oleh parti politik berasaskan etnik minoriti.

Suu Kyi yang dilihat terlalu rapat dengan tentera menyebabkan etnik minoriti yang masih berdepan dengan penindasan menolak NLD. Pengusiran Muslim Rohingya oleh pihak tentera juga berlaku ketika NLD memerintah Myanmar. Pengusiran terbesar berlaku pada tahun 2017, apabila sebanyak 773 ribu orang Rohingya termasuklah lebih daripada 400 ribu kanak-kanak melarikan diri ke Cox’s Bazar, Bangladesh. Sebelum itu, orang Rohingya juga berdepan dengan penindasan pihak tentera pada tahun 1978, 1991–1992 dan tahun 2016. Setakat Oktober 2022, sebanyak 943 ribu pelarian Rohingya menetap di Ukhiya dan Teknaf. Di Kutupalong-Balukhali sahaja, terdapat sebanyak 635 ribu pelarian Rohingya.

Janji Tidak Ditepati

Bagi meredakan kemarahan rakyat, Min Aung Hlaing berjanji pada tahun 2021 bahawa tentera akan memerintah selama setahun sahaja, mengadakan PRU dan akan menyerahkan kembali kuasa kepada pemerintahan awam. Perintah darurat pula akan ditarik balik pada Ogos 2023. Berkenaan pilihan raya, beliau tidak menyatakan sebarang tarikh khusus untuk mengadakan pilihan raya baharu. Namun begitu, Min Aung Hlaing hanya mengatakan bahawa akan mengadakan pilihan raya jika negara berada dalam keadaan aman dan stabil, selain menekankan bahawa pembaharuan perlu dilakukan terhadap sistem pilihan raya.

Sejak kudeta, keadaan politik Myanmar tidak stabil. Tatmadaw menghadapi penentangan daripada NUG melalui sayap bersenjatanya, Pasukan Pertahanan Rakyat. Kumpulan bersenjata etnik minoriti turut meningkatkan serangan terhadap tentera selepas kudeta antaranya Tentera Kemerdekaan Kachin, Tentera Pembebasan Kebangsaan Karen, Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar yang terdiri daripada etnik Kokang, Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang, Tentera Karenni dan Pasukan Pertahanan Chinland.

Min Aung Hlaing juga didapati tidak menepati janji kerana tentera telah pun memerintah Myanmar lebih daripada setahun. Setelah berkuasa, bukan mudah untuk pihak tentera melepaskan genggamannya jika dilihat sejarah Myanmar sebelum ini. Tatmadaw memerintah Myanmar sejak Jeneral Ne Win melancarkan kudeta pada 2 Mac 1962. Bagi menghentikan kebangkitan rakyat pada 8 Ogos 1988 yang dipimpin Aung San Suu Kyi atau lebih dikenali sebagai Kebangkitan 8888, Jeneral Saw Maung menubuhkan State Law and Order Restoration Council (SLORC) pada 18 September 1988. Jeneral Than Shwe dilantik sebagai Pengerusi SLORC, Perdana Menteri, Ketua Turus Angkatan Tentera dan Menteri Pertahanan bagi menggantikan Jeneral Saw Maung pada 23 April 1992.

SLORC digantikan dengan State Peace and Development Council (SPDC) pada 15 November 1997. Jeneral Than Shwe telah memerintah Myanmar melalui SLORC dan SPDC dari tahun 1992 hingga tahun 2011. Pendemokrasian bermula pada tahun 2010 apabila PRU diadakan. Namun begitu, pendemokrasian ini tidak bertahan lama kerana berlaku kudeta pada tahun 2021. Oleh sebab itu, janji Min Aung Hlaing untuk mengadakan PRU bagi membolehkan pemerintahan awam dikembalikan dipandang secara sinis. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak tentera melancarkan kudeta selepas pilihan raya 1960, enggan menyerahkan kuasa selepas NLD memenangi pilihan raya 1990 dan tidak menghormati keputusan pilihan raya 2020. Bagaimanakah Tatmadaw mampu menepati janji kerana selama ini mereka sering melanggar janji?


Penulis berkelulusan Sarjana Analisis Strategi dan Keselamatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.